Saturday 30 March 2013

USAHA MENJEJAKI SAKI-BAKI LANUN SULU DITERUSKAN

-SEPULUH LANUN SULU CEROBOH LAHAD DATU, SATU KENA TEMBAK, TINGGAL LAGI SEMBILAN! (kena baca ikut tune lagu sepuluh budak hitam!) KURANG DARI 10 ORANG, BEGITULAH ANGGARAN JUMLAH TERKINI SAKI-BAKI SEKUMPULAN LANUN-LANUN UPAHAN KIRAM III YANG PADA ASALNYA MENCECAH LEBIH 200 ORANG SEWAKTU MENCEROBOH LAHAD DATU BULAN LEPAS SEMENJAK DIGEMPUR & DIJEJAKI PASUKAN KESELAMATAN KITA! ADUH, NAK MAIN BOLA PUN TAK CUKUP ORANG! KEKEKE!!!-

Selepas 25 hari Operasi Daulat dilancarkan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengesahkan jumlah musuh kini kurang daripada 10 orang dan angka itu mengambil kira jumlah musuh yang ditembak mati dan ditangkap berbanding bilangan musuh semasa mula bertapak di Kampung Tanduo, 12 Februari lepas iaitu kira-kira 200 orang.

Bercakap dalam satu sidang media di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, Lahad Datu semalam, Hamza menambah, "Saya tidak boleh mengatakan bahawa musuh tidak ada atau sebaliknya...kami yakin musuh memang ada tetapi jumlahnya amat berkurangan, mungkin kurang dari 10 orang." 

"Gerakan ofensif yang disusuli operasi menggeledah dan membersih sehingga kini berjaya membersihkan tiga dari lima kampung yang menjadi lokasi persembunyian dan pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas."

"Selepas Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian dibersihkan, pasukan keselamatan kini memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Bilis dan Lok Buani," katanya sambil menjelaskan penduduk Kampung Tanjung Labian akan dibenar pulang selepas ketua-ketua keluarga dan ketua kampung dibawa melawat ke kediaman mereka bersama-sama pasukan penilaian esok.

"Bagi penduduk Kampung Tanjung Batu, seramai 20 hingga 25 penghuni yang rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk akan dibenar pulang ke rumah masing-masing esok, manakala pemilik yang rumahnya musnah dibenar untuk terus tinggal di pusat pemindahan sementara."

"Sebagai langkah keselamatan, anggota keselamatan akan terus ditempatkan di kampung berkenaan untuk berkawal dan mendominasi kawasan itu dan selain itu kami juga akan melaksanakan khidmat kepolisan lain untuk memulihkan keyakinan penduduk apabila berada di kampung itu," katanya. 

Sepanjang insiden pencerobohan pada 12 Februari lepas, pasukan keselamatan menembak mati 68 militan, manakala 121 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 ditahan atas pelbagai kesalahan lain manakala, 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera turut terkorban.

Dalam satu perkembangan berkaitan, polis telah memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di empat daripada lima kawasan yang terjejas akibat pertempuran antara penceroboh militan dan pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

Jaminan tersebut yang diberi oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid ke atas keempat-empat kampung iaitu Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Labian dan kawasan Tanjung Bilis.

"Rancangan seterusnya ialah untuk membawa masuk semula penduduk kampung ke kediaman masing-masing dan hidup seperti sedia kala," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu di Pusat Latihan Polis, di Kuala Lumpur semalam.

Sumbangan berbentuk bantuan RM10,000 untuk setiap balu, 19 netbook dan RM200 untuk anak-anak wira yang terkorban itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan juga Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Dalam ucapan aluannya, Ismail menyatakan sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kementerian itu terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dan merupakan satu sokongan moral yang sangat tinggi bukan sahaja kepada waris mereka yang terkorban tetapi menjadi suntikan semangat kepada para pejuang yang kini mencurahkan khidmat bakti, berjuang bagi kedaulatan negara.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List