Showing posts with label MH17. Show all posts
Showing posts with label MH17. Show all posts

Friday, 3 October 2014

#MH17 : Lima Jenazah Tiba Di KLIA



SEPANG: Pesawat komersial MH19 yang membawa kumpulan keenam terdiri daripada lima jenazah mangsa nahas pesawat MH17 dari Amsterdam, Belanda tiba di perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam 8.38 pagi tadi. 

Jenazah akan diberi penghormatan dalam satu istiadat penuh ketenteraan seperti sebelum ini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim bersama ahli keluarga dan waris mangsa nahas.

Kumpulan keenam mangsa MH17 itu terdiri ahli keluarga terakhir kepada Allahyarham Tambi Jiee iaitu Muhammad Afruz Tambi; Liew Yau Chee; Lee Kiah Yeen; Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam.

Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri-Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

Bagaimanapun, dua bekas abu itu akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa.

Bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St Fatima Church di Brickfields.

Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu. - BH

-UnReportedNews™®

Thursday, 2 October 2014

Jenazah Dua Mangsa MH17 Dari Sarawak Akan Tiba Jumaat Ini


Jenazah Allahyarham Muhammad Afruz Tambi, 13, ahli keluarga terakhir Allahyarham Tambi Jiee yang terkorban dalam tragedi MH17 akan diterbangkan balik ke Malaysia Jumaat ini.

Menurut kenyataan akhbar dari Menteri Pengangkutan Dato 'Sri Liow Tiong Lai, penghantaran jenazah tersebut pada Jumaat ini, October 3, 2014 ini adalah penghantaran ke-6 yang telah diterbangkan kembali ke Malaysia.

Dijangka akan tiba pada jam 8.30 pagi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jenazah tersebut akan diberi penghormatan tentera sepenuhnya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Afruz akan tiba rumah bersama-sama dengan jenazah mendiang Liew Yaw Chee, mendiang Lee Kiah Yeen, mendiang Meling Anak Mula and mendiang Mathew Ezekial Sivagnanam.

Dengan penghantaran ini, seramai 42 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 telah dikembalikan kepada waris mereka. Setakat ini, seramai 27 penumpang dan 15 anak kapal telah dikenal pasti daripada jumlah rakyat Malaysia di atas kapal penerbangan.

Sebagai keluarga terdekat, pasti mereka inginkan orang tersayang mereka untuk dikebumikan, marilah kita berdoa agar mereka mencari kekuatan dan kesabaran dalam menempuhi kejadian tragik ini.

Saya juga mohon kepada semua orang untuk menghormati privasi keluarga mangsa MH17 sepanjang masa yang sukar ini. Malaysia akan terus memastikan bahawa jenazah-jenazah mangsa akan kembali ke tanah air, kata Liow lagi. - Sarawakiana

-UnReportedNews™®

Monday, 25 August 2014

MULIANYA HATI SALAH SEORANG MANGSA MH17 .. MOGA BELIAU TERGOLONG DI KALANGAN AHLI SYURGA


Ni cerita kawan aku, ianya sungguh menyayat hati mengenai bertapa mulianya hati salah seorang dari mangsa tragedi MH17.

Kejadian ini dikatakan berlaku ketika majlis pengkebumian dua jenazah tragedi MH17; Allahyarhamah Ariza Ghazalee (Ibu) dan Allahyarham Muhammad Afif Tambi di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya beberapa hari yang lepas.

Semasa majlis tersebut berlangsung, semua hadirin termasuk ahli keluarga arwah agak terkejut dengan ketibaan sebuah bas bersama sekumpulan orang di tempat berkenaan.

Rupa-rupanya mereka adalah ahli-ahli surau Batu 10 (Batu Kitang, Kuching) serta orang-orang kampung tersebut.

Imam surau tersebut menerangkan kedatangan mereka ke sana untuk memberi penghormatan terakhir dan bersedekahkan Al Fatihah kepada keluarga lelaki yang pernah membantu surau Batu 10 beberapa tahun dulu.

"Dua tahun lepas, ada seorang lelaki yang tidak dikenali pergi ke surau kami .. itulah kali pertama kali kami menemui lelaki berkenaan dan beliau telah menderma berbelas ribu ringgit (tanpa menyatakan jumlah sebenar) untuk memperbaiki surau kami."

"Surau kami yang begitu daif kini sudah diperbaiki dengan wang sumbangan lelaki tersebut namun kami tidak pernah berjumpa dengannya lagi, kami hanya ingat wajah dan nama beliau sahaja."

"Sehinggalah tragedi MH17, apabila wajah-wajah mangsa MH17 dari Sarawak di kenalpasti di TV dan suratkhabar, kami terus mengenali lelaki tersebut iaitu Tambi Jiee, suami kepada Allahyarhamah Ariza Ghazalee dan Allahyarham Muhammad Afif Tambi yang di kuburkan hari ini."

"Allahyarham Tambi Jiee lah menderma belasan ribu ringgit untuk surau kami," kata Imam tersebut lagi.

Semua yang mendengar cerita imam berkenaan tidak dapat menahan airmata kesedihan (termasuk aku ketika menulis cerita ini).

Allahyarhmah Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka; Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 terkorban dalam tragedi MH17 pada 17 Julai lepas.

Sehingga hari ini, hanya mayat dua anak beranak dari keluarga tersebut telah di kenalpasti dan selebihnya masih didalam proses pengecaman identiti dan DNA di Belanda. 

Sekiranya benar apa yang didakwa, alangkah mulianya hati Alahyarham Tambi Jiee kerana secara diam, secara senyap dan tanpa mengharapkan pujian beliau menderma wang untuk ke jalan Allah dan hanya setelah kematiannya saja yang mendedahkan segala kebaikan beliau.

Semoga beliau dan ahli-ahli keluarganya ditempatkan pada golongan mereka yang beriman. Al Fatihah. Allahuallam.

-UnReportedNews™®

Sunday, 24 August 2014

PENERBANGAN BAWA 20 JENAZAH MANGSA MH17 AMAT SUKAR, NAMUN DIPERMUDAHKAN


SEPANG: Ketua Juruterbang, Datuk Kapten Missman Leham menyifatkan tugasan membawa pulang 20 jenazah tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang tiba di tanah air pada Jumaat lalu adalah 'penerbangan paling sukar' baginya sejak menyertai MAS 33 tahun lalu.

Missman berkata penerbangan selama 12 jam itu juga merupakan penerbangan paling emosi buatnya kerana beliau tahu siapakah 'penumpang' istimewa pesawat khas MH6129 selain mengenali secara peribadi sebahagian mereka.

"Dua, tiga hari sebelum berlepas sudah rasa sedih, sebab kita tahu ini penerbangan paling penting dan dinantikan ramai, khususnya kepada waris mangsa," katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Missman bersyukur kerana penerbangan yang membawa 20 jenazah itu dimudahkan, bukan sahaja dari sudut cuaca yang baik, namun mendapat kerjasama daripada semua negara yang dilaluinya.

Katanya setiap negara yang dilalui memberi penghormatan tinggi kerana mengetahui pesawat itu membawa muatan penting.

"Contohnya seperti di Iran. Lazimnya apabila melintasi negera itu, mereka akan meminta 'entry number' tetapi kali ini awal-awal lagi mereka sudah maklumkan kita.

"Mereka beritahu tidak perlu entry number, pesawat boleh teruskan penerbangan. Mereka selalunya begitu tegas dalam hal ini," katanya.

Mengimbas kenangan mengemudikan pesawat itu, Missman berkata beliau tidak putus-putus menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa beragama Islam dan bertafakur untuk agama lain.

"Sebelum memulakan penerbangan, saya sempat 'berjumpa' dengan mereka (jenazah). Saya cakap kepada Hakimi (pembantu juruterbang MH17 Ahmad Hakimi Hanapi) dan rakan-rakan, kami akan bawa kamu balik. Kamu akan berjumpa dengan orang yang dikasihi," katanya.

Pada penerbangan itu, Missman dibantu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid serta pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.

Ditanya apakah yang menyebabkan beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab itu, Missman berkata ia berkemungkinan kerana MAS mahu juruterbang senior untuk mengemudi pesawat itu.

Sejak diarahkan, Missman tidak putus-putus berdoa supaya penerbangan itu berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah.

"Alhamdulillah, doa itu dimakbulkan," katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Seramai 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Friday, 22 August 2014

MH17: JENAZAH DUA BERANAK MANGSA MH17 DI SEMADI BERSAMA


KUCHING: Kasihnya ibu ke akhir hayat .. jenazah dua beranak Allayarhamah Ariza Ghazalee (Ibu) dan Allahyarham Muhammad Afif Tambi, mangsa tragedi MH17 selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini lebih kurang jam 5:05 petang tadi.

Ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Anuar,72, tidak dapat menahan sebak hatinya menitiskan air mata ketika mendahului upacara menyiram air mawar pada kubur anak dan cucunya sebelum disusuli oleh ahli keluarga yang lain.

Ariza, 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif, 19, adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dari Amsterdam pagi tadi.

Jenazah mereka kemudian dibawa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pesawat C-130 Hercules yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.25 pagi tiba tepat jam 2.17 petang di Pengkalan TUDM Kuching.  

Dua menteri; Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Dato' Sri Hajah Rohani Karim dan Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusof turut berada di dalam pesawat yang membawa jenazah mereka. 

Dari pangkalan TUDM Kuching, jenazah mereka dibawa sebuah van ke Masjid Jamek Petra Jaya di mana kira-kira 1,000 orang menunggu di masjid itu ketika van berkenaan tiba pada 3.25 petang dengan diiringi pasukan polis pengiring.

Ketibaan jenazah mereka di Masjid Jamek di sambut oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem serta menteri-menteri dan menteri muda kabinet negeri.

Dua jenazah itu kemudian ditempatkan di hadapan ruang solat sebelum Imam Besar Masjid Jamek Petrajaya Datuk Joji Suhaili memimpin bacaan Yaasin mengimamkan Majlis Solat Jenazah. 

Selepas itu, jenazah mereka telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam berhampiran Samariang untuk majlis pengebumian yang di hadiri oleh lebih dari 5,000 orang pada jam 4:50 petang.

Allahyarhmah Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka; Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lepas.

Sehingga hari ini, hanya mayat dua anak beranak dari keluarga tersebut telah di kenalpasti dan selebihnya masih didalam proses pengecaman identiti dan DNA di Belanda. 

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine selepas ditembak jatuh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. -Sarawakiana

-UnReportedNews™®

MH17: PENGKALAN TUDM KUCHING DI SELUBUNGI KESURAMAN



KUCHING: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, demikianlah ungkapan yang tepat yang buat ahli keluarga Allahyarhamah Ariza Ghazalee (ibu) dan Allahyarham Muhammad Afif Tambi (anak) yang menanti dengan penuh kesabaran akan kedatangan pesawat khas membawa jenazah dua beranak tersebut mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching tengahari tadi.

Pesawat C-130 Hercules yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.25 pagi tiba tepat jam 2.17 petang di Pengkalan TUDM Kuching.

Suasana suram menyelubungi kira-kira 500 orang hadir terdiri daripada keluarga waris dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan TUDM di sepanjang pernantian ketibaan pesawat tersebut.

Rejimen Keempat Kor Amor Diraja dengan kekuatan 30 anggota menjalankan istiadat ketenteraan ketika menyambut jenazah.

Jenazah selepas itu dibawa ke Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya untuk solat jenazah dan menerima penghormatan terakhir.

Antara yang turut menyambut Bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri dan Panglima Pemerintahan Wilayah Timur, Left. Jen. Mohd. Zaki Mokhtar.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga menaiki pesawat C-130 Hercules dari KLIA.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan barisan menteri Kabinet negeri akan hadir bersama rakyat di sini bagi solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

Difahamkan Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri turut akan hadir semasa pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Semariang.-Sarawakiana

-UnReportedNews™®

GAMBAR TERKINI: KETIBAAN JENAZAH MANGSA MH17 DI KUCHING DISAMBUT DENGAN SAYU







KUCHING: Dayang Misbah Abang Anuar, ibu saudara Allahyarhamah Ariza Ghazalee dan nenek saudara kepada Allahyarham Muhammad Afif Tambi tidak dapat menahan air matanya ketika pesawat khas membawa jenazah dua beranak tersebut mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching tepat jam 2.17 petang sebentar tadi.

Misbah, 69-tahun yang ditenangkan ahli keluarganya adalah di antara kira-kira 500 orang hadirin yang menanti ketibaan pesawat khas berkenaan yang terbang dari KLIA ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching untuk menyambut dua jenazah mangsa MH17.

Jenazah mereka telah diterbangkan dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.25 pagi tadi.

Rejimen Keempat Kor Amor Diraja dengan kekuatan 30 anggota akan menjalankan istiadat ketenteraan ketika menyambut jenazah.

Jenazah dua beranak Allayarhamah Ariza (Ibu), 46 tahun dan Allahyarham Muhammad (anak), 19-tahun,  mangsa tragedi MH17 akan diterbangkan ke TUDM Kuching dari KLIA  akan melalui Jalan Lapangan Terbang, Jalan Tun Jugah, Jalan Tun Razak, Jalan Marikan Salleh, Jalan Tun Sallehuddin , Bulatan Gersik, Bulatan Mahkamah, Bulatan Secso, Jalan Sarawak Golf Club, Jalan Masjid Negeri dan disembahyangkan di Masjid Jameq sebelum meneruskan perjalanan melalui Bulatan Semariang, Jalan Sultan Tengah dan ke Tanah Perkuburan Samariang untuk dikebumikan (dijangka selepas Solat Assar). -Sarawakiana

-UnReportedNews™®

GAMBAR TERKINI: "SELAMAT KEMBALI KE TANAH AIR MH17" (UPDATED)

Gambar-gambar yang aku dapat compile dari rakan-rakan Facebook di Kompleks Bunga Raya, KLIA sejurus pesawat khas membawah jenazah mangsa MH17 tiba di Kuala Lumpur dari Belanda sebentar tadi.






(Updated)








-UnReportedNews™®

MH17: PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT DUA JENAZAH DI MASJID JAMEK KUCHING, SARAWAK


KUCHING: Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada dua daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 bulan lepas yang akan tiba di sini esok, dinasihatkan supaya berhimpun di Masjid Jamek, Petra Jaya, sekitar pukul 3.30 petang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini untuk memberi keselesaan dari segi ruang dan masa kepada orang ramai berbuat demikian.

Beliau berkata, sebaik sahaja dua jenazah itu tiba di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini sekitar pukul 3 petang, jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek, di Petra Jaya untuk disembahyangkan, sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang.

Katanya, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud yang diiringi Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem serta anggota kabinet negeri juga dijangka akan berada di Masjid Jamek petang esok untuk solat jenazah.

"Orang ramai tanpa mengira kaum yang hadir dicadangkan supaya memakai pakaian berwarna gelap dan menjaga tatasusila," katanya dalam sidangmedia di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Berdasarkan senarai nama mangsa nahas yang jenazah dijadualkan tiba esok dan diumumkan di ibu negara hari ini, dua yang akan diterbangkan ke Kuching nanti ialah jenazah Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif Tambi, 19.

Daud berkata, sebaik sahaja dua jenazah itu tiba di Pengkalan TUDM, majlis penerimaan akan dibuat secara ringkas, sebelum dibawa dengan van jenazah ke Masjid Jamek.

Katanya dari aspek pergerakan mungkin tidak banyak masalah kerana van jenazah akan diringi oleh pasukan polis pengiring, namun dari segi ketepatan masa ia bergantung kepada waktu ketibaan jenazah itu di pangkalan TUDM.

Beliau berkata solat jenazah akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Jamek Datuk Joji Suhaili, yang juga akan menyempurnakan bacaan talkin di tanah perkuburan nanti.

Sementara itu tinjauan di Masjid Jamek dan tanah perkuburan Islam Semariang di sini mendapati semua persiapan dan raptai pengurusan jenazah telah dilakukan. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Monday, 4 August 2014

BELUM REDA ISU #MH370 & #MH17, MASUE PULAK "MENUBA" MAS?


Belum reda kesedihan warga syarikat penerbangan negara, MAS, menghadapi dugaan pesawat terhempas dan menyebabkan ratusan jiwa terkorban, Kesatuan Pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia (MASEU) cuba tambah pedih di dada.

Kali ini bukan lagi di kalangan media tempatan, MASEU adu domba pula pada media antarabangsa seperti Wall Street Journal, DowJones dan media di Singapura, seolah-olah cuba menambah tekanan terhadap syarikat GLC kebanggaan negara itu.

Dalam kenyataan terbaru, Ketua MASEU, Alias Malek mendakwa dia hanya berniat mahu mengutamakan kebajikan kakitangan MAS dan kerana itulah dia meminta supaya CEO MAS, Ahmad Jauhari dipecat selain marahkan syarikat itu kerana tidak membentang pelan pemulihan kepada pihak MASEU.

Disaat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan CEO MAS, Ahmad Jauhari, sedang bertungkus lumus memikirkan tragedi MH17, MASEU pula berulang kali “tunjuk perangai” begini? “Penawar yang diperlukan, tuba pula yang diberi”?

Soalnya, kebajikan siapa yang lebih utama perlu dijaga? Kebajikan MAS atau kebajikan kakitangan MAS sedia ada yang melimpah ruah bagai anak emas intan payung? Survival MAS untuk kekal bernyawa atau “agreement” dengan MASEU yang berat sebelah?

Logiknya, sekiranya kebajikan MAS terjaga dan syarikat itu kembali teguh mencatat keuntungan, barulah segala kebajikan kakitangannya akan terbela, bukan? Bagaimana sebuah syarikat yang “nyawa-nyawa ikan” mahu menjaga kebajikan para pekerjanya?

Mungkin Alias perlu mencari alasan yang lebih konkrit untuk bersuara selepas ini berbanding memberikan alasan yang sangat dangkal untuk diterima pakai atau dipertimbang pihak atasan. Mungkin juga sebab itu kontraknya untuk terus bekerja ditolak sebelum ini?

Kenapa perlu pihak atasan MAS bentangkan pelan pemulihan syarikat kepada Alias dan konco-konconya? Berapa banyak saham yang Alias pegang di dalam MAS? 70 peratus?Kerana pelan itu melibatkan kakitangan MAS maka ia perlu dibentang terlebih dahulu pada Alias?

Peliknya, ketika pihak atasan MAS memberikan “duit raya” sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan syarikat tanpa mengira pangkat atau darjat baru-baru ini sebagai penghargaan khidmat mereka, mengapa MASEU tidak minta bincang terlebih dahulu dengan mereka?

Bukankah kedudukan kewangan MAS sedang kritikal? Bukankah elok kalau MASEU desak pihak atasan untuk berbincang terlebih dahulu dengan Alias dan Jabarullah? Mungkin kepimpinan MASEU boleh tolak pemberian penghargaan itu berdasarkan keadaan MAS yang sedang rugi?

Atau MASEU sebenarnya mengambil pendekatan “dapat duit terus diam, tak payah bincang pun tidak mengapa”? Begitu? Ikhlaskah MASEU untuk menyelamatkan MAS?

MASEU minta MAS tunjukkan jabatan mana yang dikatakan terlebih kakitangan? Kenapa MASEU tidak bandingkan operasi dan kakitangan MAS dengan Singapore Airlines (SIA)? Semuanya hampir serupa saja, namun peliknya MAS memiliki lebihan hampir 5,000 kakitangan berbanding SIA?

Jabarullah rasanya boleh tinjau sendiri persoalan yang dilontarkan. Dia “orang lama” MAS, bukan? Takkan tak boleh tengok, bilang dan bandingkan dengan SIA?

Agak menyedihkan melihat sikap kepimpinan MASEU jika dibandingkan dengan kesatuan-kesatuan syarikat penerbangan antarabangsa yang setaraf dengannya dalam menghadapi krisis syarikat sebegini. SIA dulu pun pernah mengalami keadaan yang hampir serupa, tapi tidaklah “meroyan” begini, bukan? (sumber

-UnReportedNews™®

WARIS PENUMPANG #MH17 DIJANGKA TERIMA PAMPASAN AS$50,000 DALAM MASA TERDEKAT


KUALA LUMPUR: Waris terdekat kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dijangka menerima bayaran pampasan awal sebanyak AS$50,000 atau kira-kira RM160,000 dalam jangka masa terdekat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata bayaran pampasan awal itu sediakan oleh pihak MAS.

"Saya difahamkan bayaran kepada waris yang ini dapat dibuat dalam masa terdekat memandangkan kita sudah sedia maklum apa yang berlaku kepada pesawat itu (MH17)," katanya ketika dihubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam rancangan Selamat Pagi 1Malaysia yang disiarkan di TV1.

Rohani berkata sebelum ini sebanyak 25 anggota keluarga mangsa tragedi MH17 telah menerima bayaran saguhati US$5,000 atau kira-kira RM16,000 secara sekali gus daripada pihak MAS untuk membantu dalam soal perbelanjaan harian yang mungkin diperlukan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Menjelas lanjut, Rohani berkata setakat ini 70 peratus daripada waris penumpang warganegara Malaysia telah memaklumkan kepada pihaknya mengenai pengurusan mayat mangsa nahas MH17 apabila ia tiba di tanah air kelak.

"Baki 30 peratus lagi waris penumpang belum membuat sebarang keputusan mengenai pengurusan mayat dan kita tidak akan desak mereka kerana kita tahu kesulitan yang dihadapi.

Setelah beberapa interaksi antara pegawai dengan waris, persoalan serta harapan paling tinggi waris ialah bila agaknya mereka dapat terima mayat anggota keluarga mereka," kata Rohani.

Rohani menambah beliau dimaklumkan oleh pasukan foresik Malaysia di Amsterdam, setakat dua hari lepas beberapa padanan DNA dan mayat mangsa telah dibuat dan kebanyakannya melibatkan warganegara Belanda.

"Tapi kita tak boleh mengetepikan, kemungkinan dalam masa terdekat ada warga Malaysia yang dapat dikenal pasti. Dan keluarga minta kita maklumkan sebaik sahaja tahu tentang perkara itu," katanya. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Saturday, 2 August 2014

TARIKH PENGHANTARAN MAYAT MANGSA #MH17 AKAN DIUMUM DALAM DUA MINGGU


AMSTERDAM: Hanya selepas tempoh dua minggu, barulah kerajaan Malaysia akan mengumumkan tarikh penghantaran pulang mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai.

Ini adalah antara yang diperolehi semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ke Netherlands, yang membuahkan hasil konklusif.

Berikutan penetapan tempoh itu, Najib mengumumkan akan mengadakan hari berkabung negara selama sehari, yang pertama upacara seumpamanya diadakan, sebaik sahaja mayat dan jenazah mangsa warga Malaysia tiba di tanah air nanti.

"Ia akan menjadi upacara yang penuh syahdu dan bermaruah," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini, Jumaat.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara ini.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Seramai 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu.

Najib berkata Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat hadir pada upacara itu.

Perdana Menteri berkata setakat ini, sejumlah 126 keranda telah diperiksa dan menjalani proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Tragedi itu juga membawa kepada hubungan Belanda dengan Malaysia bertambah akrab secara berkongsi kesedihan dan juga daripada segi hubungan dua hala.

"Malah rakyat Belanda memahami tragedi ini dan mereka tidak menyalahkan MAS atau Malaysia," kata Najib.

Berhubung perkembangan dua kotak hitam MH17, Perdana Menteri berkata siasatan awal oleh badan bebas di Britain akan diumumkan "tidak lama lagi".

Beliau berkata Malaysia dan pasukan penyiasat antarabangsa menumpukan kepada usaha masuk ke lokasi nahas di Torez, Ukraine untuk mengambil cebisan mayat dan serpihan pesawat bagi tujuan siasatan.

Oleh itu, Najib dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte telah membuat kenyataan bersama pada Khamis dengan menggesa dilaksanakan gencatan senjata di lokasi nahas dan kawasan sekitarnya dengan segera.

Pendek kata, perkembangan semasa itu tidak dapat dicapai tanpa pengorbanan 12 anggota pasukan Malaysia diketuai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Lt Kol Mohd Sakri Hussain, kata Najib yang merakamkan penghargaan kepada mereka.

Mereka merupakan pasukan yang berunding dengan ketua kumpulan puak pemisah Alexander Borodai dan mengusahakan 226 keranda dibawa keluar dari Torez ke Kharkiv di Ukraine dan kemudian keranda berkenaan diterbangkan ke Eindhoven, Netherlands.

Mereka juga menerima dua kotak hitam MH17, bukti paling penting dalam penyiasatan untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada pesawat itu dan untuk membawa 'dalangnya' ke muka pengadilan.

"Tiada wang tebusan dibayar, tiada apa-apa langsung (dalam mencapai persetujuan itu)," tegas Najib. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Friday, 1 August 2014

HARI BERKABUNG MH17 AKAN DIUMUMKAN


AMSTERDAM: Malaysia akan mengumumkan hari berkabung negara untuk nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 sebaik sahaja mayat dan jenazah mangsa warga Malaysia tiba di tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia khusus bagi seluruh negara berkabung untuk mangsa yang terkorban dalam nahas itu, dan untuk memberi penghormatan kepada mereka.

Penerbangan MH17, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

"Kami akan isytiharkan hari berkabung untuk seluruh negara dan saya akan berada di sana untuk menyambut mayat-mayat apabila ia sampai," katanya pada majlis makan malam penghargaan bersama-sama pasukan siasatan khas Malaysia di sini pada Khamis malam.

Menyentuh 195 warga Belanda yang terkorban dalam nahas itu, Najib berkata beliau telah berjumpa beberapa warga Belanda dan mereka tidak menyalahkan MAS atau Malaysia berhubung nahas itu.

"Ia sesuatu di luar jangkaan. Rakyat Belanda memahami keadaan itu dan mereka bersama-sama kita," katanya.

Berhubung lawatan dua hari beliau ke Netherlands sejak Khamis, Najib berkata ia bagi menyampaikan ucapan takziah kepada Netherlands dan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

Najib, diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (DCA) Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya tiba di sini pada Khamis pagi.

Najib mengadakan pertemuan dengan Rutte di The Hague bagi membincangkan nahas MH17 di Ukraine, sebelum ke Hilversum untuk memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa tragedi itu yang identiti mereka sedang dikenal pasti menerusi proses forensik.

Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada pasukan siasatan khas Malaysia yang telah memberikan komitmen mereka dalam membawa mayat mangsa-mangsa ke Netherlands, dan terlibat dalam mendapatkan dua kotak hitam MH17 dan juga kepada mereka yang terbabit dalam Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Najib berkata Malaysia komited untuk menegakkan keadilan bagi keluarga mangsa dan membawa dalang tragedi itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata dengan penemuan kotak hitam pesawat itu, beliau berharap maklumat dalam kotak hitam itu mengandungi bukti kukuh untuk membawa pihak yang bertanggungjawab bagi tragedi itu ke muka pengadilan. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

MUSLIHAT ISRAEL MENGAITKAN MALAYSIA DENGAN HAMAS


Jerusalem Post semalam melaporkan yang kononnya seorang pejuang Hamas yang berpangkat komander sebuah unit Hamas yang berjaya ditahan oleh Isreal di Khan Younis telah mendedahkan dia menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa.

Apa sebenarnya muslihat Israel "mengfitnah" Malaysia, sebuah negara yang dianggap bukan negara berkuasa besar di dunia ini dengan kumpulan pejuang Hamas?

Apakah disebabkan Malaysia, di antara negara-negara Islam yang paling lantang dan berani membantah sekeras-kerasnya ke atas ketidakadilan tindakan Israel terhadap negara Palestine selama ini telah menekankan Israel sehinggakan memaksa mereka untuk mencipta fitnah tersebut?

Umum tahu Israel sememangnya adalah pakar dalam sesuatu konspirasi dimana mereka berkemampuan dan tidak mustahil boleh merancang sesuatu kejadian atau keadaan biarpun di dalam sesebuah negara asing yang lain, lebih-lebih lagi ke atas sebuah negara kerdil seperti Malaysia.

Setiap tindak-tanduk Israel pasti ada motif yang terselindung dan jika difikirkan kembali, adalah tidak mustahil kedua kejadian; kehilangan pesawat MH370 dan penembakan jatuh pesawat MH17 adalah hasil "kerjatangan" Israel jahanam itu. 

China adalah kuasa negara yang terbesar di Asia yang selama ini menjadi rakan perniagaan utama dan mempunyai hubungan dua-hala yang baik dengan Malaysia dan alasan yang terbaik untuk memusnahkan hubungan tersebut adalah dengan "menghilangkan" pesawat MH370 yang membawa 153 warganegara China.

Setelah berjaya mencalarkan imej Malaysia di mata dunia serta mengikis sokongan China terhadap Malaysia menerusi tragedi MH370, mempengaruhi puak-puak pemisah di Ukraine untuk menembak jatuh pesawat MH17 adalah sesuatu yang di anggap mudah bagi Israel dimana pengaruh Zionist/Israel sememangnya sudah meresapi ke dalam kerajaan negara Ukraine.

Bagi Israel, penembakan pesawat MH17 bagaikan melontar "seketul batu ke arah dua burung", dimana mereka boleh mencalarkan kredibilti Malaysia dan menuduh puak pro-Rusia/Rusia yang sebenarnya dalang tragedi tersebut dalam masa yang sama.

Jika direnungkan kembali, permainan Israel ini bagaikan satu skrip drama lama yang boleh di jangka dimana pada akhir babak nanti Amerika Syarikat, rakan sekutu Israel akan bertindak sebagai hero dunia dan cuba menyelesaikan masalah ini.

Rakyat Malaysia janganlah memandang enteng di atas perkara ini kerana Amerika Syarikat yang telah sebegitu lama mengidam dan mengintai peluang untuk memperluaskan pengaruh mereka di rantau ini menerusi Malaysia sememangnya tidak akan melepaskan peluang untuk menjadikan alasan Malaysia sebagai sarang latihan pejuang Hamas untuk campurtangan serta memberi tekanan kepada negara ini agar mengikuti telunjuk mereka.

Bersedialah, Malaysia akan ditekan oleh Israel, Amerika Syarikat serta sekutu-sekutu mereka yang lain dan selain dari berdoa, apa yang rakyat Malaysia boleh lakukan adalah bersatu, ketepikan ideologi dan politik kerana sesungguhnya Malaysia akan menghadapi "serangan susulan" selepas ini. 

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List