Wednesday 17 August 2016

Anak Sarawak Akan Terajui Sarawak Energy Gantikan Torstein


Anak Sarawak, Sharbini Suhaili akan menggantikan tempat Datuk Torstein Dale Sjotveit sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) berkuat kuasa 1 November 2016.

Sharbini yang berasal dari Kuching yang kini merupakan Naib Presiden Kumpulan Petronas (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar) akan menggalas tanggungjawab Torstein selepas tamat kontrak pada hujung Oktober.

Torstein bercadang kembali ke negara asalnya Norway selepas direkrut kerajaan negeri mengetuai syarikat milik kerajaan sepenuhnya itu pada 2009.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia semalam berkata keputusan Torstein itu dilakukan beliau sendiri.

“Kontrak dia sudah tamat dan tidak mahu diperbaharui. Kita telah memutuskan siapa yang akan menggantikannya. Lebih bagus kita mempunyai CEO dari Sarawak,” katanya ringkas.

Sementara itu, Pengerusi SEB Datuk Amar Hamed Sepawi berkata apabila Torstein memaklumkan kepada mereka tentang keputusannya pada 2015, mereka berasa sedih tetapi ia adalah satu keputusan yang mesti dihormati.

“Saya turut memaklumkan kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak yang terkejut dan sedih mendengar bahawa Torstein tidak mahu memperbaharui kontraknya tetapi menghormati hasratnya untuk meninggalkan syarikat,” jelasnya dalam laman web SEB semalam.

Menurutnya, sejak tujuh tahun lalu, Torstein telah menyelia tempoh pertumbuhan yang pesat dan menukar SEB menjadi organisasi dinamik dengan kredibiliti dan pandangan antarabangsa.

“Kita akan sentiasa berterima kasih atas sumbangan beliau kepada pertumbuhan dan kemajuan syarikat serta rakyat, baik di dalam mahupun di luar Sarawak.

“Perkara yang khususnya wajar diberi perhatian adalah fokus beliau kepada kemajuan bakat dan pembangunan kapasiti – SEB sudah berkembang daripada 2,800 kepada 4,500 kakitangan, kebanyakannya dalam jawatan profesional yang mahir,” kata Hamed.

Fokus kepada penjanaan kuasa hidro diperbaharui di bawah SCORE dan penurunan kos hasil daripadanya telah membolehkan pelanggan di Sarawak menikmati tarif domestik, komersil dan perindustrian yang terendah di negara ini disebabkan kos penjanaan yang lebih rendah.

Selain terus memenuhi komitmennya untuk membekalkan tenaga kepada pengguna domestik, SEB turut menjual tenaga secara pukal kepada SCORE dan pelanggan eksport sebagai sebahagian daripada transformasinya.

Pelabur tempatan dan asing yang memerlukan tenaga yang intensif sudah membina loji-loji di Sarawak, kerana tertarik dengan harga kompetitif bagi tenaga yang dipasarkan oleh syarikat tenaga ini.

Ia dianggarkan kira-kira 20,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung sudah diwujudkan hasil daripadanya.

SEB juga merupakan pengeksport perintis bagi tenaga elektrik di Malaysia, dengan eksport pertama ke Kalimantan Barat pada awal tahun ini, dan sedang mengusahakan persetujuan untuk membekalkan tenaga ke Brunei dan Sabah.

Syarikat itu menandatangani perjanjian pada tahun ini bagi menyediakan kepakaran teknikal dan khidmat perundingan untuk memajukan sektor tenaga di Kalimantan Utara.

Keputusannya untuk meninggalkan syarikat telah disampaikan kepada lembaga pengarah syarikat dan kerajaan negeri pada tahun lepas.

Sejak itu beliau telah membantu mencari pengganti yang sesuai.

Torstein berkata keputusan meninggalkan syarikat dibuat selepas membuat pertimbangan yang lama dan teliti bersama keluarga di Norway.

“Ia adalah satu penghormatan yang sangat tinggi bagi saya untuk memimpin 4,500 anak Sarawak di SEB sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

“Semua kita bangga dengan apa yang sudah dicapai dan teruja mengenai masa depan. Saya mengucapkan terima kasih kepada lembaga syarikat dan kerajaan negeri kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memimpin SEB selama tujuh tahun bersama syarikat.

“Saya juga berterima kasih kepada pasukan saya dalam SEB atas kepercayaan, ketekunan dan dedikasi pada setiap peringkat,” katanya.

Atas sumbangannya yang begitu banyak kepada negeri ini, Torstein dianugerahkan Pingat Panglima Bintang Kenyalang dengan gelaran Datuk oleh  Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 2013.

Lagi mengenai Sharbini, beliau merupakan seorang yang mempunyai pengalaman luas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam industri minyak dan gas bersama Shell dan Petronas.

Beliau memulakan karier bersama Royal Dutch Shell pada 1986 sebagai jurutera saluran paip dan memegang pelbagai jawatan dalam syarikat tersebut di Malaysia dan seberang laut, termasuk jawatan kanan dalam komersil, perancangan, strategi dan pembangunan perniagaan.

Beliau pernah menjadi pengurus besar operasi huluan Shell Malaysia di Sabah dan mengetuai usaha sama ‘non-operated’ mereka sebelum menyertai Petronas pada 2010 sebagai naib presiden pengeluaran antarabangsa bagi sayap huluan mereka.

Menerusi jawatannya sebelum ini sebagai Naib Presiden Huluan Antarabangsa, beliau bertanggungjawab bagi pertumbuhan perniagaan antarabangsa syarikat petroleum itu sebelum mengambil alih jawatan HSSE. - UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List