Wednesday, 20 February 2013

PENYERTAAN ULAMA KE DALAM POLITIK DIALU-ALUKAN

-IANYA AKAN MEMBERI KESAN ASPIRASI & CITA-CITA KITA UNTUK MELIHAT ISLAM DIAGUNGKAN & BANGSA MELAYU DIMARTABATKAN!-

Berita mengenai beberapa orang ulama popular menyertai parti politik dan seterusnya bertanding dalam PRU ke 13 tidak memeranjatkan kita. Ura-ura seperti itu memang telah lama dimainkan dalam akhbar dan media sosial. Pilihan parti yang bakal disertai pun tidak memeranjatkan kita kerana selama ini ucapan dan kenyataan yang keluar daripada mulut mereka membayangkan hasrat politik mereka itu.

Kepada mereka yang faham persoalan ini dengan dada terbuka mengalu-alukan langkah sedemikian. Diharapkan penyertaan ulama-ulama popular terutamanya akan memberi kesan langsung kepada aspirasi dan cita-cita kita untuk melihat Islam diagungkan dan bangsa Melayu dimartabatkan.

Saya masih teringat bila saya mengambil keputusan menyertai PAS dahulu. Sebagai moderator forum perdana Ehwal Islam, bersama dengan ulama-ulama popular seperti Dato Dr Haron Din, Dato Ismail Kamus, Tan Sri Harussani Zakaria, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Ust Ghani Abdul Rahman dan lain-lainnya telah menempatkan forum tersebut dalam ranking teratas dari segi rating program TV ketika itu.

Langkah yang saya ambil menyebabkan ramai dikalangan ulama-ulama popular tersebut menyertai PAS dan berjuang di dalam wadah tersebut sehingga menjadikan parti itu lebih dekat dihati rakyat.

Penyertaan kami dalam PAS didorong oleh satu tujuan sahaja iaitu untuk mendaulatkan Islam, melaksanakan Negara Islam dan hudud serta membantu membina masyarakat berlandaskan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Buat seketika jalan ke arah itu kelihatan terbuka luas sehinggalah ke saat PAS menyertai Pakatan Rakyat. Penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat telah mengubah halatuju dan rangka kerja parti Islam itu. Parti itu tidak lagi menjulang Negara Islam sebaliknya atas desakan DAP dan PKR diganti kepada Negara Berkebajikan.

Harapan saya para ulama popular ini tidak kira parti mana yang mereka pilih mereka akan menggunakan seluruh kekuatan minda, intelek, spiritual dan fizikal untuk mengagungkan agama Allah. Tidak ada tujuan lain selain daripada tujuan yang murni itu. Tugas mendakwah dan membersihkan Islam daripada segala bentuk najis seperti pluralisme agama, Islam Liberal, fahaman LBGT dan sebagainya dapat di samak dan dibersihkan oleh ulama-ulama popular ini.

Sebaliknya kalau mereka terjun ke dunia politik semata-mata untuk meraih keuntungan terdekat maka langkah mereka tidak sepatutnya diberi sokongan oleh masyarakat Melayu Islam di Negara ini.

Begitu juga sekiranya kehadiran mereka hanyalah untuk dijadikan alat oleh sesetengah pimpinan parti politik untuk mengaburi mata rakyat dengan tujuan membersihkan imej pimpinan-pimpinan yang terbabit yang sudah tercalar moral dan akhlak mereka, maka kehadiran mereka tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada para penyokong dan pimpinan parti yang dipilih termasuk ulama popular itu sendiri.

Kita tunggu dan lihat perkembangan berikutnya. Harapan kita para ulama popular ini tidak dengan begitu mudah mengkhianati ilmu dan amalan mereka sebagai ulama. Mereka perlu menghidarkan diri mereka daripada fitnah yang mungkin dilontarkan kepada mereka sebagai ulama yang sudah tentu pada analisa akhirnya menatijahkan sesuatu yang negatif terhadap Islam itu sendiri. Inilah yang perlu dielakkan oleh semua pihak yang terbabit.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI

Presiden JATI Malaysia

TTDI, KL

19 Februari 2013

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List