Sunday 20 December 2015

RM39 Bilion Laksana Projek Tebatan Banjir - Wan Junaidi


KUCHING: Sejumlah RM39 bilion diperuntukan kerajaan pusat bagi melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau memberitahu, projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dan kementeriannya mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi mengenal pasti mekanisme pelaksanaan projek tersebut.

“Ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) datang berjumpa saya bertanyakan tentang projek tebatan banjir tetapi kita belum memutuskan bagaimana pelaksanaan dan kawasan mana akan diberi perhatian terlebih dahulu.

“Sebab itu, saya perlu mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri dan Ketua Menteri memastikan projek tebatan banjir dapat dilaksanakan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas majlis penyampaian cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 41 penerima berjumlah RM114,500 serta sumbangan bakti di sini semalam.

Pada masa sama, Wan Junaidi memberitahu kementeriannya juga akan melaksanakan sistem amaran banjir di seluruh negara.

Jelasnya, sistem itu membolehkan rakyat dan agensi penyelamat mengetahui bila banjir berlaku di sesebuah kawasan.

“Kita membina stesen menganalisis paras air laut dan air sungai di setiap tepian laut dan sungai seluruh Negara dan semua data dihantar terus ke stesen utama di Kuala Lumpur dan setiap negeri namun buat masa ini saya tidak dapat memaklumkan berapa jumlah akan dibina,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata Pertandingan Menamakan Anak Giant Panda baharu sahaja ditutup penyertaan mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, pertandingan itu berjaya menarik sebanyak 22,830 penyertaan dari seluruh negara dan antara nama untuk anak panda itu diterima daripada peserta ialah Mei Mei, Ying Ying, Xiang Xiang, Yuan Yuan, Zi Yan dan Zhen Zhen.

“Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Februari tahun hadapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Zoo Negara,” katanya. - Utusan Borneo
-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List