Friday 16 August 2013

MESIR TERKINI: KEADAAN SEMAKIN GENTING, ANGKA KORBAN HAMPIR MENCECAH 500 ORANG!

-HAMPIR 500 ORANG TERKORBAN TERMASUK 43 ANGGOTA POLIS MANAKALA RIBUAN TERCEDERA DALAM KEGANASAN TERKINI DI MESIR! AKHIRNYA MALAYSIA MENGAMBIL KEPUTUSAN MEMINDAH 3,300 ORANG RAKYATNYA DI NEGARA TERSEBUT DALAM TEMPOH TIGA HARI!-

Sekurang-kurangnya 464 orang maut dalam kekejaman terhadap penyokong Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi oleh pihak berkuasa pada Khamis.

Sekurang-kurangnya 421 penduduk tempatan maut pada Rabu, jelas jurucakap kerajaan Mohammed Fathallah menurut laporan AFP semalam.

Tambah beliau, seramai 137 orang maut di kem utama pro-Morsi di Dataran Rabaa al-Adawiya.

Manakala, seramai 57 maut di kem Dataran Nahda dan 227 maut di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri Mesir turut mengesahkan seramai 43 anggota polis turut maut dalam serangan tersebut.

Angka tersebut dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin menafikan jumlah tersebut dan mensasarkan lebih daripada 2,000 penduduk Mesir maut dalam serangan yang bermula pada Rabu itu.

Sementara itu Bernama melaporkan, Malaysia akan melaksanakan proses pemindahan 3,300 rakyatnya dalam tempoh tiga hari dari Mesir jika keadaan di negara itu bertukar menjadi kritikal.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat hari ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Malaysia Airline System (MAS) dan AirAsia.

“Sehingga kini 3,300 rakyat Malaysia di Mesir adalah selamat. Kita akan lakukan apa saja untuk pindahkan mereka jika keadaan semakin panas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Krisis di Mesir semakin memuncak apabila 464 orang terbunuh sehingga sekarang selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda pada Rabu.

Hishammuddin berkata jika lapangan terbang di Mesir boleh digunakan, pesawat MAS dan AirAsia akan digunakan untuk membawa rakyat Malaysia pulang secara penerbangan terus ke Kuala Lumpur.

“Jika lapangan terbang di sana ditutup, maka logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan untuk membawa mereka pulang melalui laluan perjalanan penerbangan yang telah dirancang,” katanya.

Hishammuddin berkata pihaknya telah memantau keadaan di Mesir sebelum Ramadan iaitu sejak Julai lalu dan telah menempatkan beberapa pegawai MKN, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar untuk menilai situasi di sana.

“Mereka juga akan memutuskan bila kita akan laksanakan proses pemindahan itu jika beberapa kawasan selamat bertukar menjadi panas,” katanya sambil menegaskan prosedur pemindahan akan dilaksanakan berdasarkan operasi pemindahan rakyat Malaysia dari negara itu, yang dilanda demonstrasi jalanan rakyat bagi menjatuhkan presiden Hosni Mubarak, dalam Ops Piramid pada 2011.

Beliau juga kesal dengan beberapa pihak penganjur swasta yang berdegil dan menghantar 200 daripada 2,346 pelajar Malaysia, yang ditawarkan untuk belajar di universiti-universiti di Mesir pada tahun ini, ke negara itu.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan pihak universiti di Mesir agar menangguhkan peperiksaan ulangan dan pengambilan pelajar baharu dari Malaysia, terutama bidang perubatan, sehingga keadaan di negara itu reda.

Pemangku Duta Malaysia di Mesir Shaiful Anuar Mohammad ketika dihubungi Bernama berkata sehingga kini tiada sebarang laporan melibatkan rakyat Malaysia dalam insiden semalam.

“Bilik gerakan aduan Kedutaan Malaysia di Mesir telah dibuka berikutan insiden itu. “Kami bersedia untuk proses menghantar rakyat kita pulang jika arahan dikeluarkan dari Wisma Putra pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata Wisma Putra juga menempatkan pegawai di beberapa lapangan terbang di Mesir untuk membantu pelajar Malaysia yang baru tiba di negara itu.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List