Monday 1 July 2013

NAIKTARAF JALAN PAN BORNEO SARAWAK AKAN SIAP PADA 2015

-KERAJAAN AKAN FOKUS DALAM USAHA MENAIK-TARAFKAN JALAN PAN BORNEO SIBU-BINTULU-MIRI YANG DIJANGKA SIAP DALAM TEMPOH DUA TAHUN INI-

SUMBANGAN: Fadillah (kiri) menerima replika cek sumbangan bernilai RM10,000 daripada wakil Persatuan Nelayan Negeri Sarawak untuk Tabung Mangsa Kebakaran Kampung Datu, Lama, Sibu sambil disaksikan oleh Mokhtar (tengah)
Kerja-kerja menaik taraf laluan Jalan Pan Borneo menghubung­kan Sibu, Bintulu dan Miri merupakan fokus utama kerajaan yang dijangka siap menjelang 2015.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof yang dilaporkan Utusan Borneo sebagai berkata, la­luan itu diberi keutamaan kerana memberi impak positif kepada kerajaan terutama pelaksanaan Koridor Tena­ga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di tiga kawasan terbabit.

“Beberapa bahagian kerja-kerja menaik taraf di Bintulu dan Miri sudah siap.

“Diharapkan kerja-kerja menaik taraf dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya se­lepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sarawak semalam.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) ber­janji untuk menaik taraf Jalan Pan Borneo dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) namun pelaksanaan­nya dijalankan secara berper­ingkat dalam tempoh lima tahun.

Selain laluan di Sibu, Bin­tulu dan Miri, Fadillah men­jelaskan bahawa tumpuan kerajaan seterusnya adalah untuk menaik taraf laluan antara Serian dan Betong serta mewujudkan laluan memotong.

“Pelaksanaan kerja me­naik taraf Jalan Pan Borneo akan siap secara berpering­kat. Kita perlu menunggu pengumuman bajet yang diluluskan.

“Kerja menaik taraf akan disiapkan bergantung ke­pada bajet yang diluluskan,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut­nya, beliau bukan orang yang layak mendedahkan jumlah peruntukan yang dipohon kerajaan negeri dan ia hanya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila membentang­kan Belanjawan 2014.

“Peruntukan bajet yang diluluskan mungkin lebih atau kurang dan kita tidak pasti perkara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk membatal­kan kontrak dan pendaftaran kontraktor sekiranya gagal menyiapkan projek.

“Kira-kira 10 peratus kon­traktor gagal menyiapkan pro­jek seperti yang dikehendaki,” kata Fadillah.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengingatkan kontraktor yang dilantik oleh kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek bagi mengelak daripada kegagalan dan dipersoalkan oleh rakyat.

Dia berkata rakyat akan mempersoalkan dasar kerajaan jika kontraktor yang telah dilantik gagal melaksanakan projek.

Justeru tegasnya, kontraktor perlu melaksanakan sebaik mungkin projek yang telah diamanahkan agar tidak dipersoalkan oleh rakyat jika berlaku kegagalan.

“Kerajaan komited dalam membantu kontraktor khasnya Bumiputera dalam pelaksanaan apa sahaja projek seperti jalan, bangunan dan sebagainya.

“Dengan sejumlah peruntukan yang besar, jika terdapat masalah disebabkan kecuaian kontraktor, rakyat akan menuding jari kepada kerajaan.

“Sebab itu, pelbagai bentuk kursus diadakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran para kontraktor,” katanya.

Kursus tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan PKMM Negeri Sarawak.

Fadillah menambah, kerajaan pusat berkemungkinan besar akan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion tahun depan bagi projek-projek infrastruktur.

Justeru beliau berharap para kontraktor khasnya Bumiputera merebut peluang membida projek-projek berkenaan meskipun hanya membabitkan projek berskala kecil.

Sementara itu Pengarah PKK Yahaya Hasan berkata hasil daripada tinjauan mendapati terdapat segelintir kontraktor Gred G1 hingga G7 bertindak memberi subprojek kepada pihak ketiga.

Katanya jika terbukti, pihak PKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada kontraktor terlibat selain menarik balik lesen.

Mengulas mengenai kursus selama dua hari itu, ia dihadiri seramai 120 orang kontraktor daripada Gred G1 hingga G7 dan kontraktor-kontraktor akan diberi 20 mata CCD bagi tujuan pembaharuan lesen di peringkat CIDB manakala kursus ini akan diguna pakai untuk memperbaharui Sijil Taraf Bumiputera kontraktor PKK.

Kursus ini juga merupakan salah satu usaha PKK dalam memberi pengetahuan kepada kontraktor berhubung pengurusan dan pengukuran kuantiti dalam projek pembinaan.

Setakat ini PKK Negeri Sarawak telah menjayakan enam siri kursus di seluruh daerah di negeri ini.

Pada akhir kursus, kontraktor akan diberikan surat pengesahan kehadiran berkursus dan sijil kursus masing-masing yang akan dimuat naik dalam portal PKK iaitu pkk.kkr.gov.my dalam masa seminggu dari tarikh akhir kursus.

Turut hadir Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Negeri Sarawak Abang Naseer Abang Hadari.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List