AMSTERDAM: Hanya selepas tempoh dua minggu, barulah kerajaan Malaysia akan mengumumkan tarikh penghantaran pulang mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai.
Ini adalah antara yang diperolehi semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ke Netherlands, yang membuahkan hasil konklusif.
Berikutan penetapan tempoh itu, Najib mengumumkan akan mengadakan hari berkabung negara selama sehari, yang pertama upacara seumpamanya diadakan, sebaik sahaja mayat dan jenazah mangsa warga Malaysia tiba di tanah air nanti.
"Ia akan menjadi upacara yang penuh syahdu dan bermaruah," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini, Jumaat.
Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara ini.
Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Seramai 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu.
Najib berkata Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat hadir pada upacara itu.
Perdana Menteri berkata setakat ini, sejumlah 126 keranda telah diperiksa dan menjalani proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).
Tragedi itu juga membawa kepada hubungan Belanda dengan Malaysia bertambah akrab secara berkongsi kesedihan dan juga daripada segi hubungan dua hala.
"Malah rakyat Belanda memahami tragedi ini dan mereka tidak menyalahkan MAS atau Malaysia," kata Najib.
Berhubung perkembangan dua kotak hitam MH17, Perdana Menteri berkata siasatan awal oleh badan bebas di Britain akan diumumkan "tidak lama lagi".
Beliau berkata Malaysia dan pasukan penyiasat antarabangsa menumpukan kepada usaha masuk ke lokasi nahas di Torez, Ukraine untuk mengambil cebisan mayat dan serpihan pesawat bagi tujuan siasatan.
Oleh itu, Najib dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte telah membuat kenyataan bersama pada Khamis dengan menggesa dilaksanakan gencatan senjata di lokasi nahas dan kawasan sekitarnya dengan segera.
Pendek kata, perkembangan semasa itu tidak dapat dicapai tanpa pengorbanan 12 anggota pasukan Malaysia diketuai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Lt Kol Mohd Sakri Hussain, kata Najib yang merakamkan penghargaan kepada mereka.
Mereka merupakan pasukan yang berunding dengan ketua kumpulan puak pemisah Alexander Borodai dan mengusahakan 226 keranda dibawa keluar dari Torez ke Kharkiv di Ukraine dan kemudian keranda berkenaan diterbangkan ke Eindhoven, Netherlands.
Mereka juga menerima dua kotak hitam MH17, bukti paling penting dalam penyiasatan untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada pesawat itu dan untuk membawa 'dalangnya' ke muka pengadilan.
"Tiada wang tebusan dibayar, tiada apa-apa langsung (dalam mencapai persetujuan itu)," tegas Najib. -BERNAMA
-UnReportedNews™®
No comments:
Post a Comment
You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)
-UnReportedNews™®