Friday 16 October 2015

Persempadanan: Mahkamah Tolak Permohonan Kebenaran Merayu

 
KUCHING: Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam menolak permohonan dikemukakan See Chee How dan Pauls Baya untuk mengemukakan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
 
See merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, manakala Pauls pula pengundi dari Ulu Baram.
 
Presiden Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tiga ahli panel, Tan Sri Md Raus Sharif menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa Notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula kawasan DUN Sarawak adalah sah dan menolak permohonan rayuan itu atas tiga sebab.
 
Pertama, ujarnya, perkara itu kini bersifat akademik, 15 persoalan undang-undang dikemukakan pemohon tidak memenuhi tahap kepentingan (threshold) dan harapan untuk rayuan berjaya adalah tipis jika mahkamah memberi kebenaran.
 
“Pemohon juga gagal melepasi permulaan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 walaupun mereka membangkitkan isu-isu perlembagaan,” jelasnya.
 
Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang semalam ialah Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Hasan Lah.
 
Mahkamah Tinggi Kuching pada 5 Mei 2015 mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangan persempadan semula kawasan DUN Sarawak tidak mempunyai butiran lengkap, justeru mengarah suruhanjaya itu menerbitkannya semula.
 
Pada 25 Mei 2015, mahkamah sama membuat perintah tambahan dan mengisytiharkan notis SPR itu ‘batal dan tidak sah’ selepas memutuskan notis tersebut tidak mengikut Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.
 
Mahkamah sama mengarahkan SPR menerbitkan semula notis itu dengan ‘mematuhi sepenuhnya peruntukan-peruntukan terkandung dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.’
 
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos 2015 dengan menyatakan ia mematuhi Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
 
Sementara itu, See yang dihubungi selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan semalam memberitahu beliau kecewa dengan keputusan tersebut.
 
“Adalah keterlaluan untuk mengatakan 15 soalan, 14 mengenai Artikel 114 dan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, dibangkit buat pertama kali dalam Mahkamah Persekutuan, tidak memenuhi syarat-syarat untuk mengemukakan permohonan rayuan.
 
“Perlu diingatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan berbeza (sebelum ini),” ujarnya.
 
See menambah, paling signifikan ialah Mahkamah Persekutuan telah mempersia-siakan peluang untuk membincang lebih mendalam isu yang dianggapnya paling penting itu.
 
Menurutnya, isu itu boleh memberi kesan kepada semua pengundi dan usaha persempadanan semula SPR serta sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
 
Beliau turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam seperti Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga pemimpin-pemimpin BERSIH, Tindak Malaysia dan semua telah menyumbang kepada kes itu.
 
“Perjuangan menghalang persempadanan semula kawasan DUN Sarawak mungkin sudah berakhir, tetapi usaha mencabar proses sama di Sabah dan Semenanjung Malaysia bakal bermula.
 
“Usaha-usaha untuk meneliti serta mencabar proses itu bertujuan memastikan proses pilihan raya secara berterusan dilakukan dengan lebih baik, adil dan saksama,” tegas See. - UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List