Friday 3 October 2014

#MH17 : Lima Jenazah Tiba Di KLIA



SEPANG: Pesawat komersial MH19 yang membawa kumpulan keenam terdiri daripada lima jenazah mangsa nahas pesawat MH17 dari Amsterdam, Belanda tiba di perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam 8.38 pagi tadi. 

Jenazah akan diberi penghormatan dalam satu istiadat penuh ketenteraan seperti sebelum ini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim bersama ahli keluarga dan waris mangsa nahas.

Kumpulan keenam mangsa MH17 itu terdiri ahli keluarga terakhir kepada Allahyarham Tambi Jiee iaitu Muhammad Afruz Tambi; Liew Yau Chee; Lee Kiah Yeen; Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam.

Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri-Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

Bagaimanapun, dua bekas abu itu akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa.

Bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St Fatima Church di Brickfields.

Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu. - BH

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List