Friday 10 July 2015

Clare Rewcastle Brown: Penyiasat Yang Kini Sedang Disiasat


Oleh Raja Petra Kamarudin.

Semalam, terdapat dua posting blog menarik yang bertajuk "Jutaan Ringgit Dalam Akaun Rosmah - Mana datangnya? EKSKLUSIF!" dan "Pendakwaan mengejutkan oleh Sarawak Report".

Selama enam tahun atau lebih, Clare Rewcastle Brown telah menggunakan Sarawak Report menyerang Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya, dengan hanya satu objektif: untuk menjatuhkan Barisan Nasional Sarawak dan menyerahkan negeri itu kepada PKR.

Matlamatnya hanya satu dan 'kuda' yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak baru sebaik PKR mengambil alih kerajaan negeri ialah Baru Bian yang telah mengadakan lawatan beberapa kali ke London untuk berjumpa Clare.

Pada suatu ketika, ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, membuat keputusan untuk membatalkan rancangan menjadikan Baru Bian sebagai ketua PKR Sarawak dan menggantikannya dengan calon Islam. Clare marah dengan keputusan itu. Dia menghentikan operasi Sarawak Report serta-merta dan menelefon Anwar bagi membantah keputusannya. Jika Anwar tidak menaikkan Baru Bian sebagai Ketua PKR Sarawak mengikut rancangan asal, maka Sarawak Report akan terus ditutup dan Clare tidak akan membantu PKR menjatuhkan Taib.

Anwar mengalah dan beberapa hari kemudian, Sarawak Report kembali beroperasi.

Tun Dr Mahathir Mohamad melihat Sarawak Report sebagai kenderaan yang sesuai untuk digunakan dalam misi menjatuhkan Perdana Menteri, jadi dia bertemu dengan Clare untuk membincangkan kemungkinan Sarawak Report bekerjasama dengan pakatan anti-Najib.

Kemungkinan sentiasa ada, sudah tentu, tetapi semuanya bergantung pada isu wang. Sarawak Report juga dibiayai oleh pihak yang mahu menyingkirkan Taib dan mahu PKR mengambil alih Sarawak. Untuk melakukan perkara yang sama dalam kempen menggulingkan Najib, pembiayaan yang lebih besar amat ditagih.

Selama ini, Sarawak Report melakukan serangan sehala dengan menyerang Taib dan keluarganya tetapi Taib tidak melawan. Sebaliknya, dalam siri serangan Najib, penyokong Najib tidak akan membenarkan Clare terus menyerang Perdana Menteri dan keluarganya tanpa sebarang tindak balas.

Para penyiasat kini sedang menyiasat jumlah wang yang diterima Clare dan Sarawak Report untuk beberapa tahun ini dan siapa pembiayanya (walaupun identiti pembiaya itu lebih-kurang sudah diketahui). Penyiasat tahu Clare memperolehi wang dari luar UK tetapi apa yang mereka mahu tahu adalah berapa banyak daripada wang itu tidak diisytiharkan dan telah disembunyikan dari pengetahuan pengutip cukai UK.

Penyiasat juga sedang menyiasat bagaimana Clare yang bermula sebagai seorang wartawan telah menjalani gaya hidup yang berbeza selepas dia mula menyerang Taib dan kini, selepas dia mula menyerang Najib, gaya hidupnya mirip dengan gaya hidup sasaran serangannya. Tidak syak lagi bahawa Clare menerima wang dan ada seseorang yang membelanjakan wang yang banyak untuk membiayai serangan ke atas Najib, kata para penyiasat.

Penyiasat mahu membuktikan Clare adalah seorang mata duitan dan motivasi utamanya adalah wang, bukan mencari kebenaran. Malah, kata para penyiasat, Clare yang kononnya sentiasa mencari kebenaran, sanggup menggunakan taktik penipuan dan dokumen palsu bagi menyerang sasarannya.

Apa pun, semoga berjaya kepada penyiasat kerana saya yakin orang yang licik seperti Clare tahu cara menutup jejak langkah dan tidak akan meninggalkan sebarang bukti. Lagipun, kerjanya selama ini adalah menyiasat orang lain jadi dia mesti tahu apa kesilapan yang sering dibuat orang, yang juga bermaksud dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.

Pasukan penyiasat bagaimanapun berkata ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk membuktikan dakwaan itu. Mereka merujuk kepada pangsapuri mewah bernilai jutaan paun yang didiaminya yang tidak mungkin dapat dimiliki orang biasa kecuali mereka yang berada dalam kategori jutawan.

Setelah jumlah hartanya dikenal pasti, tindakan undang-undang akan difailkan terhadap Clare. Para penyiasat mengatakan peguam sudah pun meneliti perkara ini dan mereka merancang untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mereka tidak akan mendedahkan strategi tetapi penyiasat percaya Clare telah melampaui batas dalam pendedahan terbarunya mengenai akaun bank Rosmah.

Nampaknya saman juga mungkin akan difailkan terhadap Affin Bank Berhad kerana bekerjasama dengan Clare mendedahkan butiran perbankan peribadi pemegang akaun mereka. Jika mereka memutuskan untuk mendakwa pihak dari Affin Bank yang terlibat dalam koloborasi ini dengan pendakwaan jenayah, pesalah yang terlibat mungkin sanggup membuat perjanjian agar tidak dipenjarakan dengan mendedahkan pihak berkaitan yang turut terlibat dan segala urusan dengan Clare, yang akan mengukuhkan lagi kes terhadap pengasas Sarawak Report itu.

Sementara itu, pihak polis Thai telah meminta polis Malaysia beberapa nama rakyat Malaysia yang boleh membantu mereka dalam siasatan terhadap Xavier Andre Justo. Pembantu Dr Mahathir, Sufi Yusuf dikatakan adalah antara lima rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dalam jenayah mencuri data dan jenayah pemalsuan emel. Hmm ... adakah Sufi akan menyambut Hari Raya di Kuala Lumpur atau di Bangkok tahun ini?

Selain itu, polis Thailand juga sedang menyiasat aliran wang kepada Justo. Polis mahu tahu berapa banyak yang dibayar dan bagaimana ia dibayar, melalui wang tunai atau pemindahan elektronik. Mereka mahu tahu siapa lagi yang membayar kepada Justo selain RM15 juta yang diterimanya dan sudah diketahui umum. Sekiranya wang tunai diseludup ke Thailand untuk membayar Justo, ia akan menjadi satu lagi kes jenayah kerana menyeludup wang tunai ke Thailand tanpa mengisytiharkannya adalah menyalahi undang-undang negara itu.

Plot semakin rancak dan kita mungkin di ambang melihat perkembangan yang lebih menarik dalam isu 1MDB ini. Ya, cerita ini masih belum berakhir. Sebaliknya ia baru bermula. Dijangkakan ia akan menjadi lebih panas dalam tempoh beberapa minggu akan datang. - Sarawakiana 

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List