Showing posts with label UPP. Show all posts
Showing posts with label UPP. Show all posts

Wednesday, 8 June 2016

Kerusi SUPP Bukan Untuk Parti Lain


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian bertegas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu tidak boleh diberikan kepada parti-parti lain.

Beliau berkata, di bawah pemahaman dan semangat Barisan Nasional (BN) satu-satu parti komponen tidak boleh memiliki lebih separuh daripada keseluruhan kerusi (DUN).

“Saya pernah mengatakan perkara itu sebelum ini dan ia tetap kekal. Di bawah pemahaman BN kerusi diperuntukkan kepada SUPP iaitu 19 kerusi sedia ada ditambah satu kerusi baharu harus kekal.

“Pemahaman ini dicapai antara SUPP dengan Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi BN Malaysia sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) iaitu ‘semua kerusi dipertandingkan adalah milik parti komponen BN,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kompleks DUN di sini semalam, sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengatakan parti itu mendapat restu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk kekal bersama UPP.

Menteri Kerajaan Tempatan itu berkata, jika pemahaman tersebut dilanggar maka semangat berkongsi BN tidak bermakna lagi.

“Saya mahu menambah, bagi kerusi baharu, daripada 11 kerusi itu, Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) secara terbuka banyak kali mengatakan setiap komponen dijanji dua kerusi.

“Setakat ini, SUPP hanya diberi satu iaitu Batu Kitang dan kita menuntut satu lagi,” katanya sambil menambah jika salah satu komponen BN memiliki lebih separuh kerusi BN lebih sesuai digelar ‘Barisan Sarawak’.

Beliau menjelaskan, dalam hal ini SUPP tidak boleh dikatakan menuntut kerusi dimenangi UPP kerana kerusi-kerusi berkenaan sememangnya pada asal milik parti terbabit.

Kerusi dimaksudkan ialah Opar, Mambong (Bengoh), Engkilili, Dudong dan Bawang Assan.

Pada PRN11 lalu, calon langsung BN diletakkan di tujuh daripada 20 kerusi diperuntukkan kepada SUPP selepas penyelesaian pemilihan calon antara kedua-dua parti gagal dicapai.

“Jika parti-parti lain mahu menerima mereka, kerusi-kerusi ini kekal milik SUPP seperti dikatakan sebelum ini dan ia jelas dinyatakan, melainkan ada pihak yang mungkir janji.

“Saya juga banyak kali mengatakan pintu parti (SUPP) sentiasa terbuka menerima semula mereka termasuk seorang calon langsung BN bertanding di kerusi baharu tetapi parti kita ada perlembagaan harus dipatuhi,” katanya. - UB

-UnReportedNews™®

Friday, 27 May 2016

Wong Soon Koh Engkari Arahan Adenan Satem?


Presiden United People’s Party (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh sepatutnya tidak mempertikaikan tindakan tiga anggota UPP; Timbalan Presiden UPP/ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Ketua Pemuda UPP/ADUN Engkilili Johnical Rayong dan Naib Presiden UPP/ADUN Opar Ranum Mina yang memohon untuk menganggotai PBB.

Apa yang Wong Soon Koh patut buat adalah bertanya kepada beliau sendiri bila dia akan mengkotakan janjinya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem iaitu meletakkan jawatan sebagai Presiden UPP dan menganggotai salah satu dari empat parti komponen BN Sarawak yang sedia ada, syarat utama yang diletakkan oleh Adenan untuk menjadi calon BN langsung dalam PRN11 Srawak yang lepas.

Wong Soon Koh tidak boleh kekal didalam UPP serta mengakui dirinya adalah BN kerana UPP bukanlah parti komponen BN Sarawak.

Adenan, yang juga merupakan Pengerusi BN Negeri pada 25 March lepas dengan jelas menyatakan sesiapa yang dipilih sebagai “calon langsung BN” perlu melepaskan jawatan dalam parti asal mereka kerana ianya adalah selaras dengan perlembagaan BN.

"Mana-mana calon BN langsung yang menang pada pilihan raya negeri yang akan datang boleh memohon untuk menyertai mana-mana parti komponen di kemudian hari," tegas Adenan namun sehingga kini, Wong Soon Koh yang bertanding sebagai calon langsung BN belum lagi secara terbuka mengumumkan beliau telah keluar dari UPP.

Namun semalam, Wong Soon Koh dikatakan telah "kembali memimpin UPP" dengan alasan surat peletakan jawatan beliau bersama enam lagi ahli lain ditolak oleh jawatankuasa pusat parti tersebut.

Biar apapun alasannya, Wong Soon Koh tidak sepatutnya "bersembunyi" di sebalik alasan tersebut kerana perkembangan ini dilihat sebagai tindakan "tidak sihat" di kalangan parti-parti komponen BN Sarawak yang lain.

Sekiranya Wong Soon Koh masih berdegil, beliau yang kini menjawat jawatan Menteri Kewangan Kedua bermungkinan akan digugurkan dari jawatan tersebut kerana selain dari empat parti komponen BN Sarawak; PBB, PRS, SPDP dan SUPP, mana-mana parti lain adalah "parti pembangkang" dan secara logiknya, takkan pembangkang dilantik dalam kabinet kerajaan BN Sarawak kan? -UnReportedNews™®

Wednesday, 30 March 2016

Masalah Empat Parti Diselesai Sebelum Penamaan Calon


Masalah yang melibatkan empat parti di negeri ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menegaskan bahawa masalah berkenaan melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Perkara (masalah antara parti) ini akan diselesaikan sebelum penamaan calon… mereka akan menyelesaikan masalah antara satu sama lain, sama ada SPDP dan TERAS atau SUPP dan UPP.

“Bagi calon terus BN, sama ada mereka perlu meletak jawatan, perkara ini juga tetap akan terus diselesaikan walau apa sekalipun,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus berteka-teki dengan tarikh berkenaan dan membayangkan beliau akan berjuma Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

“Dalam masa terdekat (perjumpaan dengan Tun Taib)… tidak ada guna untuk kita membuat spekulasi sekarang kerana ia semakin dekat,” tegasnya.

Malahan kata Adenan beliau bertemu dengan Tun Taib untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN dan selepas itu ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan.

“Selepas mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi pembubaran DUN, speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR tentang perkara ini dan dari situ SPR akan mengambil alih bagi menentukan tarikh PRN,” katanya.

Sementara itu Adenan turut mengumumkan senarai nama 11 calon dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) termasuk dua daripadanya adalah kerusi baharu.

Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan SnowdanLawan (Balai Ringin).

Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Chuk Pai Ugon (Murum).

“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

Tuesday, 1 March 2016

Keengkaran Komponen Parti BN Sarawak Terima Formula "BN Plus" Adenan Akan Bawa Padah?


Baru-baru ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara terang-terangan tidak bersetuju dengan idea untuk meletakkan calon terus Barisan Nasional (BN) bagi kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem, menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Ketua Wanita SUPP Datin Jennifer Chee Moinie berkata, jika benar perkara itu berlaku maka ia amat tidak adil bagi ahli dan penyokong parti.

“Berikutan proses persempadanan semula terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bengoh yang kini dikenali sebagai Mambong merupakan kerusi tradisi SUPP sejak tahun 1970-an lagi dan ia juga tidak selaras dengan formula perkongsian kuasa BN yang tidak bersetuju untuk meletakkan calon BN terus di Mambong."

“Ini kerana kerusi itu adalah milik parti komponen BN yang sedia ada dan menjadi penghinaan kepada mana-mana parti komponen .. mengapa meletakkan calon BN terus apabila kita mempunyai calon-calon kita sendiri daripada parti-parti komponen?

“Jika ini berlaku, ia boleh melemahkan peluang BN untuk memenangi kerusi itu,” katanya pada ‘BN Unity Dinner’ yang dihadiri oleh lebih 50 ahli parti komponen BN di Mambong.

Riot yang juga dipetik di akhbar Utusan Borneo sebagai berkata, sebagai timbalan presiden dan ketua Unit Bumiputera SUPP, beliau telah diberi mandat oleh Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu SUPP selain mencadangkan calon yang bersesuaian bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya harus akui tugas itu tidak mudah tetapi keputusan perlu dibuat ... bagi SUPP pada persidangan perwakilan tahunan pada bulan Ogos 2015, para perwakilan telah meluluskan resolusi bahawa parti menolak cadangan UPP (Parti Rakyat Bersatu) mengenai isu rundingan kerusi.

“Parti telah memberitahu bahawa ia akan bertanding di semua 19 kerusi tradisi SUPP serta dua kerusi baharu,” kata Riot lagi.

Petikan dari penulisan Dr. Awang Azman Awang Pawi di Utusan Malaysia bertarikh Februari 07, 2016 menyatakan, BN Sarawak sebenarnya kini sedang bergelut dengan krisis dalam politik sesama komponen mahupun "rakan mesra" BN selepas SUPP berpecah dan serpihan dalam parti membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang terajui oleh Datuk Seri Wong Soon Koh yang pernah menerajui SUPP.

Manakala, ketidaksehaluan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengakibatkan ianya turut berpecah dan melahirkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang kini diterajui oleh Tan Sri William Mawan yang pernah menjadi Presiden SPDP.

Kedua-dua parti ini mendakwa menjadi "rakan mesra" BN dan hal ini sudap pastinya menimbulkan masalah dalam pembahagian kerusi. 

Parti SUPP dan SPDP berkeras mahu mengambil kerusi yang merupakan hak parti tersebut manakala ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyertai parti TERAS dan UPP pula mahu bertanding atau meletakkan calon mereka atas tiket parti serpihan tersebut.

Sudah pasti, agak sukar untuk menangani konflik tersebut dan dalam majlis ulang tahun SUPP ke-56, Presiden SUPP, Senator Sim Kui Hian berikrar tidak akan menyerahkan 19 kerusi yang merupakan kerusi asal SUPP dan jelas ini merupakan suatu reaksi yang agak keras.

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing juga menyatakan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana bukan ahli SPDP untuk mengambil kerusi milik asal SPDP dan sudah pastinya, ini akan merumitkan keadaan di Sarawak.

Pertandingan tiga penjuru boleh berlaku sekiranya tidak ada kompromi antara parti SUPP dengan UPP mahupun SPDP dengan UPP dan malah pertandingan empat penjuru juga berlaku sekiranya parti DAP dan PKR tidak ada persefahaman pada saat-saat akhir. 

Meskipun BN mempunyai peluang yang cerah, namun undi pasti merosot atau merudum mahu pun tewas.

Bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sudah pastinya mahu membuktikan rakyat Sarawak memberi mandat sepenuhnya kepada beliau pada pilihanraya yang pertama yang beliau menjadi KM pada PRN11 Sarawak nanti.

Menurut Dr. Awang lagi, strategi Adenan dapat dilihat apabila beliau dengan tegas menyatakan akan memastikan hanya satu calon BN dalam 82 kerusi yang dipertandingkan oleh BN. 

Hal ini bermakna UPP dan TERAS turut mendapat pembahagian kerusi walaupun kurang disenangi oleh SPDP dan SUPP. Beliau sedar formula yang pernah digunakan oleh Taib kurang sesuai kerana ketika era tahun 1980-an DAP tidak begitu dominan manakala PKR belum lagi ditubuhkan.

Ketika ini lawan sengit ialah DAP dan PKR. Difahamkan perundingan dengan parti komponen BN akan terus berlangsung sehingga pada saat-saat akhir penamaan calon. 

Adenan sendiri secara terus terang pernah menyatakan, jika BN Sarawak mahu menang pada PRN11 Sarawak, semua pihak, termasuk SUPP, UPP, SPDP dan TERAS harus mengikut formula yang beliau ilhamkan nanti.

Persoalannya kini, apakah SUPP, UPP, SPDP dan TERAS akan akur akan arahan Adenan atau sebaliknya? Kita tunggu.. -UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List