Thursday 7 August 2014

TAN SRI KHALID AKAN BERHADAPAN LEMBAGA DISPLIN PKR


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diheret untuk memberi keterangan dalam sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR, jam 3 petang, Jumaat.

“Sekiranya masa dan tarikh tersebut tidak sesuai, Lembaga Disiplin turut mencadangkan masa dan tarikh lain iaitu sebelum jam 12 tengah hari pada 9hb Ogos 2014 (Sabtu),”kata Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam kenyataannya hari ini.

Dr Tan menambah, kehadiran Khalid penting untuk menjawab enam pertuduhan, iaitu satu berkaitan dengan kenyataan media dan lima pula berkaitan dengan polisi kerajaan negeri.

“Selain isu kenyataan media yang dibuat Tan Sri Khalid pada 22 Julai 2014, beliau turut akan diminta memberikan penjelasan berkenaan perkara-perkara berikut; Penstrukturan Air Selangor, Elaun Baru Menteri Besar Selangor, Kenaikan Cukai bagi Lesen Perniagaan, Pinjaman YAB Tan Sri Khalid dengan Bank Islam dan Cadangan Lebuhraya Baru KIDEX,” katanya.

Kelima-lima pertuduhan berkaitan dengan polisi kerajaan negeri pimpinan Khalid hampir sama dengan memo setebal 24 muka surat, bertarikh 4 Ogos yang disediakan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.

Jawapan Khalid yang mendakwa surat yang Lembaga Disiplin parti bertarikh 5 Ogos tidak sah kerana mengandungi beberapa kecacatan dibidas oleh Naib Presiden PKR, N. Surendran.

“Saya rujuk kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim yang berkata surat tunjuk sebab yang dihantar KEADILAN kepada beliau tidak spesifik dan cacat. Kritikan Tan Sri Khalid itu langsung tidak berasas.

“Keadilan prosedur cuma memerlukan tuduhan terhadap seseorang anggota parti dinyatakan dengan jelas di dalam surat tunjuk sebab. Ini telah pun dilakukan. Tuduhan yang terkandung dalam surat bertarikh 5 Ogos 2014 menyatakan bahawa Tan Sri Khalid telah mengeluarkan kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat untuk mencalonkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

“Oleh itu tidak timbul soal keraguan atau tiada butir-butir relevan seperti yang didakwa Tan Sri Khalid. Surat tersebut memberi beliau peluang untuk menjelaskan tindakan beliau, seperti yang diperlukan keadilan asasi (natural justice). Tidak ada keperluan untuk menyatakan klausa spesifik dalam perlembagaan parti di dalam surat tunjuk sebab seperti yang didakwa beliau,” kata N Surendran.

Pengarah Strtaegi PKR, Rafizi Ramli pula mengasak Khalid berkaitan isu hutang dengan Bank Islam dan perkaitan dengan urus niaga bersama Ecoworld Berhad.

Rafizi menyenaraikan semula enam perkara perkaitan itu seperti berikut :

1. Pada 13 Februari 2014 iaitu 2 minggu selepas Kajang Move diumumkan, pendengaran kes rayuan tuntutan hutang Bank Islam terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di Mahkamah Persekutuan tidak diteruskan dan mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang merundingkan penyelesaian di luar mahkamah

2. Pada 26 Februari 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tiba-tiba mengumumkan bahawa satu MOU penstrukturan air telah ditandatangani di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan

3. Pada 19 Mac 2014, Tropicana Corporation Berhad mengumumkan bahawa ia telah menjual 308.72 ekar tanah yang dibelinya dari Kerajaan Selangor (dalam bulan April 2013) kepada Ecoworld Berhad. Ini bermakna sebanyak 308.72 ekar tanah milik Kerajaan Selangor akhirnya dipindahmilik ke syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf

4. Pada 25 Mac 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani satu lagi MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah Kerajaan Selangor yang dianggarkan bernilai RM591 juta kepada Ecoworld Berhad

5. Pada 31 Mac 2014, Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah semasa pengurusan kes bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang berikutan penyelesaian di luar mahkamah yang telah dicapai

6. Pada 23 April 2014, Bank Islam memfailkan circular resolution kepada pemegang saham sebagai sebahagian dari peraturan Bursa Malaysia. Ia turut menyenaraikan perjalanan kes tuntutan baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Circular resolution itu turut mengesahkan bahawa Bank Islam telah bersetuju menggugurkan tuntutan saman baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun “peguam Bank Islam berpendapat Bank Islam mempunyai kes yang kuat terhadap lawan”

“Setiausaha Politik YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengakui bahawa Menteri Besar berjumpa dengan Tan Sri Rashid Manaf beberapa kali untuk merundingkan penyelesaian kes hutang beliau.

“Tan Sri Rashid Manaf adalah bekas peguam Tun Daim Zainuddin dan seorang tokoh korporat yang menguasai Ecoworld dan diketahu rapat dengan Barisan Nasional,” kata Rafizi.

Justeru itu Rafizi mencabar Khalid untuk mendedahkan terma-terma perjanjian atau menyamannya sekiranya dakwaannya tidak benar.

“Dedahkan secara terbuka terma-terma perjanjian beliau dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang sebanyak RM70 juta secara tiba-tiba.

“Menjelaskan kenapa syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf mendapat manfaat beratus juta ringgit dari Kerajaan Negeri dalam tempoh sebulan selepas hutang beliau diselesaikan dengan Bank Islam dengan rundingan melalui Tan Sri Rashid Manaf.

“Jika pun beliau tidak bersedia untuk mendedahkan terma-terma perjanjian dengan Bank Islam, sepatutnya beliau failkan saman fitnah terhadap saya di dalam mahkamah sebelum membuat laporan kepada SPRM.

“Sehingga kini, beliau tidak mengambil sebarang tindakan mahkamah terhadap saya atau Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Saya percaya ini kerana beliau tidak mahu memberi keterangan bersumpah di mahkamah mengenai perjanjian rahsia beliau dengan Bank Islam.

“Jika beliau tidak ada apa-apa yang disembunyikan, maka beliau sewajarnya mendedahkannya atau menyaman saya di mahkamah sebelum berakhirnya hari Jumaat esok,” kata Rafizi lagi.

Selangor Dalam Bahaya Jika Saya Disingkir, Khalid Jawab Surat Tunjuk Sebab PKR-AIDCNews  

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List