Thursday 25 July 2013

KAPALTERBANG TERHEMPAS: ANAK MENTERI DI JABATAN PM TERSELAMAT!

-MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI HAJAH NANCY SHUKRI MERASA LEGA & BERSYUKUR ANAKNYA TERSELAMAT DARI NAHAS SELEPAS PESAWAT RINGAN TERHEMPAS DI SELAT MELAKA SEMALAM! ALHAMDULLILLAH!-

TERSELAMAT: Faeroz diselamatkan pasukan penyelamat setelah terapung hampir sejam di Selat Melaka berbekalkan lampu suluh.
“Menjadi juruterbang adalah impian saya sejak kecil dan kejadian yang menimpa langsung tidak melemahkan semangat saya untuk mencapai impian tersebut.

“Malah saya akan meneruskan latihan penerbangan selepas Hari Raya nanti,” ujar Faeroz Kamil dengan nada penuh yakin ketika dihubungi semalam.

Faeroz, 27, anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, bersama rakan pelatih Soh Hsien Choong, 22, dan juruterbang wanita Kapten Sharon Yee, 27, terselamat dalam nahas pesawat ringan jenis Piper PA-28 milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) yang terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat, Pulau Melaka di Melaka pada kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.

“Saya langsung tidak menyedari detik-detik pesawat kami terhempas kerana keadaan adalah terlalu gelap.

“Setelah menyedari pesawat sedang dimasuki air, saya menjerit kepada Soh dan Yee untuk keluar dari pesawat secepat mungkin,” jelas Faeroz yang memberitahu pesawatnya tenggelam dalam tempoh seminit selepas ditinggalkan.

Faeroz memberitahu, ketika itu Yee mengalami kecederaan teruk di kepala dan terpaksa dibantu untuk berenang ke pantai.

“Soh merupakan bekas pemain polo air malah beliau yang membantu Yee untuk berenang ke pantai kerana Yee langsung tidak dapat melihat apa-apa setelah kepalanya terhantuk pada alat kawalan pesawat dalam kemalangan tersebut.

“Saya agak ketinggalan ke belakang kerana saya kurang mahir berenang, malah ketika itu kami bertiga tidak memakai jaket keselamatan,” jelas Faeroz yang memberitahu beliau dan Soh hanya mengalami berkecederaan ringan.

Beliau memberitahu, perkara yang menyelamatkannya dalam kejadian itu ialah lampu suluh yang dibawanya selama beliau terapung di lautan Selat Melaka.

“Saya ternampak Masjid Selat di tepi pantai iaitu kira-kira 500 meter dari kawasan saya terapung lalu saya menjerit untuk meminta tolong.

“Saya mengagak telah terapung di tengah laut hampir sejam sebelum diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat,” jelas Faeroz.

Sementara itu, Nancy ketika dihubungi berkata, beliau amat terkejut setelah mendengar khabar bahawa anaknya terlibat dalam nahas pesawat di Selat Melaka.

“Saya berasa amat lega dan bersyukur setelah mendengar anak lelaki saya serta rakanrakannya selamat dalam nahas pesawat yang hampir meragut nyawa mereka.

“Saya juga amat gembira kerana Faeroz telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini bersama bapanya,” ujar Nancy.

Nancy memberitahu, beliau amat terharu dan lega setelah Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron sendiri menghubunginya untuk memaklumkan bahawa anaknya selamat dan bersama beliau di Hospital Melaka ketika itu.

“Mujur Faeroz dan krunya terselamat dalam bencana tersebut kerana mereka tidak memakai jaket keselamatan, malah Faeroz sendiri tidak begitu pandai berenang.

“Sebelum kejadian, Faeroz menghubungi saya memberitahu bahawa beliau bercadang untuk berbuka puasa di dalam pesawat ketika latihan penerbangan secara solo, malah pada malam sebelum ini beliau juga telah menjalani latihan penerbangan yang sama selama dua jam,” jelas Nancy.

Menurutnya lagi, beliau sempat berpesan kepada Faeroz supaya fokus terhadap latihan dan berdoa agar beliau serta rakan-rakannya selamat menjalani latihan penerbangan itu.

Pada masa sama, Nancy mengeluarkan kenyataan rasmi menghargai usaha semua pihak yang terlibat membantu menyelamatkan mangsa kemalangan pesawat ringan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, pihak polis, Bomba dan Penyelamat, Hospital Melaka dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha menyelamatkan anak saya serta rakan-rakannya.

“Saya turut menghargai jasa Datuk Idris Haron kerana melawat mangsa di hospital dan memberi peluang kepada saya untuk bercakap dengan anak saya menggunakan telefon bimbitnya,” ujar Nancy.

Menurut laporan Bernama, Ketua Balai Bomba Jalan Kubu Melaka, Yazid Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.

41 malam kelmarin sebelum tiba seminit kemudian dengan satu jentera dan sebuah bot bersama 15 anggota penyelam.

Beliau berkata, Yee dan Soh berenang kira-kira 400 meter ke pantai sebelum mendapatkan bantuan orang ramai, termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron, yang berada di Masjid Selat.

Yazid berkata, bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan Faeroz sebelum menemui mangsa yang terapung pada jam 9.30 malam.

“Ketika tiba di lokasi, mangsa tidak berpaut pada apa-apa dan menggunakan lampu suluh bagi membantu pihak bomba mengesan kedudukannya,” katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat pula berkata, polis marin dan bomba akan menyambung operasi mengesan pesawat yang terhempas semalam selepas menamatkan operasi pada jam 11 malam kelmarin.(sumber)

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List