-BOT PANJANG MEMBAWA 27 ORANG PULANG DARI SATU MAJLIS KENDURI TERBALIK DI MUARA BATANG LASSA!-
TERKORBAN: Jenazah tiga mangsa ditempatkan sementara di Masjid Kampung Kut |
Tiga orang mati lemas manakala lapan lagi masih hilang apabila sebuah bot panjang yang dinaiki 27 orang terbalik dan karam di muara Batang Lassa di sini, semalam.
Dalam insiden pada kira-kira jam 1 petang di perairan Kampung Kut itu, 16 orang mangsa lain selamat.
Sumber memberitahu, bot mereka karam selepas dipukul ombak besar.
Rombongan itu baharu balik dari menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai dan menuju ke rumah masing-masing di Kampung Tekajong.
Mangsa yang terkorban ialah Melati Jerai, 51, Sekiah Kifli, 49, Merah Murni, 55, manakala identiti mereka yang masih hilang dan terselamat belum dapat disahkan.
Penumpang-penumpang bot itu dipercayai berusia antara 30 dan 50 tahun.
TERSELAMAT: Beberapa mangsa menerima rawatan di Hospital Daro |
“Pemandu bot cuba berpatah balik apabila terlihat ombak besar di hadapan mereka.
Bagaimanapun, ketika cuba membuat pusingan-U, bot mereka dipukul ombak besar menyebabkan ia terbalik,” kata sumber.
Kesemua penumpang dan pemandu bot dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.
Operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Balai Bomba dan Penyelamat Sentral, Sibu.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 petang.
Jurucakap bomba berkata, keadaan sungai yang bergelombang menyebabkan dua bot operasi mencari dan menyelamat tidak dapat meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian dan terkandas di Kampung Saai.
“Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7.15 malam dan akan disambung awal pagi esok (ini),” kata jurucakap bomba.
Sementara itu, tiga jenazah mangsa dan mangsa-mangsa selamat yang pada mulanya ditempatkan di Masjid Kampung Kut kemudiannya dibawa ke Hospital Daro.
Pekarangan Hospital Daro mulai dipenuhi orang ramai apabila mengetahui berita sedih itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu-Daro Wagner Lisa Libut berkata, ketika kejadian keadaan perairan di muara Batang Lassa yang bertembung dengan Laut China Selatan sedang bergelora dan angin kencang. (sumber)
-UnReportedNews™®
No comments:
Post a Comment
You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)
-UnReportedNews™®