KUCHING: Peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membolehkan dalang nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, 17 Julai lepas, dibicarakan di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata biarpun Akta SOSMA mempunyai peruntukan tersebut namun beberapa perkara masih perlu diselesaikan sebelum undang-undang tersebut dapat dilaksanakan.
"Mengikut peruntukan SOSMA, sebarang kesalahan jenayah terhadap Malaysia termasuk kesalahan di luar negara, kita (Malaysia) mempunyai hak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang negara ini," katanya pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Bangunan Dewan Undangan negeri (DUN) lama di Petra Jaya di sini hari Selasa.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu oleh puak pemberontak ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Wan Junaidi berkata tiga aspek perlu diberi perhatian sebelum Akta SOSMA dapat dilaksanakan iaitu mengenal pasti pelaku, mempunyai bukti dan memperoleh kebenaran pihak berkuasa negara asal pesalah sebelum dibawa dan dibicarakan di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bahawa Malaysia akan menyiasat nahas MH17 mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta SOSMA semasa proses perundangan siasatan insiden dilakukan.
Menjawab soalan sama ada akan timbul kebarangkalian perbicaraan mengikut Akta SOSMA tidak dapat dilakukan biarpun pesalah telah dibawa balik ke negara ini, Wan Junaidi berkeyakinan perkara tersebut tidak akan berlaku.
"Sebelum adanya SOSMA perkara tersebut mungkin boleh berlaku atau apa disebut prosiding di luar bidang kuasa kerana kesalahan terhadap Malaysia berlaku di luar negara, namun peruntukan SOSMA ketika ini berlainan jika semua syarat dipenuhi hukuman mengikut undang-undang negara boleh dilaksanakan," katanya. -BERNAMA
-UnReportedNews™®
No comments:
Post a Comment
You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)
-UnReportedNews™®