Tuesday 1 March 2016

Keengkaran Komponen Parti BN Sarawak Terima Formula "BN Plus" Adenan Akan Bawa Padah?


Baru-baru ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara terang-terangan tidak bersetuju dengan idea untuk meletakkan calon terus Barisan Nasional (BN) bagi kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem, menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Ketua Wanita SUPP Datin Jennifer Chee Moinie berkata, jika benar perkara itu berlaku maka ia amat tidak adil bagi ahli dan penyokong parti.

“Berikutan proses persempadanan semula terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bengoh yang kini dikenali sebagai Mambong merupakan kerusi tradisi SUPP sejak tahun 1970-an lagi dan ia juga tidak selaras dengan formula perkongsian kuasa BN yang tidak bersetuju untuk meletakkan calon BN terus di Mambong."

“Ini kerana kerusi itu adalah milik parti komponen BN yang sedia ada dan menjadi penghinaan kepada mana-mana parti komponen .. mengapa meletakkan calon BN terus apabila kita mempunyai calon-calon kita sendiri daripada parti-parti komponen?

“Jika ini berlaku, ia boleh melemahkan peluang BN untuk memenangi kerusi itu,” katanya pada ‘BN Unity Dinner’ yang dihadiri oleh lebih 50 ahli parti komponen BN di Mambong.

Riot yang juga dipetik di akhbar Utusan Borneo sebagai berkata, sebagai timbalan presiden dan ketua Unit Bumiputera SUPP, beliau telah diberi mandat oleh Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu SUPP selain mencadangkan calon yang bersesuaian bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya harus akui tugas itu tidak mudah tetapi keputusan perlu dibuat ... bagi SUPP pada persidangan perwakilan tahunan pada bulan Ogos 2015, para perwakilan telah meluluskan resolusi bahawa parti menolak cadangan UPP (Parti Rakyat Bersatu) mengenai isu rundingan kerusi.

“Parti telah memberitahu bahawa ia akan bertanding di semua 19 kerusi tradisi SUPP serta dua kerusi baharu,” kata Riot lagi.

Petikan dari penulisan Dr. Awang Azman Awang Pawi di Utusan Malaysia bertarikh Februari 07, 2016 menyatakan, BN Sarawak sebenarnya kini sedang bergelut dengan krisis dalam politik sesama komponen mahupun "rakan mesra" BN selepas SUPP berpecah dan serpihan dalam parti membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang terajui oleh Datuk Seri Wong Soon Koh yang pernah menerajui SUPP.

Manakala, ketidaksehaluan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengakibatkan ianya turut berpecah dan melahirkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang kini diterajui oleh Tan Sri William Mawan yang pernah menjadi Presiden SPDP.

Kedua-dua parti ini mendakwa menjadi "rakan mesra" BN dan hal ini sudap pastinya menimbulkan masalah dalam pembahagian kerusi. 

Parti SUPP dan SPDP berkeras mahu mengambil kerusi yang merupakan hak parti tersebut manakala ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyertai parti TERAS dan UPP pula mahu bertanding atau meletakkan calon mereka atas tiket parti serpihan tersebut.

Sudah pasti, agak sukar untuk menangani konflik tersebut dan dalam majlis ulang tahun SUPP ke-56, Presiden SUPP, Senator Sim Kui Hian berikrar tidak akan menyerahkan 19 kerusi yang merupakan kerusi asal SUPP dan jelas ini merupakan suatu reaksi yang agak keras.

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing juga menyatakan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana bukan ahli SPDP untuk mengambil kerusi milik asal SPDP dan sudah pastinya, ini akan merumitkan keadaan di Sarawak.

Pertandingan tiga penjuru boleh berlaku sekiranya tidak ada kompromi antara parti SUPP dengan UPP mahupun SPDP dengan UPP dan malah pertandingan empat penjuru juga berlaku sekiranya parti DAP dan PKR tidak ada persefahaman pada saat-saat akhir. 

Meskipun BN mempunyai peluang yang cerah, namun undi pasti merosot atau merudum mahu pun tewas.

Bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sudah pastinya mahu membuktikan rakyat Sarawak memberi mandat sepenuhnya kepada beliau pada pilihanraya yang pertama yang beliau menjadi KM pada PRN11 Sarawak nanti.

Menurut Dr. Awang lagi, strategi Adenan dapat dilihat apabila beliau dengan tegas menyatakan akan memastikan hanya satu calon BN dalam 82 kerusi yang dipertandingkan oleh BN. 

Hal ini bermakna UPP dan TERAS turut mendapat pembahagian kerusi walaupun kurang disenangi oleh SPDP dan SUPP. Beliau sedar formula yang pernah digunakan oleh Taib kurang sesuai kerana ketika era tahun 1980-an DAP tidak begitu dominan manakala PKR belum lagi ditubuhkan.

Ketika ini lawan sengit ialah DAP dan PKR. Difahamkan perundingan dengan parti komponen BN akan terus berlangsung sehingga pada saat-saat akhir penamaan calon. 

Adenan sendiri secara terus terang pernah menyatakan, jika BN Sarawak mahu menang pada PRN11 Sarawak, semua pihak, termasuk SUPP, UPP, SPDP dan TERAS harus mengikut formula yang beliau ilhamkan nanti.

Persoalannya kini, apakah SUPP, UPP, SPDP dan TERAS akan akur akan arahan Adenan atau sebaliknya? Kita tunggu.. -UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List