Belum berbunyi lagi semboyan perang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dah mula bertelagah sesama mereka sendiri mengenai siapa yang seharusnya diletakkan sebagai calon nanti.
Pucuk pimpinan dan akar umbi nampaknya tidak sebulu dalam pemilihan calon dan terkini, ahli dan penyokong PKR Machan sebulat suara menentang pencalonan semula George Chen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Menurut jurucakap kumpulan tersebut Mathew Baba yang dipetik dari Utusan Borneo sebagai berkata, pihaknya mengadakan pertemuan di Machan Sabtu lalu dimana mereka bersetuju mengumpul tandatangan sokongan penduduk dan ahli parti mahu kerusi DUN Machan diwakili calon tempatan serta berbangsa Iban dan bukan calon luar dan bukan Iban.
“Hasil pertemuan bersama penyokong dan ahli PKR peringkat akar umbi, ramai tidak bersetuju dengan pilihan pemimpin PKR Negeri terutama pengurus pilihan rayanya mahu Chen bertanding di Machan meskipun beliau dipilih berdasarkan KPI cemerlang.. namun, PRN pemilihan berdasarkan KPI bukan perkara penting menjamin kemenangan PKR di Machan."
Menambah calon pilihan pengundi dan rakyat boleh menjadi antara faktor kemenangan, Mathew berkata, calon tempatan menjadi pilihan ramai ialah ahli muda berpendidikan tinggi berasal dari Hulu Machan, Semawi Paong.
Katanya, pihaknya baharu kembali dari Machan petang kelmarin turut membawa bersama senarai tandatangan yang akan diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dalam masa terdekat.
"Bekas pemanca dan masyarakat Cina Machan turut menyokong petisyen menolak pencalonan semula Chen yang pernah tewas di kerusi tersebut dan meletakkan calon tempatan, Semawi," ujarnya lagi.
“Bukan mahu memperkecil kemampuan Chen namun jika PKR mahu menang kerusi Machan mereka perlu akur dengan pilihan penduduk mahu calon tempatan kerana pengundi di Machan hampir 96 peratus adalah kaum Iban dan jika PKR berkeras mahu meletakkan Chen di Machan, ia menjejaskan peluang PKR untuk menawan kerusi itu buat julung kalinya kerana PKR perlu akur bahawa isu calon luar akan menjadi topik ‘serangan mudah’ calon Barisan Nasional (BN),” tambahnya lagi.
Penyandang kerusi DUN Machan adalah Datuk Gramong Juna yang diperkatakan hendak mengundur diri untuk memberi ruang kepada muka baru pada PRN Ke-11 ini.
Pada PRN Sarawak Ke-10 pada 2011 yang lepas, Gramong-PBB mempertahankan kerusi Machan selepas mendapat 3,683 undi menewaskan calon PKR, George Chen Nguk Fa (2,054 undi) dengan majoriti 1,629 undi manakal Kong Tat Kim -Parti Cinta Malaysia hanya mendapat 696 undi dan Agustine Anak Liom-SNAP (338 undi).
Gramong telah menjadi ADUN Machan selama 8 penggal dan memegang portfolio Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) dan Kemajuan Tanah.
-UnReportedNews™®
No comments:
Post a Comment
You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)
-UnReportedNews™®