Showing posts with label Mahathir Mohamad. Show all posts
Showing posts with label Mahathir Mohamad. Show all posts

Friday, 10 July 2015

Clare Rewcastle Brown: Penyiasat Yang Kini Sedang Disiasat


Oleh Raja Petra Kamarudin.

Semalam, terdapat dua posting blog menarik yang bertajuk "Jutaan Ringgit Dalam Akaun Rosmah - Mana datangnya? EKSKLUSIF!" dan "Pendakwaan mengejutkan oleh Sarawak Report".

Selama enam tahun atau lebih, Clare Rewcastle Brown telah menggunakan Sarawak Report menyerang Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya, dengan hanya satu objektif: untuk menjatuhkan Barisan Nasional Sarawak dan menyerahkan negeri itu kepada PKR.

Matlamatnya hanya satu dan 'kuda' yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak baru sebaik PKR mengambil alih kerajaan negeri ialah Baru Bian yang telah mengadakan lawatan beberapa kali ke London untuk berjumpa Clare.

Pada suatu ketika, ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, membuat keputusan untuk membatalkan rancangan menjadikan Baru Bian sebagai ketua PKR Sarawak dan menggantikannya dengan calon Islam. Clare marah dengan keputusan itu. Dia menghentikan operasi Sarawak Report serta-merta dan menelefon Anwar bagi membantah keputusannya. Jika Anwar tidak menaikkan Baru Bian sebagai Ketua PKR Sarawak mengikut rancangan asal, maka Sarawak Report akan terus ditutup dan Clare tidak akan membantu PKR menjatuhkan Taib.

Anwar mengalah dan beberapa hari kemudian, Sarawak Report kembali beroperasi.

Tun Dr Mahathir Mohamad melihat Sarawak Report sebagai kenderaan yang sesuai untuk digunakan dalam misi menjatuhkan Perdana Menteri, jadi dia bertemu dengan Clare untuk membincangkan kemungkinan Sarawak Report bekerjasama dengan pakatan anti-Najib.

Kemungkinan sentiasa ada, sudah tentu, tetapi semuanya bergantung pada isu wang. Sarawak Report juga dibiayai oleh pihak yang mahu menyingkirkan Taib dan mahu PKR mengambil alih Sarawak. Untuk melakukan perkara yang sama dalam kempen menggulingkan Najib, pembiayaan yang lebih besar amat ditagih.

Selama ini, Sarawak Report melakukan serangan sehala dengan menyerang Taib dan keluarganya tetapi Taib tidak melawan. Sebaliknya, dalam siri serangan Najib, penyokong Najib tidak akan membenarkan Clare terus menyerang Perdana Menteri dan keluarganya tanpa sebarang tindak balas.

Para penyiasat kini sedang menyiasat jumlah wang yang diterima Clare dan Sarawak Report untuk beberapa tahun ini dan siapa pembiayanya (walaupun identiti pembiaya itu lebih-kurang sudah diketahui). Penyiasat tahu Clare memperolehi wang dari luar UK tetapi apa yang mereka mahu tahu adalah berapa banyak daripada wang itu tidak diisytiharkan dan telah disembunyikan dari pengetahuan pengutip cukai UK.

Penyiasat juga sedang menyiasat bagaimana Clare yang bermula sebagai seorang wartawan telah menjalani gaya hidup yang berbeza selepas dia mula menyerang Taib dan kini, selepas dia mula menyerang Najib, gaya hidupnya mirip dengan gaya hidup sasaran serangannya. Tidak syak lagi bahawa Clare menerima wang dan ada seseorang yang membelanjakan wang yang banyak untuk membiayai serangan ke atas Najib, kata para penyiasat.

Penyiasat mahu membuktikan Clare adalah seorang mata duitan dan motivasi utamanya adalah wang, bukan mencari kebenaran. Malah, kata para penyiasat, Clare yang kononnya sentiasa mencari kebenaran, sanggup menggunakan taktik penipuan dan dokumen palsu bagi menyerang sasarannya.

Apa pun, semoga berjaya kepada penyiasat kerana saya yakin orang yang licik seperti Clare tahu cara menutup jejak langkah dan tidak akan meninggalkan sebarang bukti. Lagipun, kerjanya selama ini adalah menyiasat orang lain jadi dia mesti tahu apa kesilapan yang sering dibuat orang, yang juga bermaksud dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.

Pasukan penyiasat bagaimanapun berkata ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk membuktikan dakwaan itu. Mereka merujuk kepada pangsapuri mewah bernilai jutaan paun yang didiaminya yang tidak mungkin dapat dimiliki orang biasa kecuali mereka yang berada dalam kategori jutawan.

Setelah jumlah hartanya dikenal pasti, tindakan undang-undang akan difailkan terhadap Clare. Para penyiasat mengatakan peguam sudah pun meneliti perkara ini dan mereka merancang untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mereka tidak akan mendedahkan strategi tetapi penyiasat percaya Clare telah melampaui batas dalam pendedahan terbarunya mengenai akaun bank Rosmah.

Nampaknya saman juga mungkin akan difailkan terhadap Affin Bank Berhad kerana bekerjasama dengan Clare mendedahkan butiran perbankan peribadi pemegang akaun mereka. Jika mereka memutuskan untuk mendakwa pihak dari Affin Bank yang terlibat dalam koloborasi ini dengan pendakwaan jenayah, pesalah yang terlibat mungkin sanggup membuat perjanjian agar tidak dipenjarakan dengan mendedahkan pihak berkaitan yang turut terlibat dan segala urusan dengan Clare, yang akan mengukuhkan lagi kes terhadap pengasas Sarawak Report itu.

Sementara itu, pihak polis Thai telah meminta polis Malaysia beberapa nama rakyat Malaysia yang boleh membantu mereka dalam siasatan terhadap Xavier Andre Justo. Pembantu Dr Mahathir, Sufi Yusuf dikatakan adalah antara lima rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dalam jenayah mencuri data dan jenayah pemalsuan emel. Hmm ... adakah Sufi akan menyambut Hari Raya di Kuala Lumpur atau di Bangkok tahun ini?

Selain itu, polis Thailand juga sedang menyiasat aliran wang kepada Justo. Polis mahu tahu berapa banyak yang dibayar dan bagaimana ia dibayar, melalui wang tunai atau pemindahan elektronik. Mereka mahu tahu siapa lagi yang membayar kepada Justo selain RM15 juta yang diterimanya dan sudah diketahui umum. Sekiranya wang tunai diseludup ke Thailand untuk membayar Justo, ia akan menjadi satu lagi kes jenayah kerana menyeludup wang tunai ke Thailand tanpa mengisytiharkannya adalah menyalahi undang-undang negara itu.

Plot semakin rancak dan kita mungkin di ambang melihat perkembangan yang lebih menarik dalam isu 1MDB ini. Ya, cerita ini masih belum berakhir. Sebaliknya ia baru bermula. Dijangkakan ia akan menjadi lebih panas dalam tempoh beberapa minggu akan datang. - Sarawakiana 

-UnReportedNews™®

Friday, 3 July 2015

Tuduhan Ke Atas Perdana Menteri Adalah Satu Cubaan Sabotaj Politik


Dakwaan bahawa dana 1MDB telah dipindahkan kepada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu “sabotaj politik,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

The Wall Street Journal dan Sarawak Report menerbitkan artikel pada hari Jumaat mendakwa bahawa hampir US $ 700mil (RM2.63bil) dana 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun-akaun peribadi Perdana Menteri.

“Walaupun kepimpinan Perdana Menteri berjaya menghalangi kemerosotan ekonomi global terhadap ekonomi Malaysia seperti yang diiktiraf minggu ini dengan kenaikan taraf Fitch – ada usaha bersepadu oleh individu-individu tertentu untuk melemahkan keyakinan para pelabur terhadap ekonomi negara kita, menjatuhkan kredibiliti Kerajaan, dan juga cubaanm untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

“Dakwaan terkini, oleh penyiasat yang tidak dinamakan sebagai asas untuk menyerang Perdana Menteri, adalah kesinambungan daripada cubaan sabotaj politik ini,” kata PMO dalam satu kenyataan pada hari ini.

Ia adalah satu jenayah pemalsuan dokumen, pendoktoran dan pemerasan yang “mengelirukan media dan orang ramai”.

“Oleh itu adalah wajib bagi media yang bertanggungjawab untuk tidak menerima sebarang dokumen tersebut sebagai tulen melainkan jika telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri juga menyatakan bahawa 1MDB juga telah menyatakan bahawa syarikat itu tidak menyediakan dana kepada Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lebih awal pada hari ini.

Kenyataan Akhbar 1MDB

1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menafikan pernah menyalurkan dana ke akaun milik perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan awal hari ini, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report hari ini mendakwa, siasatan ke atas syarikat itu mendapati berbilion ringgit telah disalurkan ke dalam beberapa akaun peribadi Najib.

Menurut 1MDB, laporan yang dikeluarkan beberapa agensi media dan blog seperti Sarawak Report adalah tidak benar dan merupakan tuduhan liar terhadap syarikat serta kerajaan.

“Kami terkejut apabila dokumen seperti ini, di mana kewujudan dan kesahihannya belum dipastikan, masih diguna untuk memfitnah 1MDB,” kata 1MDB.

WSJ dan Sarawak Report memetik dokumen yang kononnya diperoleh daripada siasatan ke atas 1MDB.

WSJ melaporkan, dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan. - MYKMU 

-UnReportedNews™®

Friday, 5 June 2015

Adenan Sokong PM, Zainudin Maidin Pula Yang Naik Minyak?


Kenyataan bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin yang mendakwa, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak adalah kerana "hasil sumbangan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad" tiada relevan langsung malah dilihat sebagai satu propaganda murahan. 

Ianya adalah susulan dari sokongan terbuka Adenan dan Sarawak baru-baru ini kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan luahan Adenan terhadap "Sarawak yang kurang mendapat perhatian dari Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini termasuk pada era Tun Mahathir Mohamad."

Zainuddin, yang dipetik dari sebuah portal sebagai berkata, Tun Mahathir memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik di negeri ini dan menyokong bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud (yang kini telah dilantik Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak).

"Mahathir juga memainkan peranan penting juga dalam mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak Kerajaan dan antara banyak sumbangannya adalah menghalang UMNO untuk masuk ke Sarawak walaupun tekanan yang besar untuk berbuat demikian," katanya lagi.

"Dan sekiranya Tun Mahathir tidak berbuat demikian, Adenan tidak mungkin menjadi Ketua Menteri Sarawak hari," kata Zainuddin lagi.

Bagi penulis, kenyataan Zainuddin jelas menunjukkan beliau dalam keadaan begitu terdesak dan kecewa. (Baca sepenuhnya)

-UnReportedNews™®

Thursday, 21 May 2015

Punca Sebenar Mengapa 1MDB "Diserang"?


Sebelum ini saya tidak bercakap sangat mengenai isu kontroversi yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mengapa 1MDB? Apakah peranan 1MDB ini dan apakah sumbangannya terhadap ekonomi di negara kita?

Saya simpan segala maklumat berkaitan perkara ini tetapi hari ini, saya terkejut apabila mengetahui satu perkara yang disampaikan oleh rakan saya. Maklumat ini adalah sama dengan apa yang saya simpan selama ini.

Saya yakin maklumat ini tidak bersifat bias dan berat sebelah.

Selaku konsultan LNG, saya berpeluang berkomunikasi dengan Petronas, TNB, TNB Tenaga, PEMANDU, Suruhanjaya Tenaga dan agensi yang berkaitan untuk tempoh selama 3 tahun, mulai 2011.

Saya membantu memberi pencerahan kepada kakitangan PEMANDU, TNB dan Suruhanjaya Tenaga berkenaan satu sumber tenaga baharu – Gas Asli Cecair sebagai sumber bahan api untuk loji janakuasa dan kegunaan konvesional di bandar dan di rumah.

Pada 1990-an, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan konsep Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) untuk tujuan penjanaan kuasa eletrik.

Pemain utama yang memiliki IPP adalah Tan Sri Syed Mokhtar, Kumpulan YTL, Kumpulan Genting dan Ananda Krishnan. Sime Darby merupakan salah sebuah IPP tapi sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, tidak banyak perhatian yang diberikan.

Pemain-pemain ini memperolehi perjanjian yang paling menarik dan berat sebelah hinggakan bekas pengerusi TNB, Allahyarham Tan Sri Ani Arope iaitu seorang yang penuh intergriti enggan menandatangani perjanjian ini dan meletak jawatan sebagai protes.

Ia menyebabkan pembangkang menyerang kerajaan dan menyifatkan ia sebagai `perjanjian kroni’ malah tindakan kerajaan menganugerahkan subsidi yang banyak kepada IPP ini dipersoalkan.

Malah pada Mei 2011, salah seorang ahli parlimen pembangkang menyifatkan IPP sebagai ‘kilang dadah yang besar’ yang memerlukan jumlah subsidi yang sangat besar dari kerajaan, dianggarkan berjumlah RM19 bilion setahun.

Pada pertengahan 2011, saya dilantik sebagai perunding LNG untuk mengkaji kemungkinan mengimport LNG melalui Terminal Regas Melaka di Sungei Udang yang dimiliki sepenuhnya oleh Petronas.

Konsep penyimpanan LNG terapung ini menggunakan dua kapal LNG lama dengan sebuah jeti terapung, yang pertama seumpamanya di dunia, telah diutarakan oleh saya sendiri kepada CEO Petronas Gas.

Ia dapat menjimatkan Petronas namun disebabkan akibat ketidaksamaan harga LNG import dan gas tempatan, TNB yang memperolehi keuntungan yang sedikit dari IPP tidak dapat menyerap ketidaksamaan harga ini dan tidak dapat membeli secara terus gas LNG import ini, menyebabkan Petronas terpaksa bertindak sebagai pengimport dan pemberi subsidi.

Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan sebuah syarikat iaitu MyPower untuk merundingkan kembali perjanjian yang masih berbaki dengan IPP.

Selepas itu, 1MDB membeli IPP dari Ananda Krishnan pada Mac 2012, diikuti pembelian IPP Genting pada Ogos 2012.

Pada Oktober 2012, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan keputusan perjanjian konsesi dengan IPP dan seperti yang ditetapkan, tempoh konsesi perjanjian dengan IPP yang dimiliki oleh Ananda tidak akan dilanjutkan, begitu juga dengan perjanjian baru konsesi dengan 3 lagi IPP.

Konsesi baru hanya diberikan kepada 1MDB dan TNB, bertujuan memastikan syarikat swasta membuat keuntungan yang berlebihan melalui subsidi kerajaan.

Kesilapan sejak 20 tahun lepas mengakibatkan Petronas dan TNB mengalami kerugian hingga RM100 bilion.

Sepatutnya pujian diberikan kepada PM Najib, Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB kerana menyelamatkan negara daripada subsidi berlebihan kepada syarikat-syarikat ‘anak emas’ rejim terdahulu.

Sepatutnya tarif elektrik untuk pengguna Semenanjung dinaikkan pada Julai tahun lepas dan Januari lalu, di bawah Fuel Cost Pass Through (FCPT) tetapi ia tidak berlaku kerana perjanjian baru ini lebih seimbang dan menguntungkan TNB.

Sebaliknya tarif elektrik diturunkan pada Mac lalu akibat penurunan harga arang batu dan pengurangan tarif IPP ini.

Melalui perjanjian ini juga, TNB mencatatkan keuntungan mulai 2012, 2014 dan suku pertama tahun ini dengan rekod keuntungan RM 2.3 bilion untuk 3 bulan pertama 2015.

Justeru pihak yang paling mendapat keuntungan dalam semakan perjanjian ini adalah TNB, pengguna dan Petronas.

Sementara pihak yang paling rugi pula adalah pemilik asal IPP, dan mungkin itu sebabnya mereka tidak gembira dengan 1MDB dan PM Najib, termasuk pemimpin kanan UMNO.

Isu mengenai Tun Razak Exchange(TRX) dan pembelian tanah oleh Tabung Haji pula tidak begitu signifikan berbanding jumlah yang berjaya dijimatkan melalui semakan semula perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

Sementara tuduhan pembangkang melibatkan penyalahgunaan dana oleh 1MDB, peranan dimainkan oleh Jho Low, kehilangan keuntungan dari pelaburan Petro Saudi dan yang terbaru, kontroversi pembelian sebidang tanah seluas 1.5 ekar bernilai RM 155 juta oleh anak syarikat Tabung Haji hanya bermula hujung tahun lepas ketika 1MDB tidak mampu menjana dana yang cukup untuk membayar ansuran hutangnya.

Isu ini semakin diputarbelit agar 1MDB dilihat kehilangan RM 44 bilion, meskipun ia tidak tepat.

1MDB tidak kehilangan RM 44 bilion sebaliknya mereka perlu mencari sumber lain untuk pembayaran semula hutang.

Akibat publisiti buruk ini, dikhuatiri Deutche Bank akan menuntut pembayaran hutang lebih awal.

Tetapi lebih baik jika kita tidak memuat spekulasi sebaliknya tunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara yang dijangka diperolehi pada Jun ini.

Selain itu, 1MDB turut mendapat perhatian peguam terkemuka dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang tidak ketinggalan memberi ulasan dengan meminta Najib sebagai pengerusi 1MDB menjawab semua tuduhan yang dilemparkan.

Malah adik Najib yang juga pengerusi CIMB dalam satu mesyuarat juga menegaskan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB dan ahlinya perlu melakukan perkara yang sama.

Sebaliknya, kredit yang signifikan harus diberikan kepada kerajaan yang diketuai Najib untuk menyelamatkan negara ini tetapi beliau berdepan cabaran sementara akibat gangguan pembangkang.

Ironinya ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, pembangkang begitu lantang mempersoalkan layanan yang begitu istimewa dinikmati oleh IPP tersebut dan kini mereka sekali lagi cuba menggagalkan PM dan 1MDB untuk menyelamatkan negara dari menanggung subsidi yang terlampau banyak.

Tapi satu perkara yang pasti, agenda utama pembangkang adalah mencari salah dan melaungkan kesalahan itu, baik yang dilakukan oleh kerajaan atau pun syarikat berkaitan kerajaan. Ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan politik dan menarik sokongan pengundi ke arah mereka.

Ini adalah pandangan peribadi saya dan saya tinggalkan kepada para pembaca untuk membuat tafsiran sendiri terhadap isu ini. – FB Eol Zari



-UnReportedNews™®

Thursday, 9 April 2015

Tu Dia .. Jawapan Perdana Menteri


Persoalan dan kritikan yang ditimbulkan beberapa pihak pihak kebelakangan ini berkaitan isu pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat perhatian ramai.

Malahan, Perdana Menteri turut diminta melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya beliau terus memimpin.

Menerusi edisi khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri dengan moderatornya, Hamdan Ahammu, pemimpin nombor satu negara itu akan menjelaskan pelbagai persoalan membabitkan isu politik dan ekonomi semasa. 

Moderator: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri serta warga kerja Pejabat Perdana Menteri di atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri) dan juga Datuk Mohd Poad Jelani (Setiausaha Sulit Perdana Menteri).

SOALAN (S): Bagaimanakah Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berduka cita ini.

PERDANA MENTERI (PM): Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan satu tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai...dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisyen dan amanah. Begitu juga Allahyarham Datuk Poad sebagai setiasusaha sulit saya telahpun menjalankan tugasnya dengan baik.

Namun walaupun saya tetap dalam kesedihan, tetapi kehilangan mereka itu, pemergian mereka itu menguatkan lagi iltizam saya untuk terus menjalankan tugas saya memimpin negara kita dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.

EKONOMI

S: Kita dapati baru-baru ini, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan yang kita hadapi secara global dari segi ekonomi. Bagaimanakah Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dari segi memantapkan lagi ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

PM: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masanya. Berikutan dengan kejatuhan harga minyak, agak begitu drastik merudum hingga kepada paras separuh daripada masa-masa sebelum ini.

Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat pengubahsuaian kepada kedudukan fiskal negara supaya dengan langkah-langkah yang lebih proaktif, kita dapat menjamin bahawa fundamental negara masih kukuh, ini yang saya nak tekankan.

Meskipun harga minyak jatuh, tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Kita masih boleh menarik pelaburan, masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.

KRITIKAN DR MAHATHIR

S: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan dari segi memantapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Tapi dalam pada itu Datuk Seri, ada juga pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri. Saya ingin khususkan kepada kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimanakah Datuk Seri melihat kritikan ini?

PM: Saya tetap menghormati Tun Mahathir seperti mana saya menghormati semua rakyat Malaysia. Saya terbuka kalau sekiranya ada mana-mana pihak mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya. Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.

Tapi perlu saya tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, saya bertanggungjawab kepada parti. Itu saya nak tegaskan, apa pun pendapat mana-mana individu, pada kesudahannya saya akan bertanggugjawab kepada rakyat dan parti. (Baca sepenuhnya)

-UnReportedNews™®

Sunday, 3 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU: "MAHLUK" YANG TAK TAU BERSYUKUR

-ORANG MELAYU NI KENA TAHU MENGENANG BUDI, TAPI NAMPAK ANWAR TAK PERNAH KENANG BUDI! KEKEKE!!!-

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil kesempatan di hari terakhir kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau untuk menyerang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai orang yang tidak tahu bersyukur.

Sedangkan, Anwar sendiri mampu mendapat pendidikan yang baik kerana bapa kepada bekas timbalan perdana menteri itu, Datuk Ibrahim Abdul Rahman seorang ahli Umno, kata Mahathir.

“Itulah Anwar dia tak pernah bersyukur langsung. Orang Melayu ini kena terhutang budi tetapi Anwar ini nampaknya tak pernah rasa terhutang budi.

“Dulu masa dia dalam kerajaan semuanya baik-baik sahaja,” katanya pada sidang media selepas hadir di Karnival Luar Bandar Rakyat 1Malaysia di Bukit Besar.

Beliau turut ditanya sama ada kehadirannya ke Sungai limau adalah usaha terakhir BN untuk meraih sokongan penduduk Sungai Limau.

“Saya sepatutnya ke Vietnam tetapi isteri saya sakit.

“Jadi, saya ada satu hari lapang untuk buat apa-apa saya mahu dan saya datang ke sini,” katanya.  (sumber)

-UnReportedNews™®

Thursday, 26 September 2013

TUN M NASIHATI ANGGOTA PERWAKILAN UMNO PILIH PEMIMPIN BIJAK

-JANGAN PILIH SEMATA-MATA KERANA CALON ADALAH "ORANG ATAU RAKAN ANGGOTA PERWAKILAN" TANPA MEMBERI PENILAIAN AKAN "KESALAHAN-KESALAHAN LAMPAU"NYA NAMUN HENDAKLAH BERDASARKAN PERWATAKAN, PESONALITI & POTENSI CALON!-

Bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa anggota perwakilan parti itu supaya memilih pemimpin dengan bijak, berdasarkan latar belakang calon dan potensi mereka untuk membawa kebaikan kepada parti.

Dalam kenyataan menjelang pemilihan Umno bulan depan, bekas perdana menteri itu berkata anggota perwakilan memikul tanggungjawab besar untuk memberi undi mereka kepada calon yang berkaliber dari segi kepimpinan seperti yang diperlukan Umno.

"Janganlah pilih semata-mata kerana dia (calon) 'orang saya', (dan) tidak peduli apa yang orang itu buat. Sikap begitu, tidak baik. Mereka kena bijak membuat pilihan berdasarkan perwatakan, personaliti dan potensi seseorang," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai "Persiapan Belia Menuju Wawasan 2020' di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras di sini Rabu.

Katanya keputusan mengekalkan kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya tanpa bertanding membuktikan Umno kukuh dan bersatu-padu.

"Bila tidak ada pertandingan, kuranglah kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti kerana jika ada pertandingan seperti pada zaman saya, yang kalah akan pergi ke mahkamah dan membentuk parti baharu," katanya.

Ditanya tentang langkah anaknya Datuk Mukhriz untuk bertanding kerusi naib presiden, Dr Mahathir berkata: "Terpulang pada dia (Mukhriz) dan penilaian orang terhadap dirinya...saya tidak bagi nasihat secara terbuka.

Sementara itu, dalam ceramah beliau, Dr Mahathir mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak memegang kuasa melebihi tempoh sepatutnya dan "berundurlah apabila tiba masanya untuk mereka berundur" serta memberi laluan kepada pemimpin lebih muda dan berkebolehan untuk mengelak daripada ditolak rakyat.

"Pemimpin tidak boleh memegang kuasa melebihi hadnya, demikian lebih kurang kata emak saya. Peganglah kuasa untuk tempoh yang dianggap wajar. Orang muda yang lebih pintar pula akan menyertai parti dan dengan ini kepimpinan parti akan menjadi lebih mantap.

"Jika tidak, kita akan ada semakin ramai orang bodoh dalam parti dan akhirnya ia akan ditolak," katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia, khususnya belia, perlu dipupuk dengan nilai mulia ketika negara ini berusaha untuk mencapai taraf negara maju.

"Saya suka menegaskan dengan berulang kali tentang betapa perlunya rakyat kita memiliki perwatakan serta nilai-nilai yang baik supaya apabila kita mencapai Wawasan 2020, kita sudah berjaya membina sebuah negara hebat," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau yakin Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat berdisiplin dan sedar sepenuhnya tentang tanggungjawab masing-masing terhadap negara. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Thursday, 12 September 2013

RCI SABAH: HANYA MEREKA YANG LAYAK SAJA DAPAT IC

-TUN M MENJELASKAN SEMASA KEPIMPINANNYA, TIADA SEBARANG POLISI ATAUPUN DASAR KERAJAAN YANG SEWENANG-WENANGNYA MEMBERI IC KEPADA IMIGRAN-IMIGRAN ASING DI SABAH YANG TAK BERKELAYAKAN TELAH DILAKSANAKAN SEPERTIMANA DAKWAAN SESETENGAH PIHAK! KEKEKE!!!-

Tun M selepas memberi keterangan prosiding RCI Sabah
Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan pegawai berpangkat rendah kerana memberikan kad pengenalan (IC) kepada imigran di Sabah.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu panel prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah bahawa kerajaan tidak pernah ada polisi yang membenarkan kad pengenalan Malaysia diberikan kepada imigran di Sabah yang tidak layak.

Kerajaan juga berpendirian mengiktiraf mereka yang layak sahaja akan diberikan taraf kewarganegaraan.

Tampil memberi keterangan selama hampir 90 minit, Dr Mahathir berkata antara kriteria yang digunakan untuk mengeluarkan kad pengenalan ialah orang yang asing yang tinggal di negara ini untuk tempoh yang lama, dapat bertutur dalam bahasa tempatan serta mengamalkan budaya hidup masyarakat tempatan.

Beliau berkata pengeluaran kad pengenalan kepada orang asing di negeri itu adalah disebabkan oleh pengawai berpangkat rendah mengeluarkan dokumen sedemikian.

Ditanya mengapa ia dinamakan Projek IC atau Projek M, Dr Mahathir berkata nama beliau digunakan dalam banyak perkara.

"Mereka panggil saya, ultra rasis, saya tidak peduli. Ia sebahagian daripada perjalanan politik saya," katanya.

Beliau turut menafikan sebarang penglibatan dalam Projek IC, katanya kepada Panel RCI Sabah.

Sebaliknya beliau menyatakan bahawa mengetahui mengenainya baru-baru ini.

Dr Mahathir yang tiba di Kota Kinabalu pada Selasa tampil sebagai dihadapan panel RCI sebagai saksi ke-209.

-UnReportedNews™®

Friday, 23 August 2013

PEDASNYA SINDIRAN TUN M PADA PAK LAH BERKAITAN "THE AWAKENING"!

-JIKA SAYA BERSARA AWAL, SUDAH TENTU KITA DUDUK ATAS GUNUNG WANG RINGGIT SEKARANG, SINDIR TUN M SEBAGAI JAWAPAN BUKU "THE AWAKENING PAK LAH! KEKEKE!!!-

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjawab tuduhan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) bahawa Malaysia mungkin bangkrap jika idea-idea dan projek zamannya diteruskan pada zaman Abdullah seperti yang terkandung dalam buku The Awakening.

Entri dengan 11 poin itu dimulakan dengan Dr Mahathir berkata beliau gembira apabila Tun Abdullah menerangkan bahawa beliau tidak menulis mengenai negara bangkrp itu tetapi ‘ditulis oleh si penemuramah’.

“Saya harap beliau (Pak Lah) tidak kisah jika saya mahu membersihkan nama berhubung apa yang ditulis oleh penemuramah berkenaan dalam ‘The Awakening’,” kata beliau melalui blog miliknya (chedet.cc).

Dr Mahathir mengakui beliau seorang pemimpin yang boros kerana menghabiskan wang kerajaan untuk membangunkan Projek Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, West Port, KLIA, Putrajaya, Cyberjaya dan lain-lain lagi.

“Kalau Tun Abdullah menggantikan saya lebih awal semua itu (projek-projek yang disebutkan di atas) akan diberhentikan bagi menyelamatkan Malaysia daripada bangkrap. Sepertinya, beliau berjaya menghalang pembinaan jambatan bengkok dan projek laluan keretapi elektrik berkembar,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan jambatan berkenaan hanya menelan belanja di bawah RM 1 bilion namun kos ganti rugi akibat pembatalan itu menelan RM200 juta.

Dr Mahathir selanjutnya memberikan banyak lagi contoh ‘penjimatan’ yang dibuat oleh Abdullah.

Namun jelas daripada entri beliau itu bahawa penjimatan yang dilaungkan Abdullah lebih mencerminkan kebodohan Perdana Menteri itu.

Mesej Tun Mahathir di akhir entri berkenaan adalah mudah bahawa walaupun ‘kerajaan yang kaya’ bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12, hasilnya rakyat memberikan 5 negeri dan sebuah wilayah persekutuan kepada pembangkang.

“Hanya majoriti yang kecil diberikan kepada kerajaan yang pandai berjimat-cermat,” katanya.

Rakyat tidak menghargai ‘kerajaan kaya’ yang cuba Abdullah wujudkan.

Dr Mahathir berkata, jika beliau berundur lebih awal, sudah pasti kita semua duduk atas gunung wang ringgit. (sumber) 

-UnReportedNews™®

Thursday, 15 August 2013

TUN M: PENINGKATAN KES BUNUH, HARGA KEBEBASAN

-SEJAK APRIL HINGGA JULAI TAHUN INI SEBANYAK 23 KES TEMBAK DILAPORKAN BERLAKU DI SELURUH NEGARA TERMASUK YANG MELIBATKAN INDIVIDU BERPROFIL TINGGI NAMUN ITULAH HARGA KEBEBASAN!-

Pembunuhan di jalanan menggunakan senjata api yang meningkat kebelakangan ini adalah harga bagi kebebasan yang perlu dibayar oleh setiap warganegara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang dilaporkan Bernama sebagai berkata dalam suasana lebih liberal sekarang, sukar bagi pihak berkuasa untuk mengatasi keganasan seperti itu dan mereka hanya boleh mengambil tindakan setelah ia berlaku.

"Rakyat Malaysia amat baik dan mereka tidak suka membunuh satu sama lain...kecuali sekarang apabila pembunuhan agak lebih kerap berlaku setiap hari, ada orang yang kena tembak...itulah harga bagi kebebasan," katanya.

Sejak April hingga bulan lepas, 23 kes tembakan di jalanan dilaporkan berlaku di seluruh negara, termasuk yang melibatkan individu berprofil tinggi.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Perhimpunan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Membantu Palestin di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Perhimpunan itu disertai sembilan NGO - Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Aman Malaysia, Aqsa Syarif, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia, Islamic Relief, Kelab Putera 1Malaysia, Mercy Malaysia, Malaysian Relief Agency dan Viva Palestina.

Dr Mahathir adalah presiden PGPF. 

-UnReportedNews™®

Wednesday, 14 August 2013

SEJARAH AKAN BERULANG LAGI?

-DENGAN KEADAAN NEGARA TERKINI, PERLUKAH ADA SURAT DARIPADA DR MAHATHER MUHAMMAD SEBEGINI YANG KEDUA? RASE-RASENYE MEMANG PERLU KOT! KEKEKE!!!-


Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17hb. Jun 1969

Y.T.M. Tunku,

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. 

Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha.

Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". 

Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu.

Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas. 

Patek Yang Ikhlas,

(Dr. Mahather bin Muhammad) (sumber) 

-UnReportedNews™®

Monday, 12 August 2013

BUKU "AWAKENING" BUKAN DITULIS PAK LAH?

-KENYATAAN MEDIA YANG AMAT BERBAHAGIA TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI MENGENAI BUKU "AWAKENING"-

Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku tersebut. Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal. 

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri. 

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan didalam buku tersebut. 

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca. Berlatarbelakangkan fakta-fakta diatas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang 'buku Pak Lah'. 

Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal? Saya bersetuju diwawancara kerana perlu ada penjelasan saya sendiri didalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara. 

Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan 'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan. Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumusan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.

TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

12 Ogos 2013

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List