Saturday 21 January 2017

DPTS Jabu Undur Diri Selepas 44 Tahun Setia Berbakti Kepada PBB


KUCHING: Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang membuat keputusan dramatik hari ini, dengan mengumumkan pengunduran sebagai Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

“Keputusan itu dibuat pada pagi ini dan terus dimaklumkan kepada Datuk Amar Abang Johari (Tun Abang Haji Openg) sejurus ketibaannya,” katanya sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako dekat sini.

Ia merupakan keputusan yang penting bagi Jabu selepas mengumumkan pengunduran sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Layar pada 21 Mac lalu, yang sekali gus menamatkan penglibatannya sebagai ahli politik yang aktif dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Alfred Jabu mula menyertai politik pada usia 32 tahun, dengan menang tanpa bertanding Pilihan Raya Kecil Dun Skrang-Engkilili pada 1973.

Beliau sebelum itu merupakan pegawai kanan di Jabatan Pertanian Sarawak, dan telah berkahwin dengan Puan Sri Empiang Jabu.

Kerjaya politiknya terus bersinar apabila pada tahun berikutnya, memenangi kerusi Dun Layar dengan menewaskan bekas Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Pada 1976, kerjayanya terus melonjak apabila dipilih oleh Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Yaakub sebagai salah seorang Timbalan Ketua Menteri; jawatan yang terus disandangnya sehingga tahun ini.

Kerjaya politik Jabu cukup luar biasa sebenarnya, kerana telah berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Ketua Menteri dan empat Presiden PBB.

“Bermula dengan Tun Abdul Rahman Yaakub, kepada Tun Abdul Taib Mahmud, diikuti Tan Sri Adenan Satem dan akhir sekali bersama-sama Abang Johari sebagai Presiden PBB untuk tempoh enam hari.”

Penglibatan dan dambaan Jabu kepada PBB cukup mendalam, kerana selain dirinya, isterinya, Puan Sri Empiang, anaknya Gerald Rentap dan Umang Nangku turut berkhidmat kepada rakyat atas kapasiti parti.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama ini.

“Jiwa saya terus untuk PBB. Dan saya akan memberi nasihat jika diperlukan,” katanya lagi.


Dalam rakaman penghargaannya dalam sidang media sebelum itu, Abang Johari bukan sahaja menghargai pengorbanan Jabu, tetapi menganggapnya sebagai “Apai PBB”, yang akan dirujuk nasihatnya apabila keadaan memerlukan. – Sarawakvoice

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List