Showing posts with label TERAS. Show all posts
Showing posts with label TERAS. Show all posts

Thursday, 31 March 2016

PRN11 Sarawak: Henry Sedia Sokong Nansian


Datuk Henry Harry Jinep bersedia memberi sokongan kepada Datuk Peter Nansian Ngusie jika dipilih sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun pada masa sama, Henry yang ditampilkan oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk bertanding di kerusi tersebut juga mengharapkan agar Nansian turut melakukan perkara yang sama jika beliau (Henry) dipilih.

“Saya akan menyokong jika beliau (Nansian) dipilih tetapi begitu juga saya mengharapkan pihak lain untuk melakukan perkara yang sama kepada saya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di kawasan DUN Tasik Biru di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya telah menyeru agar Henry dan Nansian bersumpah untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja antara mereka berdua yang dipilihnya sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Tasik Biru pada PRN nanti.

Dalam pada itu, Henry optimis akan dipilih sebagai calon namun beliau menyerahkan segala keputusan kepada Adenan selaku pengerusi BN Sarawak.

“Saya fikir beliau (Adenan) telah melihat kedua-dua pihak dan adalah jelas bahawa SPDP mempunyai kekuatan kerana bergabung serta bersatu dengan semua parti komponen BN lain,” katanya.

Berhubung perjuangannya untuk bertanding di DUN Tasik Biru sekali gus mengetepikan Nansian selaku penyandang kerusi tersebut selama empat penggal sejak 1996, Henry berkata ia adalah demi mempertahankan hak parti.

“Saya dan Nansian adalah sama-sama dalam satu pihak iaitu BN tetapi bagi kami dalam SPDP, ia adalah hak kami berlandaskan prinsip BN.

“Ini (Tasik Biru) adalah kerusi kami dan kami perlu memperjuangkan hak kami,” tegasnya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Putra Sentosa itu menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dari segi hubungan dengan Nansian.

“Kami banyak mengambil gambar bersama dan senyum antara satu sama lain,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

Wednesday, 30 March 2016

Masalah Empat Parti Diselesai Sebelum Penamaan Calon


Masalah yang melibatkan empat parti di negeri ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menegaskan bahawa masalah berkenaan melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Perkara (masalah antara parti) ini akan diselesaikan sebelum penamaan calon… mereka akan menyelesaikan masalah antara satu sama lain, sama ada SPDP dan TERAS atau SUPP dan UPP.

“Bagi calon terus BN, sama ada mereka perlu meletak jawatan, perkara ini juga tetap akan terus diselesaikan walau apa sekalipun,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus berteka-teki dengan tarikh berkenaan dan membayangkan beliau akan berjuma Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

“Dalam masa terdekat (perjumpaan dengan Tun Taib)… tidak ada guna untuk kita membuat spekulasi sekarang kerana ia semakin dekat,” tegasnya.

Malahan kata Adenan beliau bertemu dengan Tun Taib untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN dan selepas itu ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan.

“Selepas mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi pembubaran DUN, speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR tentang perkara ini dan dari situ SPR akan mengambil alih bagi menentukan tarikh PRN,” katanya.

Sementara itu Adenan turut mengumumkan senarai nama 11 calon dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) termasuk dua daripadanya adalah kerusi baharu.

Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan SnowdanLawan (Balai Ringin).

Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Chuk Pai Ugon (Murum).

“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

Tuesday, 29 March 2016

SPDP Beri "Laluan" Kepada TERAS Di DUN Tasik Biru?



Kehadiran Dato Henry Harry Jinep (SPDP) pada "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama YAB Ketua Menteri Sarawak" di Redeems Centre anjuran TERAS baru-baru ini telah mengundangkan 1,001 kemusykilan.

Ini adalah kerana selain dari Datuk Peter Nansian (TERAS) yang merupakan ADUN Tasik Biru sekarang, Henry juga telah digembar-gemburkan berpotensi menjadi calon bagi kerusi DUN tersebut pada PRN Sarawak Ke-11 nanti.

Lebih menghairankan, Henry terus menghampiri dan bersalaman dengan Petar Nansian dengan mesra sekali di hadapan Ketua Menteri.

Umum tahu SPDP dan TERAS kini diibaratkan berada didalam medan peperangan bagi memastikan calon masing-masing yang akan mewakili BN Sarawak pada PRN11 Sarawak dan kehadiran Henry pada majlis berkenaan dilihat seakan-akan persis "merestui" Peter Nansian dijadikan calon BN Tasik Biru .

Terdapat desas-desus mengatakan SPDP sedang dalam cubaan memujuk TERAS agar "berbahagi" kerusi di antara mereka setelah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Hai Adenan Satem mengumumkan Hajah Rosey Yunus dan Datuk Paulus Palu Ngumbang (kedua-duanya TERAS, yang juga merupakan ADUN Bekenu dan Batu Danau sekarang) sebagai calon BN yang akan mempertahankan kerusi mereka.

Kini hanya ada TIGA kerusi yang menjadi rebutan SPDP-TERAS iaitu Tasik Biru, Marudi dan Pakan (yang kini diwakili oleh Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri dan Tan Sri Datuk Sri William Mawan dari TERAS) yang calonnya belum diumum oleh Ketua Menteri disamping tiga DUN lain; Ba'Kelalan, Kerian dan Meluan (yang dikuasai pembangkang) dan DUN Serembu (DUN Baharu). 

Ada juga suara-suara nakal menyatakan SPDP tidak mahu "berputih-mata" dan menginginkan untuk dijadikan calon pada beberapa kerusi berkenaan.

Henry apabila yang ditanya pemberita akan kehadirannya disana menyatakan, selain mendapat jemputan ke majlis tersebut dari Pejabat Ketua Menteri, beliau juga hadir atas dasar semangat Sambutan easter dan sebagai seorang Kristian.

Walauapapun, kehadiran Henry dimajlis tersebut seakan menberi sedikit harapan kemelut diatara SPDP-TERAS boleh diselesaikan dengan baik agar BN Sarawak dapat menghadapi PRN11 secara mantap dan bersatu. -UnReportedNews™®

*Saya tulis "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama YAB Ketua Menteri Sarawak" anjuran TERAS adalah kerana antara tetamu VVIP pada majlis tersebut adalah Peter Nansian -Timbalan Presiden TERAS :)

Tuesday, 1 March 2016

Keengkaran Komponen Parti BN Sarawak Terima Formula "BN Plus" Adenan Akan Bawa Padah?


Baru-baru ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara terang-terangan tidak bersetuju dengan idea untuk meletakkan calon terus Barisan Nasional (BN) bagi kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem, menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Ketua Wanita SUPP Datin Jennifer Chee Moinie berkata, jika benar perkara itu berlaku maka ia amat tidak adil bagi ahli dan penyokong parti.

“Berikutan proses persempadanan semula terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bengoh yang kini dikenali sebagai Mambong merupakan kerusi tradisi SUPP sejak tahun 1970-an lagi dan ia juga tidak selaras dengan formula perkongsian kuasa BN yang tidak bersetuju untuk meletakkan calon BN terus di Mambong."

“Ini kerana kerusi itu adalah milik parti komponen BN yang sedia ada dan menjadi penghinaan kepada mana-mana parti komponen .. mengapa meletakkan calon BN terus apabila kita mempunyai calon-calon kita sendiri daripada parti-parti komponen?

“Jika ini berlaku, ia boleh melemahkan peluang BN untuk memenangi kerusi itu,” katanya pada ‘BN Unity Dinner’ yang dihadiri oleh lebih 50 ahli parti komponen BN di Mambong.

Riot yang juga dipetik di akhbar Utusan Borneo sebagai berkata, sebagai timbalan presiden dan ketua Unit Bumiputera SUPP, beliau telah diberi mandat oleh Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu SUPP selain mencadangkan calon yang bersesuaian bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya harus akui tugas itu tidak mudah tetapi keputusan perlu dibuat ... bagi SUPP pada persidangan perwakilan tahunan pada bulan Ogos 2015, para perwakilan telah meluluskan resolusi bahawa parti menolak cadangan UPP (Parti Rakyat Bersatu) mengenai isu rundingan kerusi.

“Parti telah memberitahu bahawa ia akan bertanding di semua 19 kerusi tradisi SUPP serta dua kerusi baharu,” kata Riot lagi.

Petikan dari penulisan Dr. Awang Azman Awang Pawi di Utusan Malaysia bertarikh Februari 07, 2016 menyatakan, BN Sarawak sebenarnya kini sedang bergelut dengan krisis dalam politik sesama komponen mahupun "rakan mesra" BN selepas SUPP berpecah dan serpihan dalam parti membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang terajui oleh Datuk Seri Wong Soon Koh yang pernah menerajui SUPP.

Manakala, ketidaksehaluan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengakibatkan ianya turut berpecah dan melahirkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang kini diterajui oleh Tan Sri William Mawan yang pernah menjadi Presiden SPDP.

Kedua-dua parti ini mendakwa menjadi "rakan mesra" BN dan hal ini sudap pastinya menimbulkan masalah dalam pembahagian kerusi. 

Parti SUPP dan SPDP berkeras mahu mengambil kerusi yang merupakan hak parti tersebut manakala ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyertai parti TERAS dan UPP pula mahu bertanding atau meletakkan calon mereka atas tiket parti serpihan tersebut.

Sudah pasti, agak sukar untuk menangani konflik tersebut dan dalam majlis ulang tahun SUPP ke-56, Presiden SUPP, Senator Sim Kui Hian berikrar tidak akan menyerahkan 19 kerusi yang merupakan kerusi asal SUPP dan jelas ini merupakan suatu reaksi yang agak keras.

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing juga menyatakan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana bukan ahli SPDP untuk mengambil kerusi milik asal SPDP dan sudah pastinya, ini akan merumitkan keadaan di Sarawak.

Pertandingan tiga penjuru boleh berlaku sekiranya tidak ada kompromi antara parti SUPP dengan UPP mahupun SPDP dengan UPP dan malah pertandingan empat penjuru juga berlaku sekiranya parti DAP dan PKR tidak ada persefahaman pada saat-saat akhir. 

Meskipun BN mempunyai peluang yang cerah, namun undi pasti merosot atau merudum mahu pun tewas.

Bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sudah pastinya mahu membuktikan rakyat Sarawak memberi mandat sepenuhnya kepada beliau pada pilihanraya yang pertama yang beliau menjadi KM pada PRN11 Sarawak nanti.

Menurut Dr. Awang lagi, strategi Adenan dapat dilihat apabila beliau dengan tegas menyatakan akan memastikan hanya satu calon BN dalam 82 kerusi yang dipertandingkan oleh BN. 

Hal ini bermakna UPP dan TERAS turut mendapat pembahagian kerusi walaupun kurang disenangi oleh SPDP dan SUPP. Beliau sedar formula yang pernah digunakan oleh Taib kurang sesuai kerana ketika era tahun 1980-an DAP tidak begitu dominan manakala PKR belum lagi ditubuhkan.

Ketika ini lawan sengit ialah DAP dan PKR. Difahamkan perundingan dengan parti komponen BN akan terus berlangsung sehingga pada saat-saat akhir penamaan calon. 

Adenan sendiri secara terus terang pernah menyatakan, jika BN Sarawak mahu menang pada PRN11 Sarawak, semua pihak, termasuk SUPP, UPP, SPDP dan TERAS harus mengikut formula yang beliau ilhamkan nanti.

Persoalannya kini, apakah SUPP, UPP, SPDP dan TERAS akan akur akan arahan Adenan atau sebaliknya? Kita tunggu.. -UnReportedNews™®

Sunday, 27 July 2014

TERAS AKAN TENTANG SPDP PADA PILIHAN RAYA JIKA PERLU

-KATA "BN FRIENDLY", TAPI BERTEKAD NAK MENENTANG PARTI KOMPONEN BN SARAWAK YANG SEDIA ADA DALAM PILIHANRAYA NANTI .. HMM .. MACAM CAKAP TAK SERUPA BIKIN JER! KEKEKE!!!-


KUCHING: Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom berkata beliau bersedia untuk melakukan apa sahaja demi mempertahankan parti.

Malah, menurut Mawan, mereka bersedia mencabar Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika itu yang mereka perlu lakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti akan menyerahkan segalanya kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang menjadi ketua mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti bersedia untuk sebarang pertandingan secara terus menentang parti komponen BN pada PRN akan datang khususnya SPDP.

“Bayangkan apabila sesuatu itu dapat dipakejkan semula, ia mencerminkan kebolehan kami yang amat tinggi untuk menggerakkan sesuatu. Sebab itulah kami wujud. Saya rasa kami berhak wujud dan pergi jauh,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial berkata, TERAS lebih daripada sekadar mesra BN.

“Kami berada dalam BN dan akan sentiasa bersama BN, jadi tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa kami tidak mesra BN.

“Dan setakat ini kami kukuh sepenuhnya dalam kabinet,” ujar Mawan.

Maka itu, katanya, ahli dan rakan dalam BN seharusnya berhenti berdendam terhadap mereka kerana mereka adalah rakan dan bukan musuh.

“Saya ingin menyampaikan mesej ini kepada saudara, ahli atau rakan dalam BN bahawa mereka tidak harus takut terhadap kami.

“Mereka tidak harus bimbang mengenai kami kerana kami bukan musuh anda tetapi rakan. Untuk bertindak sebaliknya bermakna mewujudkan lebih banyak masalah,” tegasnya.

Sebagai parti serpihan SPDP, katanya, adalah semula jadi bagi TERAS untuk menghadapi konfrontasi secara terus daripada bekas parti, tetapi bukan parti lain.

“TERAS adalah lebih daripada parti serpihan SPDP dan kita mungkin akan menyaksikan konfrontasi secara terus. Kita boleh memahami keadaan ini tetapi anda tidak boleh menghalang kami daripada menjalankan tugas kami.

“Dan jika boleh apa sahaja yang ada dalam SPDP kita mahu ia diambil alih oleh TERAS.

“Bagi SPDP untuk berkonfrontasi secara terus dengan kami, kami dapat memahaminya tetapi mereka yang tiada urusan dengan kami tetapi melemparkan hinaan dan dakwaan saya rasa adalah tidak wajar,” ujarnya. (sumber)  

-UnReportedNews™®

Wednesday, 25 June 2014

BN SERAH KEPADA KETUA MENTERI SELESAIKAN ISU TERAS


KUCHING: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat menyerahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyelesaikan isu berkaitan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata demikian menambah, formula penyelesaian itu kelak hendaklah tidak menjejaskan kekuatan BN di Sarawak.

“Kita serahkan atas kebijaksanaan Ketua Menteri selaku pengerusi BN Negeri dengan mengambil kira situasi dan keadaan yang kita tahu agak sensitif.

“Apapun keputusan (kelak) tidak akan menjejaskan kedudukan BN, sebaliknya ia memperkuatkan BN,” katanya pada sidang media selepas bermesyuarat dengan barisan kepimpinan BN Negeri di sini, semalam.

Isu TERAS yang ingin menyertai BN merupakan antara topik dibincangkan Muhyiddin menerusi mesyuarat yang dihadiri Adenan, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining.

Menurut Muhyiddin, Adenan dalam mesyuarat itu meminta sedikit masa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Apa formula dan apa keputusan (dicapai kelak) kita yakin ia akan kita selesaikan dalam semangat atau kerjasama dalam BN,” katanya.

TERAS merupakan parti yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Ogos 2013 dan dijadikan platform baharu bagi beberapa wakil-wakil rakyat daripada SPDP dan SUPP yang mengalami krisis dalaman.

Susulan penyertaan itu pemimpin-pemimpin SPDP, SUPP dan PRS menyatakan bantahan mereka terhadap permohonan TERAS yang ingin menyertai BN.

Antara yang menyertai TERAS ialah bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom (Ahli Parlimen Saratok dan ADUN Pakan) dan bekas Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan).

Selain dua pemimpin kanan itu, TERAS juga dianggotai wakil rakyat daripada SPDP merangkumi Datuk Peter Nansian Ngusie (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie Muran (ADUN Marudi), Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Danau) dan Rosey Yunus (ADUN Bekenu).

SUPP terdiri daripada Datuk Dr Jerip Susil (ADUN Bengoh), Ranum Mina (ADUN Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili.

Timbalan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang juga ADUN Pelagus George Lagong turut menyertai parti itu.

Bagaimanapun, pemimpin SUPP, SPDP dan PRS menentang cubaan TERAS untuk menyertai BN.

Kumpulan wakil rakyat tersebut mengumumkan keluar daripada parti masing-masing dan menyertai TERAS pada 15 Mei lalu. (sumber)

-UnReportedNews™®

Tuesday, 24 June 2014

JENTERA BN SARAWAK SUDAH SIAP SEDIA UNTUK PILIHAN RAYA NEGERI!


KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi apa jua perubahan politik dan juga pilihan raya negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri dibincangkan pada sesi taklimat beliau dengan jentera BN Sarawak pada Selasa, antaranya soal berkaitan projek-projek pembangunan yang dijanjikan buat negeri, pendaftaran pemilih, dan juga tanah adat pribumi (NCR).

Beliau berkata sejak berlalunya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas pada 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah mengumumkan peruntukan yang menjangkau lebih RM3 bilion bagi pelbagai projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sarawak.

"...arahan hari ini adalah supaya segala projek yang diumumkan akan kita laksanakan selaras dengan (konsep) janji ditepati. Kalau ada isu-isu berkaitan tapak, kontraktor dan hal-hal tertentu peringkat negeri, ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu beberapa jadual lawatan beliau dan juga Perdana Menteri sudahpun disusun oleh kepimpinan BN Sarawak, bagi membolehkan mereka memantau sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk kawasan tertentu.

Mengulas prestasi BN dalam menunaikan janji- janjinya di Sarawak, Muhyiddin berkata melihat kepada keadaan sekarang, prestasinya cukup baik, namun apa yang penting adalah segala yang diumumkan itu mesti disempurnakan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang.

Menurutnya banyak projek diumumkan secara berperingkat, pada skala yang pelbagai, dan ia perlu diteliti satu persatu.

Muhyiddin berkata selain itu pada 30 Julai ini, Petronas akan memberikan taklimat terperinci kepada kerajaan negeri berhubung pelbagai projek yang dilaksanakan syarikat berkenaan, termasuk tentang hasil minyak negara, perbelanjaannya dan isu berkaitan.

Merujuk kepada isu parti baharu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan beberapa wakil rakyat Sarawak daripada BN, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri sendiri sudah mengambil maklum mengenainya.

"Setakat ini kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri (Sarawak) selaku Pengerusi BN Sarawak (untuk menanganinya), dengan mengambil kira situasi yang sensitif mengenainya.

"Tapi yang penting adalah memastikan bahawa apapun yang timbul nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN," katanya dan menambah Adenan memerlukan sedikit masa lagi untuk menangani isu berkenaan. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Friday, 20 June 2014

BARISAN NASIONAL SARAWAK KINI DALAM DILEMMA?


Ditelan mati emak, diluah mati bapa, begitulah gambaran UnReportedNews™® meninjau perkembangan lanskap politik Barisan Nasional (BN) Sarawak terkini dengan kewujudan parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat (TERAS).

Masakan tidak, tika dan saat ini, TERAS sedang "mengintai" ruang dan peluang untuk menyertai BN Sarawak namun umum tahu (seperti yang tersirat dalam perlembagaan BN) untuk menjadi parti komponen baru BN, ianya perlu mendapat "restu" dari semua parti-parti komponen BN.

Untuk empat parti komponen BN Sarawak yang sedia ada, selain dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bagaikan memilih untuk "berdiam diri" mengenai perkara ini, Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan lantang telah menyuarakan pendirian mereka yakni mereka tidak akan sesekali menerima TERAS sebagai rakan parti komponen BN Sarawak mereka, malah mereka juga bertekad jika perlu, mereka tidak akan teragak-agak "menentang" TERAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam setahun dua ini.

Secara umum, TERAS dilihat bukanlah sebuah parti yang calang-calang kerana ianya diketuai oleh bekas Presiden SPDP yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom serta dianggotai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan bekas Pengerusi SUPP Sibu Dato Seri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus dan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr. Jerip Susil, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Adun Pelagus George Lagong.

Sejujurnya, pandangan UnReportedNews™® yang tidak seberapa ini, dalam hal ini, berpegang kepada perinsip adalah jalan yang terbaik sekali dimana sesuatu perlembagaan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia itu sendiri haruslah di patuhi. Yang tidak dibolehkan seharusnya tetap tidak dibolehkan, jangan kerana sesuatu situasi atau keadaan maka undang-undang atau perlembagaan itu di "bengkok"kan dan tidak berlandaskan dengan undang-undang atau perlembagaan yang sedia ada.

Mungkin pandangan UnReportedNews™® ini akan mendapat reaksi yang negatif dari sesetengah pihak namun ini adalah realiti kerana sekiranya BN Sarawak tidak mematuhi perlembagaan mereka sendiri, ianya mungkin akan menjadi "benchmark" serta memulakan "trend yang baru" pada masa yang akan datang dimana sekiranya ada ahli-ahli parti komponen BN yang tidak bersependapat lagi, mereka akan dengan senang-lenang keluar dari parti komponen BN yang sedia ada untuk mewujudkan sebuah parti yang baru sebelum memohon kembali sebagai sebuah parti komponen BN.

Walaubagaimanapun, UnReportedNews™® tetap yakin Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem menpunyai resolusinya yang tersendiri dalam permasalahan ini di mana beliau akan "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak" untuk menyelesaikannya dengan cara yang bijaksana bagi pihak-pihak yang berbalah agar tidak merugikan BN Sarawak dan sebaliknya, akan menguntungkan pula pihak pembangkang.

-UnReportedNews™®

Sunday, 15 June 2014

TIGA BEKAS WAKIL RAKYAT SUPP DIPECAT!


KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam memecat tiga bekas wakil rakyatnya iaitu Datuk Dr Jerip Susil (ADUN) Bengoh), Ranum Mina (ADUN Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili).

Presidennya Tan Sri Peter Chin berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) setelah kegagalan parti mendapatkan penjelasan daripada ketiga-tiga wakil rakyat itu berhubung sama ada mereka menyertai atau menyokong parti baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Kami (parti) telah menghantar tiga surat kepada tiga ADUN iaitu bekas ADUN SUPP Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong untuk memberi penjelasan kepada kami dengan memberi tempoh 14 hari daripada tarikh surat dihantar iaitu 20 Mei lepas.

“Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka dan disebabkan kegagalan mereka berbuat demikian hasil mesyuarat CWC hari ini kami memutuskan mereka bertiga dipecat daripada parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan CWC di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.

Chin menegaskan, surat yang dihantar itu bagi mendapatkan penjelasan kerana sebelum ini parti mempunyai bukti jelas bahawa mereka menyokong atau menyertai TERAS kerana mereka berada pada sidang media mengenai TERAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Mei lepas.

“Keputusan juga diambil kerana selepas itu mereka pernah membuat kenyataan pada sidang media dan CWC memutuskan untuk memecat mereka.

“Mereka adalah wakil rakyat yang dipecat parti selepas bekas ahli SUPP Dato Sri Wong Soon Koh yang disinggirkan daripada parti oleh CWC pada mesyuarat sebelum ini iaitu 31 Mei lepas,” tegas beliau.

Sementara itu pada sidang media yang sama Chin turut memberitahu, terdapat tiga cawangan parti sehingga kini belum mengemukakan senarai kutipan yuran ahli kepada parti pusat untuk dikemas kini sebelum Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) akan datang.

Ia kata beliau bagi memudahkan parti pusat menyemak sama ada mereka benar-benar ahli atau tidak yang akan menjadi penanda aras sama ada mereka layak menyertai pemilihan atau tidak.

“Tiga cawangan terbabit adalah Belaga, Kemena serta Sibu dan apabila mereka tidak menghantar senarai maka ahli-ahli cawangan terbabit tidak boleh terlibat dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Chin memberitahu, pemilihan pada peringkat cawangan dan cawangan kecil SUPP akan diadakan bermula pada 15 Julai hingga 3 Ogos 2014 dan sehingga kini parti mempunyai 43 cawangan.

“Selain itu bagi memastikan pemilihan dijalankan dengan baik di peringkat cawangan, kami mengeluarkan satu panduan sebanyak 14 perenggan agar pemilihan dijalankan mengikut perlembagaan.

“Ia bagi memastikan pemilihan dijalankan dengan lancar dan tidak ada sesiapa akan mempersoalkan tentang pemilihan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lagi seperti yang berlaku pada TDC pada tahun 2011,” tegasnya. (sumber)

-UnReportedNews™®

Wednesday, 11 June 2014

JAMINAN MP BARAM TIDAK AKAN SERTAI TERAS & SETIA KEPADA SPDP/BN

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau hari ini menjelaskan bahawa beliau masih menganggotai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan setia terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang baharu, Tan Seri Adenan Satem.

Wakil rakyat Barisan Nasional bagi penggal pertama itu berkata beliau tidak pernah bercadang meninggalkan SPDP atau memohon untuk menyertai parti lain.

"Saya ingin menjelaskan di sini kedudukan saya sebagai wakil rakyat bagi Baram... ada khabar angin yang menyatakan bahawa saya sudah meninggalkan SPDP. Saya masih menganggotai SPDP dan wakil rakyat BN. Tak mohon untuk sertai mana-mana parti selain SPDP.

"Saya menyokong Ketua Menteri Sarawak yang baharu dan Pemangku Presiden baharu SPDP (Datuk Seri Tiong King Sing) kerana kami di bawah payung BN," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, Isnin.

Bulan lepas, Ngau dan sepuluh lagi wakil rakyat BN dilaporkan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) bersama-sama bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan pemimpin kanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Ditanya kehadiran beliau pada sidang akhbar TERAS, Ngau berkata: "Maafkan saya, saya masih terlalu baharu dalam politik," dan enggan mengulas lanjut. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Tuesday, 10 June 2014

PRS, SPDP & SUPP MENENTANG TERAS SERTAI BN, PBB?!


Impian Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) pasti menemui ‘jalan mati’.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing yang memberitahu, tiga daripada empat parti komponen BN di negeri ini tidak menyokong parti itu menyertai BN.

“PRS, SPDP dan SUPP menentang TERAS menyertai komponen BN dan hanya PBB yang belum membuat kenyataan secara umum mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, untuk menjadi komponen BN ia memerlukan 100 peratus persetujuan semua pihak (parti komponen lain), namun permohonan TERAS untuk menyertai BN hanya menemui jalan mati,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kelmarin.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata TERAS akan menjadi tentangan kepada SUPP dan SPDP pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“TERAS akan menentang SUPP (19 kerusi DUN) dan SPDP (lapan kerusi) menggunakan simbol masing-masing dan parti yang menang akan menyertai BN.

“Itulah formula yang diguna pakai untuk BN Plus 1983 lalu seperti PBDS menentang SNAP dahulu,” jelasnya.

Namun, beliau memberitahu bahawa pemenang yang sebenar adalah pembangkang kerana berjaya menghuru-harakan BN sendiri. (sumber)  

-UnReportedNews™®

Friday, 6 June 2014

KETUA MENTERI SARAWAK AKAN MASUK CAMPUR HANYA JIKA TERAS "MEMUDARAT"KAN BN NEGERI

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan hanya masuk campur untuk menangani tindak-tanduk beberapa ahli politik yang keluar daripada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menyertai parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), apabila keadaan boleh menjejaskan kedudukan BN.

Adenan berkata sebagai pengerusi BN negeri, beliau tidak boleh mencampuri urusan dalaman mana-mana parti komponen. Bagaimanapun, beliau berkewajipan berbuat sesuatu dalam isu itu dengan kedudukannya sebagai penasihat.

Adenan berkata demikian kepada pemberita dalam perjumpaan khas dengan media di Kuching bersempena 100 hari beliau menjadi ketua menteri Sarawak.

Beliau merujuk kepada isu lima anggota dewan undangan negeri dan seorang anggota parlimen daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), dan empat anggota dewan undangan negeri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), menyertai TERAS.

Apabila diminta mengulas tentang permohonan TERAS untuk menyertai BN, Adenan berkata: "Kami akan buat keputusan mengenainya apabila sampai masanya (nanti)".

Adenan berkata baru-baru ini, beliau memberi taklimat tentang isu itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baru-baru ini juga beberapa pemimpin SPDP dan SUPP menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap TERAS dan meminta BN tidak menerima parti itu sekiranya ia memohon untuk menjadi parti komponen.

Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata beliau akan membantah kemasukan TERAS ke dalam BN dan yakin parti baharu itu tidak akan diterima kerana bukan sahaja SUPP yang membantahnya, tetapi juga beberapa parti komponen lain, termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS), SPDP dan parti lain di Sabah dan malah, parti dari Semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang bagaimanapun enggan mengulas tentang isu itu.
Menurut sumber, bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, akan mengetuai TERAS sebagai presiden.

Mawan, anggota parlimen Seratok dan anggota dewan undangan negeri Pakan, meninggalkan SPDP untuk menyertai TERAS bulan lepas berikutan krisis yang melanda parti itu.

Penganjur TERAS, Datuk Peter Nansian Ngusie, yang juga Menteri Muda Perkhidmatan Komuniti dan Pembangunan Industri Sarawak dan anggota dewan undangan negeri Tasik Biru, disebut-sebut akan menjadi timbalan presiden.

Bekas pengerusi SUPP cawangan Sibu dan anggota dewan undangan negeri Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh pula diramal menjadi setiausaha agung.

Menurut Nansian, TERAS akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa Ahad ini.-BERNAMA

-UnReportedNews™®

Monday, 19 May 2014

FITNAH KE ATAS TERAS BERMULA?

-BELUM APA-APA LAGI, PARTI TERAS TELAH DI FITNAH SEBAGAI PARTI RASIS YANG BERKEPENTINGAN UNTUK KAUM DAYAK SAHAJA! DENGKI LAH TU! KEKEKE!!!-


Surat layang ini dikatakan telah diedarkan di Bandaraya Kuching memburukkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang baru di anggotai bekas Presiden Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom.

Surat tersebut secara terang-terangan memburukkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan komuniti dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu Dato Seri Wong Soon Koh serta tidak menggalakkan ahli-ahli SUPP menyertai TERAS dengan alasan berbaur perkauman.

Sekata ini, TERAS dianggotai Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus,  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Pelagus George Lagong.


Sementara itu, siang tadi Pengerusi SPDP Bahagian Pending Athanasius Audie Chua berserta semua ketua sayap wanita, pemuda, putera dan puteri SDPD Bahagian Pending telah meletakkan jawatan secara rasmi untuk mengikuti langkah Mawan menyertai TERAS.

"Setakat ini 86 ahli SPDP Bahagian Pending telah mengembalikan kad keahlian SPDP mereka untuk menyertai TERAS," kata Audie sambil menegaskan penyertaan mereka ini bukanlah untuk "mencari musuh" namun  atas dasar kepercayaan dan kesetiaannya kepada kepimpinan Mawan.

-UnReportedNews™®

Friday, 16 May 2014

RAHSIA SEBENAR MENGAPA MAWAN TINGGALKAN SPDP?

-TINDAKAN TERSEBUT DIKATAKAN DI AMBIL UNTUK MENGELAKKAN BELIAU DISINGKIR DALAM PEMILIHAN AGUNG SPDP YANG TELAH DIJADUAL BERLANGSUNG PADA MINGGU HADAPAN-


Tindakan Presiden Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom melepaskan jawatannya telah dikatakan untuk menjaga air mukanya sendiri.

Terkini, sumber dalaman telah memaklumkan UnReportedNews™® bahawa terdapat desas-desus mengatakan terdapat satu rancangan untuk "menyingkirkan" Mawan dari jawatan Presiden dalam Pemilihan Agung SPDP yang dijadual berlangsung minggu hadapan.

Difahamkan juga, rancangan untuk menyingkirkan Mawan telah didalangi oleh beberapa "orang kuat" SPDP sendiri kerana tindakan Mawan menerima kembali anggota-anggota G5 ke pangkuan SPDP tidak berapa lama dahulu.

Semalam, Mawan menyatakan keputusan itu dibuat berikutan kemelut yang melanda SPDP yang diterajuinya 10 tahun yang lalu menemui jalan buntu diikuti dengan pengumuman enam Menteri kabinet negeri Sarawak keluar parti mengikuti langkah Mawan.

Selain Mawan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan komuniti dan pengerusi parti Rakyat Bersatu Sarawak cawangan Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda kemudahan Awam, Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal, Rosey Yunus dan Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Adun Pelagus George Lagong turut membuat keputusan keluar parti.

Pengumuman ini dibuat dalam sidang media tergempar yang diadakan sejurus berakhirnya persidangan dewan undangan negeri Sarawak semalam juga telah menyatakan mereka akan bergabung untuk membentuk sebuah parti baharu iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List