Thursday, 7 May 2020


BSN MEMBUKA KAUNTER BERGERAK DI PAKAN PADA 10 - 11HB MEI

MASYARAKAT di Pakan boleh menarik nafas lega kerana Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuka kaunter perkhidmatan di Pakan pada hujung minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan berkata, perkhidmatan  seumpama tersebut merupakan perkhidmatan perintis yang yang diadakan dalam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Ianya diadakan bagi memenuhi keperluan penduduk, khususnya yang berada di luar bandar di sekitar Daerah Pakan," katanya sambil menambah, langkah sebegini amatlah bersesuaian sebagai sebahagian daripada langkah untuk mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan sekarang. 

Mawan yakin dengan kedatangan pihak bank ke Daerah Pakan akan membantu mengurangkan bilangan rakyat di daerah ini untuk keluar ke Sarikei bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan. 

"Kita menyedari kesukaran yang dihadapi masyarakat sejak sebulan yang lalu di mana setiap pagi, ramai rakyat di daerah ini berbaris untuk mendapatkan slip kebenaran dari polis sebelum dibenarkan untuk ke Sarikei." 

Jelas Mawan lagi, sehubungan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan pihak BSN untuk membuka kaunter bergerak di Pakan di Dewan Masyarakat Pakan bermula jam 8.30 pagi sehingga 2.30 petang pada 10 dan 11 Mei 2020 nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat ringkas serta memantau kerja menyediakan persiapan terakhir di lokasi berkenaan semalam.

Antara perkhidmatan yang bakal disediakan adalah; semakan akaun berkaitan Bantuan Perihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Khas Sarawak Ku Sayang dan Pengeluaran Wang.

"Saya minta semua penduduk yang akan menggunakan perkhidmatan BSN nanti agar memberi kerejasama sepenuhnya dan mematuhi segala SOP PKP dan mendengar segala arahan dari para petugas di sana," kata Mawan sambil mengingatkan, penjarakan sosial hendaklah dipatuhi dengan menghadkan pelanggan yang berurusan dalam satu masa. 

Difahamkan, semua pelanggan yang datang diwajibkan untuk mencuci tangan, bacaan suhu badan juga turut diambil dan sekiranya ada didapati pelanggan yang mempunyai simtom-simtom akan dirujuk kepada Klinik Kesihatan Pakan.

Pihak petugas juga telah dimaklumkan agar memberi keutamaan kepada wanita mengandung, warga emas dan golongan OKU.

Sesi taklimat dan kerja pemantauan semalam turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pakan, PDRM, RELA dan APM. 

Dalam masa yang sama, Mawan dan penduduk Pakan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bank Negara Malaysia, BSN dan semua agensi kerajaan pusat dan negeri dan badan bukan kerajaan kerana berusaha membawa perkhidmatan kaunter bergerak BSN ke Pakan. Usaha tersebut adalah keputusan dari penyelarasan kerjasama oleh semua pihak.

"Saya juga menyeru kepada pihak BSN dan perbankan yang lain agar memberi perlhidmatan yang sama kepada penduduk luar bandar di kawasan yang lain," ujarnya lagi.

UnReportedNews™® #iamSarawakian.

No comments:

Post a comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List