Sunday 10 August 2014

LALUAN SUKAR BUAT KHALID JIKA KEKAL SEBAGAI MB BEBAS


KUALA LUMPUR: Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka terus berdepan laluan mencabar jika tetap dengan pendiriannya untuk tidak melepaskan jawatan nombor satu di negeri itu.

Abdul Khalid, tokoh politik yang 'muncul' dalam arena politik menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok pada 2007, antara lain perlu menghadapi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor khususnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah "menyahkan" beliau daripada kepimpinan politik Selangor.

PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu semalam.

Selepas pertama kali dilantik sebagai MB Selangor pada 13 Mac 2008, Abdul Khalid sekali lagi mengangkat sumpah meneruskan jawatan itu pada Mei 2013, setelah Pakatan Rakyat (PR) gabungan PAS-PKR-DAP kekal menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Abdul Khalid akan berhadapan masalah untuk mendapat sokongan majoriti dewan, jika terus menjadi MB atas kapasiti Adun Bebas.

"Walaupun secara teorinya beliau masih boleh menjadi MB, namun dari sudut praktikal, beliau akan menghadapi banyak masalah untuk melicinkan pentadbiran negeri kerana masalah daripada mereka yang tidak bersetuju dengannya.

"Sebarang perbincangan berkaitan peruntukan kewangan atau undian penting seperti kelulusan dasar negeri sukar untuk memperoleh undi dua per tiga dewan, menyebabkan konflik ini perlu diselesaikan dengan memikirkan kesan jangka panjang," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Kedudukan terkini kerusi Dun Selangor selepas Abdul Khalid dipecat daripada PKR semalam ialah PAS (15), DAP (15), PKR (13), Barisan Nasional (BN)(12) dan Bebas (1).

Hanya PAS sahaja menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai MB, manakala Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menyatakan parti itu menyokong usaha menggantikan Abdul Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Meskipun berhadapan dengan laluan sukar di DUN, Ahmad Marthada melihat Abdul Khalid mempunyai sokongan kuat masyarakat kerana sebilangan besar mereka masih mahukan khidmatnya yang berani membelakangkan kepimpinan parti demi kepentingan rakyat, khususnya dalam isu air.

Sehingga kini, tiada rungutan jelas yang mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ataupun cadangan supaya seorang MB baharu dilantik diterima daripada rakyat Selangor, yang menunjukkan mereka masih berpuas hati dengan khidmat beliau.

"Malah pemimpin PAS sendiri menyatakan bahawa tidak ada satu isu besar berlaku dalam pentadbiran Abdul Khalid, sebaliknya isu yang berlaku di PKR hanya isu di peringkat kepimpinan.

"Isu seperti dakwaan perjanjian antara Abdul Khalid dengan Bank Islam atau isu beliau membelakangkan pucuk pimpinan dalam menandatangani perjanjian penyelesaian krisis air dengan Kerajaan Persekutuan adalah isu yang jauh daripada masyarakat," katanya.

Justeru itu, Ahmad Marthada berkata PR berhadapan dengan risiko hilang beberapa kerusi jika pilihan raya negeri diadakan kerana rakyat semakin muak dengan kemelut berpanjangan anggota politik, khususnya daripada PR, kebelakangan ini.

Sementara itu, penganalisis politik Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata ketiadaan sokongan majoriti terhadap Abdul Khalid sebagai MB akan mengakibatkan berlakunya 'legitimasi kepimpinan yang sentiasa berhadapan dengan krisis keyakinan'.

"Jika semua Adun DAP dan PKR bersama, maka beliau akan kehilangan kepercayaan kerana hanya bergantung kepada PAS dan BN tidak memandai, melainkan jika ada dalam kalangan PR yang masih menyokong beliau," katanya.

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata Abdul Khalid juga perlu memikirkan bahawa 'akan timbul pelbagai dakwaan terhadapnya daripada pucuk pimpinan PKR di masa hadapan' sekiranya parti itu teguh dengan pendirian mahukan Dr Wan Azizah sebagai MB.

Beliau juga berpendapat sekalipun Abdul Khalid meletakkan jawatan, krisis itu tidak akan selesai sepenuhnya kerana pertembungan di antara penyokong beliau dengan penyokong Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus berterusan, memandangkan kedua-dua mereka mempunyai sokongan yang cukup kuat.

"Malah, saya tidak akan terkejut jika wujud kolaborasi baharu dalam PR akibat persengketaan di Selangor, kerana keputusan PAS terus menyokong Abdul Khalid boleh mengeruhkan hubungan dengan sekutu mereka," katanya.

Ditanya jika laluan seterusnya adalah untuk Abdul Khalid menyertai PAS, beliau berkata ia adalah satu pilihan, namun menimbulkan dilema kepada PKR sama ada mahu menerimanya atau tidak sebagai MB daripada rakan sekutu.

"Jika Abdul Khalid menyertai PAS, ia memberikan sedikit ruang untuk beliau bernafas, namun apakah PAS sedia mengorbankan hubungannya dalam PR semata-mata untuk menyelamatkan Abdul Khalid?," soalnya. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List