Saturday 13 September 2014

ADA RAHSIA TERKANDUNG DALAM SURAT KEDUA PKR KEPADA ISTANA SELANGOR?


KUALA SELANGOR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan mendedahkan kandungan surat kedua yang dihantar parti itu kepada Istana Selangor pada Selasa lepas.

Beliau juga enggan menyebut sama ada nama calon lain disertakan dalam surat itu bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Kita tunggu dahulu, hari ini separuh hari kan. Kita tunggu respon Istana.

"Hari ini saya jumpa (anggota PKR Kuala Selangor) selepas pemilihan parti bersama-sama (Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok) Dr Idris Ahmad, (bekas Exco kerajaan Selangor) Elizabeth Wong, (Anggota Parlimen Subang) R. Sivarasa dan Anggota Parlimen Ampang (Zuraida Kamaruddin)," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri penyampaian sijil program bacaan Bahasa Inggeris dan penyerahan wang bantuan program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), di sini.

Selasa lepas, PKR dan DAP masing-masing menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor susulan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap tindakan kedua-dua parti itu yang hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar baharu.

Selain menghantar surat kedua itu, pada hari yang sama PKR dan DAP mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

Walaupun memohon ampun kepada Sultan Selangor, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor. -Bernama

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List