Saturday, 13 August 2016

Adenan Beri Amaran Akan Batal Permit Kerja Jika Petronas Degil


JOHOR BAHARU : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi amaran lebih tegas akan membatalkan semua permit kerja petugas Petronas dari luar Sarawak, jika arahan moratorium yang dilaksanakan kini gagal.

Beliau bercakap demikian di hadapan kira-kira lebih 400 anak-anak Sarawak di dalam program Ngabas@Johor anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung di sini, malam tadi.

Adenan turut menegaskan anak-anak Sarawak sendiri akan mengambil alih tugas tersebut sekiranya Petronas masih berdegil dengan memberhentikan anak Sarawak yang menjadi kakitangan syarikat itu dan menggantikannya dengan petugas dari luar Sarawak.

“Kita sentiasa mahukan rakyat Sarawak diberikan keutamaan. Dan, jika anda gagal berbuat demikian, kami akan bekukan permit kerja anda (Petronas),” katanya dengan nada tegas.

Ketika ini kebanyakan sumber petroleum dan gas Petronas di negara ini datangnya dari Bumi Kenyalang, terutamanya dari Miri dan Bintulu.

“Kita tidak lakukan tindakan ini serentak sekali gus. Kita laksanakannya satu per satu, dengan tindakan awal adalah melaksanakan arahan moratorium.

“Selepas ini kita akan meminta royalti kepada negeri Sarawak sebanyak lima peratus hari ini, ditingkatkan melebihi jumlah itu,” tegasnya.

Adenan sebelum ini melaksanakan serta-merta arahan moratorium terhadap permit kerja warga Petronas dari luar Sarawak berikutan tindakan syarikat minyak dan gas utama itu memberhentikan sekurang-kurangnya 13 pekerja anak Sarawak di negeri ini, lanjutan penstrukturan semula syarikat tersebut.

Biarpun mendapat kecaman sesetengah pengamal dan pengkaji ekonomi termasuk dari negeri itu senditi, namun majoriti rakyat Sarawak menganggap tindakan Ketua Menteri itu sebagai patriotik, demi melindungi masa depan rakyatnya.

Dalam ucapan sekitar 15 minit itu, Adenan turut menerangkan tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinannya sebelum ini dalam menegakkan kebajikan rakyat.

“Yang paling penting adalah untuk menuntut autonomi daripada kerajaan Pusat berhubung kuasa-kuasa yang terhakis daripada kita, walhal ia telah dipersetujui dalam perjanjian Malaysia, Akta Malaysia 1963 dan dimeterai dalam cadangan dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan pada 1963,” tegasnya.

Adenan berada di Johor selama sehari atas tugasan rasmi, termasuk merasmikan penutupan Bengkel High Performance Team penjawat kanan Kerajaan Negeri Sarawak, selain mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.


Turut hadir sama Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Masing dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - KLXpress

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List