Thursday 11 April 2013

SEMBILAN LAGI SASPEK BERKAITAN PENGGANAS SULU DITAHAN

-KEPADA SESIAPA YANG DIDAPATI SALAH TERBABIT, MERANCANG ATAU BERSUBAHAT DALAM MELANCARKAN PERANG KE ATAS DIPERTUAN AGONG, MEREKA BERDEPAN HUKUMAN MATI ATAU PENJARA SEUMUR HIDUP-

Sembilan orang, termasuk dua penduduk tempatan, telah ditahan di Beluran bagi menyiasat kemungkinan mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

Sembilan itu, termasuk dua wanita dan tujuh lelaki ditahan secara berasingan pada kira-kira pukul 8 malam pada Selasa dan 10 pagi Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, suspek berusia antara 20an dan 50an, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Mereka akan disiasat di bawah kesalahan keselamatan, dan ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan di bawah kesalahan itu kepada 181 orang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Kepayan di sini, Rabu.

Hamza berkata, suspek ditemui bersama dengan senjata, dokumen dan RM1,000 apabila mereka ditahan.

“Bagaimanapun, tiada pertempuran bersenjata ketika mereka ditahan,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, 15 warga Filipina dan seorang Koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau pada hari ini.

Bernama melaporkan lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-PertuanAgong dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah diBukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Selain itu tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.

Kesemua mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Pada prosiding Jumaat ini, pengakuantertuduh akan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P. Ravinthran.

Pada 21 Mac lepas, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong tidak diwakili peguam hingga Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh.

Selain itu pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.

Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda manakala Seksyen 130K diperuntukkan bagi kesalahan melindungi pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda.

Sementara itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 130M iaitu sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Pada prosiding lepas, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan berkata pada Jumaat ini beliau akan memberitahu mahkamah mengenai perkembangan perbincangan dengan Persatuan Undang-undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat peguam untuk kesemua tertuduh. 

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List