Thursday 12 June 2014

TUJUH WARIS PENUMPANG MH370 TERIMA BAYARAN PENDAHULUAN PAMPASAN US$50,000


PUTRAJAYA: Tujuh waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 telah menerima bayaran pendahuluan pampasan sebanyak US$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin pada Khamis berkata waris itu enam dari Malaysia dan seorang dari China.

"Sebelum membuat pembayaran, kami perlu mengesahkan kesahihan waris mengikut undang-undang. Kami harus memastikan mereka adalah waris yang sah. Ia mengambil masa.

"Mengenai pembayaran akhir, kami harus menunggu sehingga isu MH370 selesai. Sama ada pesawat dijumpai atau kami mengumumkan bahawa pesawat hilang, kami akan membuat pengumuman," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Waris penumpang MH370 di sini.

Beliau berkata 40 lagi tuntutan waris penumpang dari China masih dalam proses sementara menunggi pengesahan daripada kerajaan China sementara waris dari negara lain telah melantik peguam sebelum jawatankuasa menanganinya.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dan 153 warga China hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Mengenai Voice 370, kumpulan yang mendakwa mewakili keluarga mereka yang menaiki penerbangan MH370, yang mendesak untuk menemui Najib, Hamzah meminta kumpulan itu mengamalkan sikap 'telus', mendedahkan dan menyatakan identiti diri mereka.

"Saya ada terima e-mel mereka tanpa sebarang tandatangan  Saya minta penghantar e-mel menjelaskan siapakah beliau. Berapa ramaikah waris yang diwakili mereka," katanya.

Sebagai pengerusi jawatankuasa waris, Hamzah berkata beliau bersedia mewakili perdana menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk menemui Voice 370.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah menemui anggota keluarga secara individu sama ada melalui Malaysia Airlines atau jawatankuasa teknikal.

Bagi ahli keluarga penumpang warga China di Beijing, beliau berkata Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik untuk menemui mereka sementara duta-duta dari Malaysia juga menemui keluarga penumpang dari negara lain.

"Kami telah melibatkan diri secara aktif dengan ahli keluarga dari China. Hampir setiap hari, kami menerima hampir 20 panggilan dan kadang-kadang ahli keluarga datang secara sendirian untuk menemui kami dengan purata 30 ahli keluarga setiap hari.

"Setakat ini, kami telah melibatkan diri dengan hampir semua ahli keluarga dari China...Saya tidak faham mengapa Voice 370 mahu menemui perdana menteri," kata beliau.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan 43 sesi pertemuan dengan waris penumpang di Malaysia. -Bernama

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List