Wednesday 8 June 2016

Kerusi SUPP Bukan Untuk Parti Lain


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian bertegas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu tidak boleh diberikan kepada parti-parti lain.

Beliau berkata, di bawah pemahaman dan semangat Barisan Nasional (BN) satu-satu parti komponen tidak boleh memiliki lebih separuh daripada keseluruhan kerusi (DUN).

“Saya pernah mengatakan perkara itu sebelum ini dan ia tetap kekal. Di bawah pemahaman BN kerusi diperuntukkan kepada SUPP iaitu 19 kerusi sedia ada ditambah satu kerusi baharu harus kekal.

“Pemahaman ini dicapai antara SUPP dengan Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi BN Malaysia sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) iaitu ‘semua kerusi dipertandingkan adalah milik parti komponen BN,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kompleks DUN di sini semalam, sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengatakan parti itu mendapat restu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk kekal bersama UPP.

Menteri Kerajaan Tempatan itu berkata, jika pemahaman tersebut dilanggar maka semangat berkongsi BN tidak bermakna lagi.

“Saya mahu menambah, bagi kerusi baharu, daripada 11 kerusi itu, Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) secara terbuka banyak kali mengatakan setiap komponen dijanji dua kerusi.

“Setakat ini, SUPP hanya diberi satu iaitu Batu Kitang dan kita menuntut satu lagi,” katanya sambil menambah jika salah satu komponen BN memiliki lebih separuh kerusi BN lebih sesuai digelar ‘Barisan Sarawak’.

Beliau menjelaskan, dalam hal ini SUPP tidak boleh dikatakan menuntut kerusi dimenangi UPP kerana kerusi-kerusi berkenaan sememangnya pada asal milik parti terbabit.

Kerusi dimaksudkan ialah Opar, Mambong (Bengoh), Engkilili, Dudong dan Bawang Assan.

Pada PRN11 lalu, calon langsung BN diletakkan di tujuh daripada 20 kerusi diperuntukkan kepada SUPP selepas penyelesaian pemilihan calon antara kedua-dua parti gagal dicapai.

“Jika parti-parti lain mahu menerima mereka, kerusi-kerusi ini kekal milik SUPP seperti dikatakan sebelum ini dan ia jelas dinyatakan, melainkan ada pihak yang mungkir janji.

“Saya juga banyak kali mengatakan pintu parti (SUPP) sentiasa terbuka menerima semula mereka termasuk seorang calon langsung BN bertanding di kerusi baharu tetapi parti kita ada perlembagaan harus dipatuhi,” katanya. - UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List