Monday 2 June 2014

PENDUDUK LUARBANDAR SARAWAK BAKAL NIKMATI TAMBAHAN PERUNTUKAN MELALUI GST


BARAM: Peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar akan dapat ditambah lagi untuk manfaat penduduk apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Isnin.

Katanya melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan yang seterusnya akan disalurkan untuk tujuan pembangunan negara khususnya di kawasan luar bandar.

"Bila hasil kita bertambah, sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk membuat jalan raya luar bandar, sekolah, hospital dan klinik kesihatan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak di Long Silat, sebuah perkampungan masyarakat Kenyah di sini.

Perdana menteri menegaskan bahawa masyarakat luar bandar tidak perlu bimbang dengan dakyah pembangkang yang cuba menghasut mereka untuk menentang pelaksanaan GST.

"Saya memberi jaminan di sini bahawa barang keperluan harian rakyat adalah dikecualikan daripada GST," katanya.

Najib berkata penduduk di kawasan luar bandar seperti di daerah Baram selama ini menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan mereka menyokong kerajaan Barisan Nasional dan mereka wajar terus dibela.

Ekoran sokongan padu ini, kerajaan telah dapat menjalankan program-program pembangunannya di daerah ini dan memanfaatkan penduduk secara berperingkat.

"Saya yakin dengan adanya tanda-tanda pemulihan (pembangunan) yang berlaku sekarang di sini, kita akan dapat menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi masalah kepada rakyat," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk membaiki jalan-jalan balak yang sudah usang di Baram untuk dijadikan jalan perhubungan rakyat kawasan ini, dan RM64 juta daripadanya sudahpun dibelanjakan.

"Sejumlah RM263 juta akan dibelanjakan sehingga 2016 dan kalau hasil (kerajaan) bertambah, saya boleh menambah lagi peruntukan ini dalam masa yang terdekat," katanya. -Bernama

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List