Saturday 20 February 2016

Niat DAP Sarawak Bergabung Dengan BN, Ibarat Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong

 

KUCHING: Gabungan antara Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bagi membentuk kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang mustahil.
 
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pada dasarnya BN tidak akan menerima DAP menyertai kumpulan itu kerana parti dari Semenanjung Malaysia itu mempunyai objektif serta organisasi berbeza dengan BN.

Menurutnya BN dan DAP mempunyai sejarah dan objektif tersendiri, yang boleh menimbulkan masalah sekiranya kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk satu kerajaan.

“DAP berjuang bertahun-tahun, dilihat ‘cauvanis’, parti bersifat perkauman.

“Mungkin berusaha mendekati kaum lain sejak beberapa tahun lalu untuk dilihat parti pelbagai kaum namun hakikatnya ahli parti itu sebahagian besarnya adalah Cina.

“Walaupun tiada yang mustahil dalam politik, namun melihat senario politik sekarang prospek kerajaan gabungan antara BN dan DAP nampak ‘hampir sifar’ dan mustahil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan BN Sarawak di peringkat negeri.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, dalam akhbar kebangsaan berbahasa Cina berkata, selagi beliau pengerusi DAP Sarawak, DAP tidak akan menyertai BN.

Bagaimanapun beliau tidak menolak 100 peratus kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan BN, sambil menambah dalam banyak negara, pembangkang bekerjasama dengan parti memerintah di peringkat negeri tetapi bersaing di peringkat persekutuan.

Mengulas kenyataan Chong itu, Karim yang juga ADUN Asajaya berkata: “Setahu saya, Chong bukannya presiden (DAP), saya fikir beliau hanya bermimpi.

“DAP adalah parti Semenanjung Malaysia dan sesiapa sahaja yang berasal dari Sarawak hanya bermimpi untuk dipilih menjadi presiden parti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Dr Stephen Rundi Utom dipetik dalam portal berita menyifatkan kenyataan Chong itu hanya gimik politik.

Rundi berkata sebagai parti komponen BN Sarawak terbesar dan mempunyai objektif yang jauh bertentangan dengan DAP, Chong orang terakhir dipilih PBB untuk bekerjasama.

“Tidak perlu untuk PBB membentuk kerajaan perpaduan dengan DAP bagi merampas kerusi Cina memandangkan sokongan komuniti itu kepada BN kini semakin meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri 2011, disebabkan populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” ujar setiausaha agung PBB itu. -UB
-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List