-MALAYSIA TIDAK PERNAH MENGAMBIL-MUDAH TERHADAP ASPEK KESELAMATAN & BIARPUN BERITA PENYUSUPAN MASUK PENGGANAS SULU TERSEBUT PALSU MAHUPUN SEBALIKNYA, PIHAK KESELAMATAN NEGARA TETAP BERSIAP-SIAGAM UNTUK APA SAJA KEBARANGKALIAN!-
Menteri Dalam Negeri menasihatkan penduduk Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin tentang keadaan keselamatan di pantai timur negeri itu dan sentiasa memperoleh pengesahan terlebih dahulu daripada pihak Polis Diraja Malaysia.
Menurut Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dipetik Bernama sebagai berkata, keadaan keselamatan di pantai timur Sabah seperti di Lahad Datu, Semporna dan Tawau sudah bertambah pulih dan terkawal pada ketika ini.
"Saya berharap mereka tidak mendengar (mempercayai) khabar angin ini, 95 peratus daripada cerita sebegini adalah tidak benar. Jangan terpengaruh dengan cerita begini," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dengan petugas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chamek berdekatan dengan Kluan, Johor siang tadi.
Beliau diminta mengulas laporan media Filipina mendakwa terdapat ratusan pengganas Kesultanan Sulu sedang bersiap sedia untuk menyeberangi perairan Sulu di selatan Filipina ke pantai timur Sabah bagi mencetuskan kekacauan.
Semalam, pasukan keselamatan negara menahan bot membawa 32 penceroboh bersenjata di Pulau Tambisan di perairan Lahad Datu.
Ditanya mengenai insiden penahanan penceroboh bersenjata semalam, Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau belum mendapat laporan terkini mengenainya tetapi ia membuktikan pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
"Kita tidak pernah mengambil mudah tentang soal keselamatan," kata Hishammuddin dan menambah, setakat ini pihak keselamatan negara telah menahan lebih 400 orang selain kira-kira 138 individu di bawah undang-undang khas keselamatan.
Selain itu beliau berkata pasukan keselamatan turut membunuh 68 pengganas Sulu yang menceroboh negara ini.
Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan ke Lahad Datu di dalam waktu terdekat ini untuk meninjau penubuhan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan ESSZONE (Zon Selamat Sabah Timur).
Sehubungan itu, dalam perkara berkaitan di Lahad Datu, Sabah, pihak polis akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya terdapat saki-baki mayat pengganas yang ditanam di Kampung Tanduo, sejak kumpulan militan memasuki kampung itu 12 Februari lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata unit anjing K9 akan dibawa ke sekitar kampung itu untuk mengesan lubang yang dijadikan kubur oleh pengganas berkenaan.
"Kita akan membuat tinjauan atau pemeriksaan kerana mungkin ada saki-baki mayat pengganas yang ditanam di sekitar kampung itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa lokasi insiden pencerobohan di Kampung Tanduo dekat sini.
Semalam, polis mengeluarkan 15 mayat termasuk seorang wanita dalam tiga lubang.
Tan sebelum itu membawa media ke beberapa lokasi insiden pencerobohan di kampung itu dan mendengar taklimat oleh Pegawai Turus Gerakan Pasukan Gerakan Am Sabah DSP Toipi Lamat.
Tan dalam pada itu berkata walaupun kawasan itu sudah boleh dikatakan bebas daripada anasir pengganas, pihak keselamatan sentiasa membuat pemantauan dan setakat ini belum ada perancangan untuk menamatkan operasi kawalan di situ.
-UnReportedNews™®
No comments:
Post a Comment
You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)
-UnReportedNews™®