Wednesday 27 August 2014

DILEMA ISTANA SELANGOR: PRN ATAU "TUNDUK" KEPADA NUAR BRAHIM


Krisis pelantikan Menteri Besar Selangor mungkin berlarutan beberapa minggu lagi berikutan kenyataan tegas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang hanya akan mencalonkan satu nama sahaja iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya Parti Islam Se-Malaysia dikatakan akur akan menghantar dua nama iaitu Wan Azizah dan Azmin Ali.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor supaya parti-parti PAS, DAP dan PKR yang membentuk ikatan longgar di bawah nama Pakatan Rakyat memberi dua nama kepada baginda.

PKR dan DAP memilih jalan untuk derhaka dengan permintaan Sultan kerana mereka berpendapat Tuanku tidak boleh masuk campur langsung dalam pemilihan Menteri Besar. Mereka juga percaya bahawa Tuanku enggan memperkenan Wan Azizah sebagai Menteri Besar sebab itu baginda meminta pilihan nama lain.

PKR dan DAP juga tiada pilihan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan Wan Azizah menjadi Menteri Besar. Dalam masa yang sama DAP tidak mahu Azmin Ali menjadi Menteri Besar. Anwar dan DAP tidak mahu Azmin kerana mereka sukar mengawal tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa ini sekiranya Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan liwat.

Anwar dan DAP mahukan seorang calon yang setia kepada Anwar Ibrahim bagi memudahkan pergerakan Pakatan Rakyat. Azmin mungkin setia kepada Anwar, namun ia boleh berubah jika Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Jika Azmin bukan Wan Azizah

Berdasarkan kenyataan Pas semalam, sekiranya mereka tidak membuat U Turn lagi, Tuanku boleh memilih nama Azmin Ali sebagai Menteri Besar. Namun hampir pasti Azmin Ali tidak akan menerimanya. Ini akan menimbulkan satu lagi keributan dan menjejaskan imej istana Selangor.

Sekiranya Pas memberi nama lain, dan calon tersebut diperkenan Tuanku, ia masih terdedah kepada undi tidak percaya daripada PKR, DAP dan dua ADUN Pas yang belot dari parti tersebut. Malah beberapa Adun Pas yang lain seperti Dr Rani Osmanjuga mungkin akan menyokong usul tersebut.

Jika ini berlaku, krisis kepimpinan negeri akan berlanjutan lagi dan memberi implikasi yang tidak baik bukan sahaja kepada negeri Selangor, tetapi juga imej institusi kesultanan. Baginda akan dilihat tidak bijak dan menimbang dengan teliti sebelum melantik Menteri Besar baru.

Wan Azizah Sebagai Menteri Besar

Menerima Wan Azizah sebagai Menteri Besar sepatutnya bukan lagi satu pilihan kepada Tuanku Sultan. Pendedahan Pas bahawa Sultan Selangor tidak mahu Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor sebenarnya jalan mati untuk Presiden PKR tersebut.

Bagaimanakah Sultan mahu memperkenankan Wan Azizah setelah seluruh rakyat jelata tahu baginda tidak merestui pencalonan Wan Azizah? Jika dilantik juga, ia akan menunjukkan institusi kesultanan Selangor sudah hilang daulat dan martabat sehingga terpaksa tunduk kepada ugutan Anwar Ibrahim dan DAP.

Jika UMNO boleh menerima penolakan Sultan Terengganu ke atas Datuk Seri Idris Jusoh dan Raja Perlis ke atas Datuk Seri Shahidan Kassim, dimanakah maruah Sultan Selangor jika terpaksa tunduk kepada Anwar Ibrahim dan DAP?

Justeru Tuanku Sultan Selangor tiada pilihan kecuali memanggil satu pilihan raya negeri jika pakatan masih berdegil mahukan Wan Azizah.

Bolehkah Pilihan Raya Negeri Diadakan?

Beberapa media melaporkan tidak akan ada pilihan raya negeri Selangor memandangkan Tan Sri Khalid Ibrahim telah menghantar surat perletakan jawatan semalam. Laporan ini mungkin berdasarkan anggapan perletakan jawatan Khalid telah menyelesaikan krisis politik Selangor dan tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Sudah tentu andaian ini tidak tepat sama sekali memandangkan PKR dan DAP enggan tunduk kepada titah Tuanku Sultan Selangor yang mahukan lebih dari satu nama untuk calon Menteri Besar.

Ada juga beranggapan, dengan perletakan jawatan Kahlid Ibrahim, Tuanku tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor lagi kerana Perkara LV (2) (b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, hanya memberi kuasa budi bicara mutlak kepada Sultan untuk memberi perkenan atau tidak di dalam permintaan oleh Menteri Besar bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri, bukannya dengan sendiri membubarkan DUN tanpa permohonan Menteri Besar.

(2) Duli Yang Maha Mulia boleh bertindak menurut budi bicara Baginda pada melaksanakan fungsi-fungsi yang berikut (sebagai tambahan kepada fungsi-fungsi yang pada melaksanakannya Baginda boleh bertindak menurut budi bicara Baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu -

a) Pelantikan Menteri Besar;

b) Keengganan untuk memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Negeri

Dengan kata lain, Tuanku tidak boleh membubarkan DUN dengan sendirinya kecuali dipohon oleh Menteri Besar. Oleh kerana Khalid telah umum meletak jawatan, maka tidak akan ada permohonan untuk membubarkan Dewan.

Namun anggapan ini salah kerana Tuanku telah memaklumkan Khalid masih Menteri Besar Selangor sehingga baginda memperkenankan perlantikan Menteri Besar baru. Ini bermakna Khalid berkuasa dan berhak memohon pembubaran DUN jika isu ini tidak diselesaikan.

Malah, sekiranya Khalid enggan memohon pembubaran, bekas profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan calon PKR Parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya lalu, Dr Aziz Bari berpendapat, Tuanku boleh membubarkan DUN secara sendirian berdasarkan kuasa budi bicara beliau.

Justeru pada hemat penulis, sungguhpun PRN ini tidak menguntungkan Barisan Nasional, namun ia merupakan pilihan terbaik Tuanku Sultan demi menjaga kedaulatan institusi kesultanan Selangor. (sumber)

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List