Monday 2 June 2014

PERMINTAAN TAMBAHAN ROYALTI MINYAK SARAWAK AKAN DIPERTIMBANGKAN

Datuk Seri Najib Tun Razak ikut menari adat kaum Iban ketika melawat rumah panjang Sg Ukong, Lembir di Miri
MIRI: Kerajaan Persekutuan akan memberi pertimbangan terbaik terhadap permohonan untuk mendapatkan royalti lebih tinggi bagi hasil minyak dan gas daripada negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan pusat tidak mempunyai sebarang masalah untuk merundingkan apa-apa perkara dengan kerajaan negeri berhubung kepentingan negeri Sarawak.

"Kerajaan Pusat akan memberi pertimbangan yang sehabis baik tentang perkara (permintaan royalti lebih tinggi) ini," katanya semasa berucap dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2014 di Dataran Kipas di Miri, Isnin.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hadir sama dalam majlis itu.

Najib berkata demikian bagi mengulas ucapan Adenan sebelum itu yang meminta beliau memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas permintaan tersebut.

Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bersidang Mei lepas meluluskan usul khas meminta kerajaan pusat mengkaji semula pemberian royalti hasil minyak dan gas negeri supaya ditingkatkan daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

Najib berkata pertimbangan kerajaan pusat tidak hanya berkenaan dengan permintaan pertambahan royalti sahaja tetapi juga mengambil kira peruntukan dana lebih tinggi bagi negeri Sarawak.

Katanya Sarawak telah mencapai tiga bentuk kejayaan semenjak merdeka menerusi penubuhan Malaysia lebih 50 tahun lepas.

Menurut Najib, kejayaan itu adalah dalam membangunkan masyarakat berbilang kaum yang mencerminkan ciri-ciri keharmonian dan kesepaduan sosial, kestabilan politik dan pembangunan mampan yang berterusan.

"Saya memang ada 'soft spot' tentang Sarawak dan saya mahu Sarawak terus maju, membangun dan berjaya," katanya. -Bernama

-UnReportedNews™®

1 comment:

  1. Bagi saja tak payah fikir banyak. Jasa BN Sabah dan Serawak tak terbalas. Ingat PRU 14. Jangan bagi ruang pada pembangkang.

    ReplyDelete

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List