Thursday, 16 June 2016

Adenan: Tunjukkan Prestasi Atau Digugurkan Sebagai Menteri, YB


Ketua Menteri mengingatkan menteri dan 72 wakil rakyat Barisan Nasional  supaya memberi perhatian serius terhadap tugas dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu masing-masing.

Beberapa minggu lalu,  Tan Sri Adenan  Satem telah mengumumkan bahawa menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang menang pada pilihan raya 7 Mei lalu perlu memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing bagi memastikan mereka dikekalkan dalam kabinet dan juga dicalonkan pada pilihan raya negeri ke-12.

Maksudnya, mereka yang gagal memenuhi KPI akan digugurkan.

Wakil rakyat telah diminta mengemukakan laporan KPI mereka terus kepada Adenan setiap enam bulan sekali. Dengan itu, katanya, mereka akan  faham dan kemas kini dari segi isu dan masalah dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

“Kemungkinan akan ada rombakan kabinet. Jika mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik, mereka perlu digugurkan,” kata Tan Sri Adenan Satem sebelum meninggalkan Dewan Undangan Negeri, semalam.

“Saya akan memantau secara dekat prestasi menteri melalui KPI mereka,” katanya,  sambil menambah bahawa melalui  langkah berkenaan, wakil rakyat dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Penegasan Adenan terhadap pentingnya menteri dan wakil rakyat menjalankan tugas dengan berkesan adalah bagi memastikan segala matlamat, agenda dan janji yang dibuat menjelang pilihan raya lalu dapat dipenuhi sebelum mereka bertemu dengan pengundi kembali lima tahun dari sekarang.

Adenan begitu popular sehingga mencecah 85 peratus penarafan, kerana berjaya melaksanakan 53 keputusan dan prinsip yang disenangi rakyat, dan kelihatannya beliau mahu meneruskan momentum itu yang telah memungkinkan BN menang cemerlang

Itu hanya dapat dilakukan jika TeamAdenan, slogan yang digunakan dalam tempoh kempen selama 12 hari, dari 25 April hingga 6 Mei lalu, dapat menggemblengkan tenaga mereka sebagai satu pasukan padu.


Dalam ucapan penggulungannya, Ketua Menteri mengumumkan pengurusan berasaskan prestasi bagi setiap kementerian, dan setiap menteri dituntut mempunyai KPI masing-masing. – Sarawakvoice.com

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List