Monday 22 February 2016

Senarai Calon BN Diumum Pada Mac

 

Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, diumumkan Mac depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata semua parti komponen BN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) telah mengemukakan senarai calon masing-masing.

“Bulan depan (Mac) saya akan mengesahkan senarai calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Turut hadir Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Mengenai khabar angin mengatakan calon daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang mahu bertanding pada PRN nanti harus bersara daripada parti dan menyertai parti komponen BN, Adenan berkata beliau tidak boleh mengesahkan perkara itu.

“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu atau biarlah perkara itu kekal khabar angin,’ tegasnya.

Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak turut mendedahkan, hampir kesemua masalah UPP dan TERAS sudah diselesaikan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN diadakan, Adenan berkata pilihan raya akan diadakan sebelum tempoh DUN tamat pada 20 Jun 2016.

“Tempoh DUN Sarawak akan tamat 20 Jun 2016, malah jika kita tidak membubarkan DUN (apabila tiba tarikh itu) DUN akan bubar dengan sendirinya.

“Ini kerana dalam perlembagaan, pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tempoh DUN tamat, jadi hingga Ogos namun itu bukan amalan kita, pilihan raya lazimnya diadakan lebih awal. Mungkin lebih awal atau sebelum Jun,” ujarnya.

Pada sidang media sama Adenan memberitahu bahawa BN Sarawak optimis dapat merampas semula beberapa kerusi yang ketika ini milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada PRN nanti.

“Ya, kita optimis, kita sudah membuat perkiraan, kita sangat optimis tetapi saya tidak boleh nyatakan sekarang, yang pasti ia (kerusi) milik DAP,” katanya. -UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List