Monday 16 April 2012

SENARAI NAMA-NAMA CALON BN DALAM PRU KE-13

-SEMUA PARTI KOMPONEN BARISAN NASIONAL DI MINTA MENGHANTAR SENARAI NAMA-NAMA CALON MASING-MASING-

Barisan Nasional (BN) akan mula menghantar surat kepada pemimpin parti komponennya esok, meminta supaya mereka menghantar senarai nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

"... esok saya akan tulis kepada semua pemimpin parti komponen seperti yang diarah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.

Katanya, beliau juga difahamkan ada parti komponen yang tidak mahu lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti komponen lain.

Bagaimanapun perkara itu belum dapat disahkan, katanya.

Mengenai senarai calon Umno, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung parti itu, berkata, saringan peringkat pertama telah selesai dan senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi.

Presiden parti yang juga pengerusi BN, kemudiannya akan mewujudkan jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang diterimanya, termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi memilih calon yang paling sesuai untuk bertanding, katanya.

Merujuk kepada nama yang dicadangkan Umno bahagian, Tengku Adnan berkata, semua bahagian diminta mengesyorkan tiga nama, namun ada yang menghantar lebih daripada tiga, ada yang hanya menghantar satu nama, dan ada yang minta dikekalkan muka lama.

Beliau berkata ada juga bahagian yang mengesyorkan nama calon yang berada di luar bahagian berkenaan selain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan yang dirasakan mampu membawa kemenangan di kawasan mereka pada pilihan raya nanti.

"Ini menunjukkan bahawa mereka faham dengan apa yang yang disebutkan oleh Presiden parti yang berkehendakkan calon 'winnable' pada pilihan raya nanti," katanya.– Bernama

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List