Friday 22 August 2014

MH17: PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT DUA JENAZAH DI MASJID JAMEK KUCHING, SARAWAK


KUCHING: Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada dua daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 bulan lepas yang akan tiba di sini esok, dinasihatkan supaya berhimpun di Masjid Jamek, Petra Jaya, sekitar pukul 3.30 petang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini untuk memberi keselesaan dari segi ruang dan masa kepada orang ramai berbuat demikian.

Beliau berkata, sebaik sahaja dua jenazah itu tiba di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini sekitar pukul 3 petang, jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek, di Petra Jaya untuk disembahyangkan, sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang.

Katanya, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud yang diiringi Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem serta anggota kabinet negeri juga dijangka akan berada di Masjid Jamek petang esok untuk solat jenazah.

"Orang ramai tanpa mengira kaum yang hadir dicadangkan supaya memakai pakaian berwarna gelap dan menjaga tatasusila," katanya dalam sidangmedia di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Berdasarkan senarai nama mangsa nahas yang jenazah dijadualkan tiba esok dan diumumkan di ibu negara hari ini, dua yang akan diterbangkan ke Kuching nanti ialah jenazah Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif Tambi, 19.

Daud berkata, sebaik sahaja dua jenazah itu tiba di Pengkalan TUDM, majlis penerimaan akan dibuat secara ringkas, sebelum dibawa dengan van jenazah ke Masjid Jamek.

Katanya dari aspek pergerakan mungkin tidak banyak masalah kerana van jenazah akan diringi oleh pasukan polis pengiring, namun dari segi ketepatan masa ia bergantung kepada waktu ketibaan jenazah itu di pangkalan TUDM.

Beliau berkata solat jenazah akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Jamek Datuk Joji Suhaili, yang juga akan menyempurnakan bacaan talkin di tanah perkuburan nanti.

Sementara itu tinjauan di Masjid Jamek dan tanah perkuburan Islam Semariang di sini mendapati semua persiapan dan raptai pengurusan jenazah telah dilakukan. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List