Wednesday 20 February 2013

SITUASI DI LAHAD DATU MASIH TERKAWAL!

-KETUA POLIS NEGARA MENYANGKAL POLIS BERLEMBUT DENGAN PENCEROBOH TERBABIT!!!-

Situasi di Lahad Datu di mana kumpulan bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu menceroboh masuk di Kampung Tanduo di sini masih terkawal, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Mstar Online melaporkan beliau berkata, isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

"Kami mengharapkan penyelesaian dilakukan secara aman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada beberapa pemandu di sini Rabu.

Ismail menyangkal dakwaan bahawa polis telah berlembut dengan penceroboh terbabit.

"Kami mahu mengelak sebarang pertumpahan darah...kami berjaya mengawal keadaan.

"Kami berharap isu tersebut diselesaikan segera," katanya.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pihak berkuasa Malaysia masih mempunyai pilihan terbuka dalam menyelesaikan konflik dengan pengikut Sultan Sulu yang bersembunyi di Kampung Tanduo, kawasan kampung terpencil di Felda Sahabat 17 dekat sini.

Beliau menjelaskan pihak berkuasa melakukan apa juga kemungkinan tanpa pertumpuhan darah bagi menyelesaikan konflik itu yang kini memasuki minggu kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

"Saya harap mereka tidak memaksa kami. Kita perlu bertindak bila tiba masa yang sesuai.

"Dan sekiranya kita perlu membuat satu keputusan, kita akan laksanakannya," katanya sebelum berlepas ke Felda Sahabat di Lahad Datu.

Kumpulan yang dianggotai oleh 100 orang itu diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, mendesak bertemu 'personaliti' tertentu apabila rundingan tersebut berlarutan.

Anggota kumpulan itu dipercayai menggunakan senjata seperti M16, M14, 'Baby Armalite' dan bom tangan M203 bagi menyerang kumpulan yang memulakan provokasi.

Sebelum ini Sultan Jamalul mendakwa kumpulan yang tiba di pantai timur Sabah itu tidak memiliki senjata sebaliknya mereka mahu tinggal di Sabah kerana ia merupakan 'tanah air' mereka.

Kumpulan berkenaan termasuk lima wanita, sebelum ini menuntut pengikirafan sebagai tentera Sulu daripada Kerabat Sultan Sulu, meminta agar komuniti Suluk, yang telah lama berada di Sabah tidak dihantar pulang.


-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List