Saturday 17 November 2012

EMPAT SEKELUARGA DIPERCAYAI DIBUNUH KEJAM DI PUSA, SARAWAK


PUSA: Penemuan mayat empat sekeluarga yang ditemui mati di rumah mereka kelmarin menjadi tanda tanya masyarakat setempat.

Kejadian berlaku di Lubuk Chepung berhampiran kawasan Terminal Bas Pusa mengejutkan ramai pihak apabila mangsa dikenali Zaidi Pandi, 62, dan isterinya Tiah Sauti, 53, berserta dua orang anak mereka Atikah Zaidi, 27, dan Kazil Zaidi, 20, ditemui tidak bernyawa lagi oleh salah seorang saksi, Omar Pandi, 39, yang datang untuk menghantar barang kepada keluarga terbabit kelmarin.

Menurut Omar, beliau tidak menyangka bahawa kedatangannya ke rumah abangnya itu membawa kepada penemuan mayat yang telah berbau dan dikerumuni lalat.

"Apabila tiba di rumah mangsa, saya mendapati kenderaan dan selipar ada di depan rumahnya. Tetapi, tidak menyahut salam jadi saya tunggu mungkin mereka pergi ke pasar. Saya ketuk pintu dan mendapati pintu rumah mereka juga berkunci dari dalam.

"Selang beberapa minit, saya menunggu tidak juga kelihatan. Jadi, saya membuat keputusan untuk balik. Ketika itulah saya tercium bau pelik dan lalat berterbangan dari tingkap rumah mangsa.

"Saya mula rasa curiga lalu mengajak anak-anak saya untuk pergi ke balai polis untuk membuat laporan dan cuba ingin mengetahui perkara sebenar yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini semalam.

"Kami bersama pihak polis terpaksa membuka rumah melalui tingkap belakang, kerana semua pintu dan tingkap berkunci.

"Saya terkejut melihat keadaan mayat empat sekeluarga yang dalam keadaan yang amat mengerikan dan menyedihkan itu," katanya dengan nada sedih.

Mangsa, Zaidi yang juga seorang kontraktor dikatakan kali terakhir berhubung dengan anaknya pada hari Selasa sekitar jam 11 petang.

Beliau yang baharu tiba dari Saratok kerana urusan perniagaan pengusaha kantin di SMK Agama Saratok telah tamat tempoh dan sepatutnya kembali ke Pusa untuk mengusahakan semula gerai makanannya di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Saifuddin Mustapha yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat-mayat tersebut.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan daripada adik mangsa (Omar) sekitar jam 5 petang kelmarin ketika saksi pergi ke rumah mangsa di Lot 936, Jalan Kolam Lubuk Chepung, Pusa.

Sarifuddin berkata, saksi terhidu bau busuk dan terlihat kesan darah di bawah rumah mangsa.

Polis bergegas ke tempat kejadian pada jam 6.40 petang dan mendapati rumah beliau dalam keadaan berkunci dari dalam.

"Anggota kami terpaksa memecahkan pintu dapur untuk masuk ke dalam rumah yang dalam keadaan gelap. Mereka turut memasang generator yang digunakan oleh mangsa untuk memastikan keadaan dan melakukan pemeriksaan lanjut.

"Pada masa yang sama, mereka melihat mangsa dalam keadaan kaku yang lengkap berpakaian berbaju Melayu, kain pelikat dan berkopiah terlentang atas sejadah.

"Sementara mayat kedua, Atikah yang dalam keadaan terlentang kepala atas bantal berpakaian berbaju-T panjang dan terdapat telekung putih atas kerusi sebelah mayat tersebut dan mayat ketiga juga dalam keadaan terlentang tidak jauh daripada mayat kakaknya. Manakala, mayat isterinya ditemui dalam bilik yang juga dalam keadaan terlentang di atas tilam.

"Mangsa mungkin telah mati dalam tempoh 48 jam lalu," katanya.

Apapun, beliau tidak menganggap kes itu pembunuhan atau rompakan kerana semua barang berharga tidak terusik dari rumah atau badan mangsa. Beliau juga mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga siasatan selesai.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu pelbagai andaian daripada pihak luar berhubung kes tersebut sehingga siasatan lengkap daripada doktor pakar.

Pada masa yang sama, semua bahan bukti telah diambil dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Betong.

Terdahulu, mayat keempat-empat mangsa telah dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Sumber: Borneo Post Online.

PS: Setelah post-mortem, keamtian mereka disebabkan oleh kesesakan nafas kerana karbon monoksida.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List