Tuesday 12 December 2017

Bas Hidrogen Pertama Di Sarawak Pada Julai Depan — Abang Johari


MELAKA: Kuching akan muncul sebagai bandar raya pertama di negara ini yang menggunakan bas berkuasa hidrogen apabila pesanan tiga bas tersebut tiba dari China menjelang Julai tahun hadapan.

Bas ini adalah sebahagian daripada program penyelidikan hidrogen dengan program pembangunannya dijalankan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk program penyelidikan ini yang dijalankan oleh SEB di bawah Unit Penyelidikan Hidrogen yang diumumkan baru-baru ini.

“Peruntukan penyelidikan itu juga termasuk pembinaan loji dengan kepakaran asing untuk menghasilkan gas hidrogen yang akan menggerakkan bas,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Program Retreat Ketua Jabatan Negeri dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Beliau berkata, bas-bas mesra alam ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk memastikan sistem pengangkutan awam Sarawak dijalankan dengan tenaga bersih mengikut trend seluruh dunia yang mesra alam.

Ketua Menteri sebelum ini mendedahkan cadangan penggunaan LRT yang menghubungkan Kuching dengan Serian, Samarahan dan Damai, yang turut menggunakan kuasa tujahan hidrogen.

Bas-bas hidrogen ini akan ditempatkan kepada agensi-agensi termasuk satu untuk sektor pelancongan sebagai strategi untuk menarik pelancong dengan imej Kuching yang mesra alam dan memiliki tenaga bersih.

Dengan gambaran sedemikian, beliau percaya bahawa ibu kota ini akan mempunyai faktor tarikan pelancongan yang kuat, seterusnya menjadikannya pintu masuk pelancongan seperti negeri Melaka.

“Walaupun sebuah negeri yang kecil, Melaka merupakan pintu masuk untuk pelawat dari pelbagai negara di Asia sebelum bertebaran ke negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, kawasan Kuching dan kawasan Serian juga perlu dibangunkan sebagai hab pelancongan atau kawasan utama untuk menarik pelancong sebelum mereka melawat Bahagian lain di Sarawak.

Abang Johari menegaskan, sejajar dengan trend industri semasa yang berubah kepada mesra alam, Sarawak juga perlu menilai semula pelaburan asing yang cenderung membawa bahan industri yang boleh mencemar.

“Walaupun rekod pelaburan langsung negeri mungkin kelihatan baik dengan kemasukan pelaburan industri berat, namun Sarawak perlu membayar harga yang tinggi sekiranya industri tersebut mencemarkan alam sekitar.


Turut hadir ialah Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Utama Idris Haron, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negari, Tan Sri Mohd Morshidi Ghani. - Ambrose Chen-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List