Thursday, 21 May 2015

Punca Sebenar Mengapa 1MDB "Diserang"?


Sebelum ini saya tidak bercakap sangat mengenai isu kontroversi yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mengapa 1MDB? Apakah peranan 1MDB ini dan apakah sumbangannya terhadap ekonomi di negara kita?

Saya simpan segala maklumat berkaitan perkara ini tetapi hari ini, saya terkejut apabila mengetahui satu perkara yang disampaikan oleh rakan saya. Maklumat ini adalah sama dengan apa yang saya simpan selama ini.

Saya yakin maklumat ini tidak bersifat bias dan berat sebelah.

Selaku konsultan LNG, saya berpeluang berkomunikasi dengan Petronas, TNB, TNB Tenaga, PEMANDU, Suruhanjaya Tenaga dan agensi yang berkaitan untuk tempoh selama 3 tahun, mulai 2011.

Saya membantu memberi pencerahan kepada kakitangan PEMANDU, TNB dan Suruhanjaya Tenaga berkenaan satu sumber tenaga baharu – Gas Asli Cecair sebagai sumber bahan api untuk loji janakuasa dan kegunaan konvesional di bandar dan di rumah.

Pada 1990-an, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan konsep Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) untuk tujuan penjanaan kuasa eletrik.

Pemain utama yang memiliki IPP adalah Tan Sri Syed Mokhtar, Kumpulan YTL, Kumpulan Genting dan Ananda Krishnan. Sime Darby merupakan salah sebuah IPP tapi sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, tidak banyak perhatian yang diberikan.

Pemain-pemain ini memperolehi perjanjian yang paling menarik dan berat sebelah hinggakan bekas pengerusi TNB, Allahyarham Tan Sri Ani Arope iaitu seorang yang penuh intergriti enggan menandatangani perjanjian ini dan meletak jawatan sebagai protes.

Ia menyebabkan pembangkang menyerang kerajaan dan menyifatkan ia sebagai `perjanjian kroni’ malah tindakan kerajaan menganugerahkan subsidi yang banyak kepada IPP ini dipersoalkan.

Malah pada Mei 2011, salah seorang ahli parlimen pembangkang menyifatkan IPP sebagai ‘kilang dadah yang besar’ yang memerlukan jumlah subsidi yang sangat besar dari kerajaan, dianggarkan berjumlah RM19 bilion setahun.

Pada pertengahan 2011, saya dilantik sebagai perunding LNG untuk mengkaji kemungkinan mengimport LNG melalui Terminal Regas Melaka di Sungei Udang yang dimiliki sepenuhnya oleh Petronas.

Konsep penyimpanan LNG terapung ini menggunakan dua kapal LNG lama dengan sebuah jeti terapung, yang pertama seumpamanya di dunia, telah diutarakan oleh saya sendiri kepada CEO Petronas Gas.

Ia dapat menjimatkan Petronas namun disebabkan akibat ketidaksamaan harga LNG import dan gas tempatan, TNB yang memperolehi keuntungan yang sedikit dari IPP tidak dapat menyerap ketidaksamaan harga ini dan tidak dapat membeli secara terus gas LNG import ini, menyebabkan Petronas terpaksa bertindak sebagai pengimport dan pemberi subsidi.

Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan sebuah syarikat iaitu MyPower untuk merundingkan kembali perjanjian yang masih berbaki dengan IPP.

Selepas itu, 1MDB membeli IPP dari Ananda Krishnan pada Mac 2012, diikuti pembelian IPP Genting pada Ogos 2012.

Pada Oktober 2012, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan keputusan perjanjian konsesi dengan IPP dan seperti yang ditetapkan, tempoh konsesi perjanjian dengan IPP yang dimiliki oleh Ananda tidak akan dilanjutkan, begitu juga dengan perjanjian baru konsesi dengan 3 lagi IPP.

Konsesi baru hanya diberikan kepada 1MDB dan TNB, bertujuan memastikan syarikat swasta membuat keuntungan yang berlebihan melalui subsidi kerajaan.

Kesilapan sejak 20 tahun lepas mengakibatkan Petronas dan TNB mengalami kerugian hingga RM100 bilion.

Sepatutnya pujian diberikan kepada PM Najib, Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB kerana menyelamatkan negara daripada subsidi berlebihan kepada syarikat-syarikat ‘anak emas’ rejim terdahulu.

Sepatutnya tarif elektrik untuk pengguna Semenanjung dinaikkan pada Julai tahun lepas dan Januari lalu, di bawah Fuel Cost Pass Through (FCPT) tetapi ia tidak berlaku kerana perjanjian baru ini lebih seimbang dan menguntungkan TNB.

Sebaliknya tarif elektrik diturunkan pada Mac lalu akibat penurunan harga arang batu dan pengurangan tarif IPP ini.

Melalui perjanjian ini juga, TNB mencatatkan keuntungan mulai 2012, 2014 dan suku pertama tahun ini dengan rekod keuntungan RM 2.3 bilion untuk 3 bulan pertama 2015.

Justeru pihak yang paling mendapat keuntungan dalam semakan perjanjian ini adalah TNB, pengguna dan Petronas.

Sementara pihak yang paling rugi pula adalah pemilik asal IPP, dan mungkin itu sebabnya mereka tidak gembira dengan 1MDB dan PM Najib, termasuk pemimpin kanan UMNO.

Isu mengenai Tun Razak Exchange(TRX) dan pembelian tanah oleh Tabung Haji pula tidak begitu signifikan berbanding jumlah yang berjaya dijimatkan melalui semakan semula perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

Sementara tuduhan pembangkang melibatkan penyalahgunaan dana oleh 1MDB, peranan dimainkan oleh Jho Low, kehilangan keuntungan dari pelaburan Petro Saudi dan yang terbaru, kontroversi pembelian sebidang tanah seluas 1.5 ekar bernilai RM 155 juta oleh anak syarikat Tabung Haji hanya bermula hujung tahun lepas ketika 1MDB tidak mampu menjana dana yang cukup untuk membayar ansuran hutangnya.

Isu ini semakin diputarbelit agar 1MDB dilihat kehilangan RM 44 bilion, meskipun ia tidak tepat.

1MDB tidak kehilangan RM 44 bilion sebaliknya mereka perlu mencari sumber lain untuk pembayaran semula hutang.

Akibat publisiti buruk ini, dikhuatiri Deutche Bank akan menuntut pembayaran hutang lebih awal.

Tetapi lebih baik jika kita tidak memuat spekulasi sebaliknya tunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara yang dijangka diperolehi pada Jun ini.

Selain itu, 1MDB turut mendapat perhatian peguam terkemuka dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang tidak ketinggalan memberi ulasan dengan meminta Najib sebagai pengerusi 1MDB menjawab semua tuduhan yang dilemparkan.

Malah adik Najib yang juga pengerusi CIMB dalam satu mesyuarat juga menegaskan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB dan ahlinya perlu melakukan perkara yang sama.

Sebaliknya, kredit yang signifikan harus diberikan kepada kerajaan yang diketuai Najib untuk menyelamatkan negara ini tetapi beliau berdepan cabaran sementara akibat gangguan pembangkang.

Ironinya ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, pembangkang begitu lantang mempersoalkan layanan yang begitu istimewa dinikmati oleh IPP tersebut dan kini mereka sekali lagi cuba menggagalkan PM dan 1MDB untuk menyelamatkan negara dari menanggung subsidi yang terlampau banyak.

Tapi satu perkara yang pasti, agenda utama pembangkang adalah mencari salah dan melaungkan kesalahan itu, baik yang dilakukan oleh kerajaan atau pun syarikat berkaitan kerajaan. Ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan politik dan menarik sokongan pengundi ke arah mereka.

Ini adalah pandangan peribadi saya dan saya tinggalkan kepada para pembaca untuk membuat tafsiran sendiri terhadap isu ini. – FB Eol Zari



-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List