Thursday 9 January 2014

PENDIRIAN PEMUDA PBB KE ATAS ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

-KERAJAAN NEGERI SARAWAK MEMBERI JAMINAN APA YANG TELAH BERLAKU DI SELANGOR BARU-BARU INI, TIDAK AKAN BERLAKU DI SARAWAK !-

Saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengambil maklum mengenai perkembangan agak membimbangkan yang berlaku sejak kebelakangan ini, yang boleh menjejas semangat toleransi kaum dan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini, membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Perlembagaan negara jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Namun Artikel 11 (3) (A) Perlembagaan Persekutuan turut menjelaskan bahawa setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal kegamaan mereka sendiri. Pada masa sama Artikel 11 (4) Perlembagaan turut mengenakan larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Merujuk isu larangan penggunaan Kalimah Allah, seperti ditegaskan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sebelum ini, larangan terhadap penganut agama Kristian di Semenanjung Malaysia itu tidak terpakai di Sarawak. Bagi rakyat Malaysia di Sarawak ia bukan isu kerana rakyat Sarawak telah hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama sejak berdekad lamanya, malah sebelum Malaysia terbentuk lagi.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama di Sarawak, juga sudah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengikuti tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti dilaporkan berlaku di negeri itu baru-baru ini berikutan Alkitab dalam Bahasa Indonesia sudah diguna pakai di Sarawak sejak 1847 lagi.

Hal ehwal agama adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia tertakluk kepada enakmen negeri masing-masing. Apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu sendiri.

Di Sarawak, tidak timbul isu berkenaan kerana perpaduan dan keharmonian kaum yang kukuh telah terjalin sejak sekian lama di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama. Malah semangat toleransi kaum, permuafakatan dan hubungan baik antara kaum di Sarawak menjadi contoh bukan sahaja di negara ini, malah dikagumi pemimpin dan rakyat dari seluruh dunia yang pernah berkunjung ke Sarawak.

Keharmonian kaum di Sarawak juga menjadi nadi dan teras utama kepada pembangunan rancak yang berlaku di seluruh pelosok negeri Sarawak dan kejayaan Dasar Politik Pembangunan yang diasaskan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, sejak dulu lagi.

Sehubungan itu, saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda PBB menyeru penganut agama Kristian di Sarawak supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan hasutan pihak tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan khususnya dalam konteks negeri Sarawak. Ini kerana Kerajaan Negeri Sarawak sudah memberi jaminan bahawa apa yang berlaku di Selangor itu, tidak akan berlaku di Sarawak.

Jangan sama sekali membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian kaum yang kita nikmati selama ini demi memastikan anak cucu kita akan dapat terus mewarisi keharmonian kaum, keamanan dan kesinambungan pembangunan yang berlaku di Sarawak sampai bila-bila.

Ketua Pemuda PBB
Datuk Haji Fadillah Haji Yusuf

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List