Thursday 28 January 2016

Penggulungan Penuh Menteri NRE Mengenai TPPA


1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini yang telah mengambil bahagian dalam Perbahasan Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Trans-Pacific Partnership Agreement atau TPPA di Dewan Rakyat yang mulia ini mulai 26 Januari hingga 27 Januari lalu yang telah menyentuh berkenaan isu berkaitan Bab Alam Sekitar TPPA yang di bawah tanggung jawab pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

2.  Terlebih dahulu, izinkan saya menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khasnya YAB Perdana Menteri di atas persetujuan mengadakan sesi perbahasan khas berkenaan TPPA ini bagi memberi peluang isu ini dibentangkan dan dibincangkan di peringkat Parlimen sebelum TPPA ini ditandatangani. Ini jelas menunjukkan keprihatinan dan komitmen beliau atas isu-isu berkaitan TPPA ini demi kepentingan negara dan rakyat.

3. Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) merupakan ketua perunding bagi Bab Alam Sekitar di dalam TPPA. Di bawah Bab Alam Sekitar terdapat 18 Artikel merangkumi isu-isu utama mengenai alam sekitar seperti biodiversiti, konservasi, Peralihan kepada Ekonomi yang Berdaya Tahan serta Penggunaan Karbon yang Rendah, Pengurangan tarif bagi Barangan dan Perkhidmatan Alam Sekitar dan Perikanan Laut. Tujuan bab ini dimasukkan di dalam TPPA adalah bagi memastikan hubungan antara perdagangan dan alam sekitar saling menyokong (mutually supportive), menekankan peningkatan tahap perlindungan alam sekitar dan merupakan komitmen setiap Negara untuk memastikan khazanah Negara dipelihara dan diurus dengan baik bagi generasi yang akan datang. 

4. Hubungan di antara alam sekitar dan perdagangan telah pun wujud sejak sekian lama. Ini telah pun ditekankan di dalam The United Nations Conference on Sustainable Development (Rio +20)  Para 281:
yang Rendah, Pengurangan tarif bagi Barangan dan Perkhidmatan Alam Sekitar dan Perikanan Laut. Tujuan bab ini dimasukkan di dalam TPPA adalah bagi memastikan hubungan antara perdagangan dan alam sekitar saling menyokong (mutually supportive), menekankan peningkatan tahap perlindungan alam sekitar dan merupakan komitmen setiap Negara untuk memastikan khazanah Negara dipelihara dan diurus dengan baik bagi generasi yang akan datang. 

‘We reaffirm that international trade is an engine for development and sustained economic growth, and also reaffirm the critical role that a universal, rules-based, open, non-discriminatory and equitable multilateral trading system, as well as meaningful trade liberalization, can play in stimulating economic growth and development worldwide, thereby benefiting all countries at all stages of development, as they advance towards sustainable development. In this context, we remain focused on achieving progress in addressing a set of important issues, such as, inter alia, trade-distorting subsidies and trade in environmental goods and services.’

5. Seperti mana yang diketahui, aktiviti perdagangan dan pelaburan boleh menganggu aktiviti pemeliharaan alam sekitar memandangkan kemasukkan pelabur-pelabur asing akan membuatkan lebih banyak tanah serta kawasan hutan dibuka bagi tujuan pembangunan di samping pembukaan kilang-kilang boleh meninggalkan kesan terhadap kualiti udara dan air. Walau bagaimanapun, ia merupakan sebahagian daripada risiko yang perlu diambil oleh mana-mana negara yang menerima pelaburan daripada pihak luar dengan atau tanpa Perjanjian Perdagangan Bebas. Namun, Malaysia mempunyai undang-undang alam sekitar yang mencukupi yang boleh digunapakai untuk melindungi kualiti alam sekitar negara. 

6. Untuk makluman, pada masa kini kebanyakkan Perjanjian Perdagangan Bebas yang terdapat di dunia sudah mengandungi Bab Alam Sekitar bagi mengimbangi aktiviti pembangunan melalui pelaburan dan perdagangan di samping meningkatkan tahap perlindungan alam sekitar.

7. Seperti yang kita sedia maklum, pihak Malaysia juga mempunyai beberapa isu sensitif dalam bab alam sekitar TPPA. Untuk mengatasi isu-isu sensitif ini, pihak Malaysia telah berjaya mendapatkan pelbagai kelonggaran atau fleksibiliti. Antaranya:

a. Pengecualian perundangan/enakmen alam sekitar atau berkaitan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri (State Laws are carved out). Ini bermaksud hak kedaulatan Kerajaan Negeri untuk mengubal, meminda dan menguatkuasakan undang-undang alam Sekitar Negeri adalah dikekalkan malah diiktiraf sepenuhnya.

b. Mengekalkan hak untuk menggunakan budi bicara dan membuat keputusan mengenai penyiasatan, pendakwaan, peraturan, perkara-perkara berkaitan pematuhan dan peruntukan sumber-sumber penguatkuasaan alam sekitar. Ini bermaksud tiada pihak ketiga atau negara asing yang boleh mencampuri dalam urusan penguatkuasaan undang-undang negara. Kedaulatan undang-undang terpelihara.

c. 3 lapisan/sesi konsultasi sebelum sesuatu pertikaian boleh dibawa ke “Dispute Settlement Mechanism” (DSM) telah dipersetujui. Tiga (3) peringkat konsultasi mandatori adalah seperti berikut:

i. Peringkat pertama adalah di antara pegawai-pegawai Kementerian;
ii. peringkat kedua di antara Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian; dan 
iii. peringkat ketiga adalah di antara Menteri-Menteri yang berkaitan.

Untuk makluman, pertikaian yang boleh dibawa ke ke DSM adalah pertikaian di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan TPP yang lain (Government to Government Disputes) sahaja. Bagi, pertikaian di antara syarikat/pelabur asing dengan Kerajaan Negara TPP ianya akan diuruskan di bawah Investor State Dispute Settlement (ISDS).

d. Sekiranya terdapat pertikaian berkaitan dengan Convention of International Trade on Endangered Species (CITES), salah seorang ahli panel tribunal tersebut mestilah merupakan seorang pakar CITES. Ini menunjukkan sebarang pertikaian yang di bawah kepada Tribunal Antarabangsa tidak hanya akan didengar dan diputuskan oleh peguam-peguam Antarabangsa malah akan melibatkan pakar-pakar bidang yang berkaitan.

e. Tempoh masa peralihan selama 3 tahun telah diperoleh ke atas pemansuhan subsidi perikanan yang memberikan impak yang negatif ke atas stok ikan yang berada dalam keadaan yang tidak optimum.

f. kepentingan nelayan tradisional atau berskala kecil dan juga kebajikan komuniti nelayan tersebut telah diiktiraf dan diambil kira dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan pengurusan sumber marin secara mapan.

g. Status stok perikanan marin di Malaysia akan ditentukan dan diisytiharkan oleh pihak Malaysia sendiri. Kajian mengenai status stok perikanan di perairan Malaysia sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Jabatan Perikanan Malaysia bagi menentukan status stok semasa bagi memenuhi obligasi yang berkaitan dengan subsidi perikanan di dalam Bab Alam Sekitar TPPA.

8. Di antara obligasi utama pihak Malaysia di bawah Bab Alam Sekitar adalah memastikan penguatkuasaan yang berkesan dan efektif ke atas kesemua perundangan dan peraturan alam sekitar di samping memastikan sebarang aktiviti perdagangan yang dijalankan tidak akan menjejaskan usaha perlindungan alam sekitar. Ini bererti bahawa setiap aktiviti perdagangan yang bakal dijalankan di Malaysia perlu mengambil kira elemen perlindungan alam sekitar dan bukan sebaliknya (trade to facilitate the environment).

9. Bagi pelaksanaan TPPA ini, tiada sebarang undang-undang alam sekitar yang khusus perlu dipinda tetapi terdapat beberapa undang-undang alam sekitar yang sedang dipinda untuk mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan alam sekitar dan juga meningkatkan taraf perlindungan alam sekitar. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) komited untuk melaksanakan pindaan-pindaan ini sebelum TPPA berkuat kuasa yang dijangka pada tahun 2018 memandangkan ia akan menjadi nilai tambah atau “value add” ke atas pelaksanaan TPPA. Antara Akta yang sedang dipinda atau Rang Undang-undang yang digubal berkaitan alam sekitar adalah:

a. RUU Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 2014
b. RUU Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2015
c. RUU Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 2015
d. RUU Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2015
e. RUU Akses Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) 2016
f. RUU Sumber Air Negara 2016

10. Walau bagaimanapun, bagi memastikan penyelarasan obligasi-obligasi di bawah mana-mana Perjanjian Antarabangsa, Kerajaan Persekutuan boleh mengubal undang-undang di bawah Senarai Negeri termasuk perkara-perkara berkaitan alam sekitar bagi memperkukuhkan penguatkuasaan serta tahap perlindungan alam sekitar. Fasal 1 kepada Perkara 76 Pelembangaan Persekutuan menyatakan : Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu, telah menyatakan:

i) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu: 

a. bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau 

b. bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua Negeri atau lebih; atau 

c. jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana Negeri.

ii) Tiada undang-undang boleh dibuat menurut perenggan (a) Fasal (1) mengenai apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat orang Melayu atau mengenai apa-apa perkara tentang undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak dan tiada Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang di bawah perenggan itu boleh dibawa di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen sehingga Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan telah dirundingi.

11. Selaras dengan pelaksanaan komitmen alam sekitar di dalam TPPA, pihak jemaah menteri telah bersetuju untuk menubuhkan jawatan kuasa kebangsaan bagi memantau dan melaksanakan bab alam sekitar di dalam perjanjian TPPA yang akan dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan keahlian yang terdiri daripada menteri-menteri dan exco-exco alam sekitar Kerajaan Negeri serta beberapa menteri persekutuan yang berkaitan. 

12. Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk membincangkan isu pelaksanaan komitmen-komitmen bab alam sekitar di bawah TPPA dan   vjuga termasuk semua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lain. Untuk makluman, pihak NRE telah pun memulakan semula Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab ke atas Alam Sekitar (MEXCOE) pada 14 Januari 2016 iaitu selepas 12 tahun. Mesyuarat pertama MEXCOE telah diadakan pada tahun 1988 di Sarawak dan telah berlangsung sehingga tahun 2004. Ini merupakan inisiatif kementerian bagi merapatkan hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelaraskan semua isu alam sekitar walaupun sekiranya tiada TPPA. 

ISU LYNAS (ISDS – KERAJAAN NEGERI)

13. Di samping itu, terdapat juga klausa di dalam bab alam sekitar di mana pihak Kerajaan perlu sentiasa berusaha meningkatkan perlindungan alam sekitar termasuk tindakan mewujudkan peraturan baru atau larangan tertentu. Jadi, Kerajaan masih boleh mengambil apa-apa langkah untuk tujuan memelihara alam Sekitar serta bagi mengelakkan pencemaran yang lebih teruk yang juga merupakan salah satu komitmen utama di dalam bab alam sekitar TPP. Tambahan pula, Annex 9-B(3)(b), Bab Pelaburan menyatakan bahawa 

‘Non-discriminatory regulatory actions by a Party that are designed and applied to protect legitimate public welfare objectives, such as public health, safety and the environment, do not constitute indirect expropriations, except in rare circumstances’. 

14. Ini bermaksud apa-apa langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk melindungi kebajikan orang awam tidak boleh dianggap sebagai ‘indirect expropriations’ iaitu tidak boleh di bawa ke ISDS. 

ISU PENGUATKUASAAN YANG TEGAS 

15. YB Bukit Gantang membangkitkan mekanisma penguatkuasaan alam sekitar yang lemah di dalam TPPA manakala, YB Hulu Rajang  pula mencadangkan penguatkuasaan Undang-undang alam sekitar yang tegas perlu dilaksanakan bagi membendung isu-isu alam sekitar. 

16. Untuk makluman, terdapat satu artikel khusus yang memberikan penekanan terhadap penguatkuasaan undang-undang alam sekitar secara efektif. Berdasarkan artikel General Commitments tiada sebarang pengecualian atau kelonggaran undang-undang yang boleh diberikan kepada para pelabur atau syarikat atau bagi tujuan menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke dalam Negara. Selain daripada itu, semua undang-undang alam sekitar atau undang-undang yang mempunyai peruntukan alam sekitar mesti dikuatkuasakan secara berkesan. Ini merupakan komitmen utama bagi setiap Negara ahli TPP. Beberapa klausa di dalam bab alam sekitar adalah khusus untuk penguatkuasaan undang-undang secara efektif:

17. Para 20.3 (3) : ‘Each Party shall strive to ensure that its environmental laws and policies provide for, and encourage, high levels of environmental protection and to continue to improve its respective levels of environmental protection’.

18. Para 20.3 (4) : ‘No Party shall fail to effectively enforce its environmental laws through a sustained or recurring course of action or inaction in a manner affecting trade or investment between the Parties, after the date of entry into force of this Agreement for that Party’

19. Para 20.3 (6): ‘Without prejudice to paragraph 2, the Parties recognise that it is inappropriate to encourage trade or investment by weakening or reducing the protection afforded in their respective environmental laws. Accordingly, a Party shall not waive or otherwise derogate from, or offer to waive or otherwise derogate from, its environmental laws in a manner that weakens or reduces the protection afforded in those laws in order to encourage trade or investment between the Parties’.

20. Antara aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh pihak NRE adalah seperti:

a) 1MBEON (1Malaysia Bodiversity Enforcement Operation Network) – usaha-usaha untuk membanteras pencerobohan ke atas sumber-sumber biodiversiti di kawasan perlindungan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)

b) Central Enforcement Team (CET) – Penguatkuasaan bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan

c) JPSM Elite Team (JET) – penguatkuasaan di kawasan hutan simpan kekal (HSK)

d) Kerjasama di peringkat antarabangsa seperti INTERPOL, ASEAN-WEN dan CITES.

21. Di samping itu, Kerajaan juga memang komited untuk memastikan semua keperluan untuk melaksanakan TPPA ini akan dikaji secara holistik dan akan ditangani sewajarnya supaya semua obligasi TPPA ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

ISU BAUKSIT

22. YB Parit Buntar mempersoalkan pelaksanaan penguatkuasaan di bawah TPPA sedangkan tindakan penguatkuasaan isu Bauksit masih belum diselesaikan oleh Kerajaan. Untuk makluman,  pihak Kementerian bersama-sama dengan pihak Kerajaan Negeri memandang serius isu pencemaran alam sekitar akibat daripada perlombongan bauksit dan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi menangani masalah ini.
ISU SYARIKAT PERLOMBONGAN DIBERI KUASA BESAR DI BAWAH TPPA DAN KERAJAAN BOLEH DISAMAN

23. YB Bukit Gantang membangkitkan isu bahawa syarikat perlombongan diberi kuasa besar di bawah TPPA yang bleh menyebabkan Kerajaan boleh disaman. Sumber asli negara seperti mineral tidak boleh dieksploitasi dengan mudah kerana terdapat obligasi yang mesti dipatuhi oleh semua negara TPPA bagi memelihara sumber asli negara berdasarkan undang-undang alam sekitar yang sedia ada. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti perlombongan perlu melalui proses kelulusan yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan yang sedia ada. TPPA tidak mengubah keperluan ini dan persoalan samada pihak Kerajaan boleh disaman adalah seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini. 

ISU LIPUTAN PERUNTUKAN YANG TIDAK MENCUKUPI ATAU KURANG PENEKANAN KE ATAS ISU-ISU BERKAITAN BIODIVERSITI DAN KONSERVASI

24. YB Bukit Gantang telah membangkitkan isu bahawa liputan peruntukan yang tidak mencukupi atau kurang penekanan ke atas isu-isu berkaitan biodiversiti dan konservasi di dalam Bab Alam Sekitar. Terdapat beberapa obligasi utama yang telah dinyatakan dan diterima di dalam artikel-artikel biodiversiti, pemuliharaan dan perikanan marin. Obligasi-obligasi tersebut adalah mencukupi/memadai untuk menangani sebarang isu-isu yang berkaitan dengan bio-piracy, illegal wildlife trading dan illegal fishing. Tambahan pula terdapat komitmen/keperluan kepada setiap negara ahli TPP untuk sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap perlindungan alam sekitar masing-masing dari masa ke semasa. Para 20.17 (3) menyatakan bahawa 

‘The Parties commit to promote conservation and to combat the illegal take of, and illegal trade in, wild fauna and flora. To that end, the Parties shall: 
(a) exchange information and experiences on issues of mutual interest related to combating the illegal take of, and illegal trade in, wild fauna and flora, including combating illegal logging and associated illegal trade, and promoting the legal trade in associated products; 
(b) undertake, as appropriate, joint activities on conservation issues of mutual interest, including through relevant regional and international fora; and 
(c) endeavour to implement, as appropriate, CITES resolutions that aim to protect and conserve species whose survival is threatened by international trade’.

25. Para 20.17 (4) juga memberikan penekanan yang khusus kepada isu-isu biodiversiti dan pemuliharaan.
‘Each Party further commits to: 
(a) take appropriate measures to protect and conserve wild fauna and flora that it has identified to be at risk within its territory, including measures to conserve the ecological integrity of specially protected natural areas, for example wetlands’

26. Di dalam artikel Conservation terdapat peruntukan yang khusus bagi membanteras aktiviti perdagangan haram flora dan fauna. Setiap negara mempunyai komitmen yang khusus untuk memastikan aktiviti perdagangan haram hidupan liar ini tidak berlaku di negara masing-masing. Penekanan khas juga diberikan terhadap pelaksanaan CITES disamping komitmen untuk mengenakan tindakan punitif terhadap penjenayah yang terlibat di dalam aktiviti haram tersebut. Ini jelas diterangkan di dalam Para 20.17 (2) 

‘Accordingly, each Party shall adopt, maintain and implement laws, regulations and any other measures to fulfill its obligations under the Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES)’. 

27. Para 20.17 (5) juga memberikan penekanan yang khusus untuk membanteras kegiatan perdagangan haram ini iaitu 
‘In a further effort to address the illegal take of, and illegal trade in, wild fauna and flora, including parts and products thereof, each Party shall take measures to combat, and cooperate to prevent, the trade of wild fauna and flora that, based on credible evidence25, were taken or traded in violation of that Party’s law or another applicable law26, the primary purpose of which is to conserve, protect, or manage wild fauna or flora. Such measures shall include sanctions, penalties, or other effective measures, including administrative measures, that can act as a deterrent to such trade. In addition, each Party shall endeavour to take measures to combat the trade of wild fauna and flora transhipped through its territory that, based on credible evidence, were illegally taken or traded’.

PENUTUP

28. Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan.  Saya berharap daripada penjelasan tersebut ianya telah dapat menjawab semua soalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.

29. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan Kementerian Sumber Asli (NRE). Kementerian akan mengambil perhatian dan tindakan ke atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan. Saya memberi jaminan bahawa mana-mana pertanyaan yang tidak dapat dijawab oleh saya pada kali ini akan diambil catatan untuk tindakan susulan. 

Sekian, terima kasih. 

-UnReportedNews™®

1 comment:

  1. Suatu perkara pelik berlaku di Parlimen semalam. Seorang ahli parlimen dari barisan pembangkang telah mengusulkan supaya dua perkataan ia-itu "..dan meratifikasi.." dibuang dari usul asal yang dibuat oleh menteri. Jika ia diterima oleh ahli lain, usul ini akan berbunyi seperti berikut:
    “Bahawa Dewan ini,
    menerima akan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan;
    mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global;
    menyokong keputusan Kerajaan bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani TPPA;
    Bahawa dalam memutuskan penyertaan Malaysia dalam TPPA, Dewan ini menyeru agar semua pihak bersama-sama berusaha menjayakan matlamatnya.”
    Oleh itu, dengan membawa usul ini ternyata pemimpin pembangkang ini menyokong Malaysia menandatangani TPPA. Penyokong beliau juga perlulah akur dengan usul ini.
    Namun dalam nafas yang sama beliau berkata, beliau tidak sekali kali menyokong TPPA.
    Membawa suatu usul yang orang itu sendiri tidak akan menyokong tidak pernah berlaku, walaupun dalam mesyuarat persatuan belia kampung. Mereka akan lebih arif dari ahli parlimen ini.
    Apakah yang membuat beliau begitu bengong!

    ReplyDelete

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List