Thursday 21 July 2016

Sarawak Tidak Berniat Mahu Keluar Malaysia


Usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA) 1963 tidak harus dilihat sebagai ikhtiar Sarawak mahu keluar dari Malaysia.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sambil menambah, beberapa hak Sarawak terutama dalam Senarai Negeri (State List) dan ANNEX C Perjanjian Malaysia sudah terhakis.

“Satu perkara yang mahu saya tegaskan, kita (Sarawak) akan kekal dalam Malaysia. Tidak bermakna apabila kita membangkit dan memperjuangkan perkara ini (hak-hak negeri) kita mahu keluar dari Malaysia.

“Tidak sama sekali. Keluar Malaysia bukannya persoalan, kita hanya mahu mengembalikan hak-hak kita yang sudah terhakis seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Sarawak yang disambut besar-besaran buat julung kalinya di Tebingan Kuching, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, bagi memberi gambaran lebih jelas kepada rakyat mengenai usaha kerajaan negeri itu, Perjanjian Malaysia 1963 terutama Artikel 8 dan ANNEX C akan dipamerkan sempena Hari Sarawak esok.

“Apa yang Tok Nan (Adenan) lakukan sekarang ialah untuk mengembalikan semua hak-hak negeri yang terhakis. Ini sangat penting.

“Oleh itu Perjanjian Malaysia terutama Artikel 8 dan ANNEX C akan dipamerkan semasa pameran Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini (esok) supaya rakyat tahu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching, semalam.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab kepada Sambutan Hari Sarawak memberitahu, di bawah ANNEX A, Perjanjian Malaysia terkandung Senarai Perundangan, Pengurusan Pentadbiran dan Jaminan.

Bermakna wujudnya ‘perlindungan’ Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 di bawah ANNEX A, ujarnya.

Abang Johari memberitahu bahawa di bawah ANNEX C iaitu kenyataan bersama dikeluarkan Kerajaan British dan Kerajaan Malaya ketika MA ditandatangani tiga perkara perlu ditekankan iaitu Perkara 2, 5 dan 7.

“Perkara 5 ANNEX C menyebut ‘Perlindungan ini akan meliputi perkara-perkara seperti kebebasan beragama, pendidikan, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, kedudukan penduduk asal, kawalan imigrasi, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri.

“Semua ini adalah hak-hak kita dan sebahagian daripadanya sudah terhakis,” katanya.

Sementara itu katanya, di bawah ‘Senarai Negeri’ 12 perkara adalah di bawah kuasa kerajaan negeri antaranya Undang-Undang Islam, Tanah, Pertanian dan Perhutanan, Kerajaan Tempatan, Cuti-Cuti Negeri, Penyu dan Penangkapan Ikan Sungai dan Perlindungan tentang sebarang perkara termaktub dalam Senarai Negeri.

“Kita akan pamerkan semua ini, supaya rakyat tahu apa yang diperjuangkan oleh kerajaan kita iaitu mengembalikan hak-hak kita yang sudah terhakis,” katanya.

Mengenai persiapan Sambutan Hari Sarawak Jumaat ini, Abang Johari berkata beliau amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan semua pihak bagi memastikan acara itu berlangsung sempurna.

“Saya berharap Sambutan Hari Sarawak akan berlangsung mengikut perancangan dan saya mengalu-alukan orang ramai datang menyaksikan sambutan hari bersejarah ini,” katanya. - UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List