Sunday 27 September 2015

Penyandang Kerusi DUN Dijangka Dikekalkan: Adenan


KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada dijangka dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
 
Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, keputusan mengekalkan sejumlah besar penyandang kerusi DUN sedia ada adalah berikutan prestasi baik yang ditunjukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sepanjang berkhidmat kepada rakyat.
 
Pada masa sama jelasnya, beliau berpuas hati dengan pencapaian wakil rakyat terbabit selepas mengambil kira maklum balas positif daripada peringkat akar umbi.
 
“Apa yang pasti, boleh dikatakan prestasi yang ditunjukkan sebilangan besar wakil rakyat BN adalah baik, sebahagian besar daripadanya,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pertemuan Tertutup Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen BN Sarawak Bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
 
Adenan berkata, tujuan pertemuan tersebut diadakan adalah bagi membincangkan hala tuju situasi politik semasa di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol melahirkan keyakinan bahawa Ahmad Zahid akan kembali ke Sarawak dalam tempoh terdekat bagi menghadiri dialog bersama ahli BNBBC Sarawak.
 
“Pertemuan yang berlangsung hari ini (semalam) sangat singkat yang membabitkan perbincangan isu politik nasional dan langkah BN Negeri untuk menanganinya.
 
“Bagaimanapun saya yakin, beliau (Ahmad Zahid) akan kembali semula ke sini (Sarawak) bagi mengadakan sesi dialog bertujuan mengukuhkan lagi kekuatan BN di Sarawak,” katanya.
 
Selepas pertemuan bersama ADUN dan Ahli Parlimen BN yang dianggarkan berjalan kira-kira sejam itu, Ahmad Zahid turut berkesempatan meluangkan masa menyaksikan Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2015 yang berlangsung di Tebingan Kuching sebelum berangkat ke Kampung Kerangas Baru, Melikin, Jalan Kuching-Sri Aman-Serian bagi menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Methew Manai Tan.
 
Kemudian, beliau turut menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Terbat Leban, Bunan Gega, Kilometer 25 Jalan Mongkos, Serian. - UB -UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List