Monday, 16 June 2014

KES CULIK KE-3 DI SABAH: MANGSA MOHON PENCULIK JANGAN GANGGU ISTERINYA!


KUNAK: "Jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu," kata Chan Sai Chiun, 32, sebelum dia dipercayai dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang Air yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini tengah malam semalam.

Chin Paek Nyuen, 40, berkata beliau terdengar suaminya berkata demikian ketika penjenayah terbabit cuba memecah pintu bilik di mana dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tidur.

"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anjing menyalak. Apabila saya keluar untuk melihat apa terjadi, saya ternampak dua lelaki bersenjata serta memakai topeng telah menahan suami.

"Terkejut dengan kejadian itu, saya terus masuk ke bilik dan beberapa minit kemudian, penculik itu datang dan cuba memecahkan pintu bilik. Pada masa yang sama, suami saya berkata 'jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu'... dan ini membuatkan penculik itu beredar dari tempat ini," katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan dalam sangkar itu, Isnin.

Dia berkata selain menculik suaminya dan seorang pekerja di situ, penjenayah terbabit turut melarikan beberapa barangan termasuk sebuah televisyen dan enjin bot.

Chin juga berkata suaminya mengusahakan pusat ternakan itu bersama dua lagi rakan kongsi.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik oleh dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak.

Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Omar Mamah menafikan tanggapan bahawa pengusaha ternakan ikan dalam sangkar menjadi sasaran 'penculikan' untuk tebusan.

Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

"Setakat ini, belum ada sebarang tuntutan diterima dan polis akan menyiasat jika ada faktor orang dalam... jangan membuat sebarang spekulasi buat masa ini," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Omar berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan kongsi mangsa.

Beliau berkata semasa kejadian, terdapat lagi dua pekerja dan seorang anak saudara Chan berusia dua tahun yang tinggal bersama mangsa serta isteri.

Katanya, polis percaya penculik meloloskan diri ke Pulau Sitangkai (Filipina) yang mengambil masa 40 minit dan ada suspek lain terlibat.

Beliau berkata semasa kejadian, tiada tembakan dilepaskan di pusat ternakan itu yang tidak mempunyai pegawal keselamatan. - BERNAMA

-UnReportedNews™®

1 comment:

  1. Sorry, sepatutnya pemimpin2 parti pembangkang yang dok menyalak nak bawa Sabah keluar dari Malaysia lah yang kena cari & bebaskan mangsa penculikan dari penculik, x kan nak kuasa saja berkorban x mahu, rakyat Sarawak serta Sabah perlu berfikir panjang secara rasional, dikawal ketat sekalipun olih pihak berkuasa Malaysia, yg kebanyakan anggota2 nya orang Semenanjung pun penculikan terus berlaku, ne kan pula nak harap kat orang Sabah saja, pasti akan lebih hura-hara jadinya, jika Sabah diluar Malaysia, nak harap kat pemimpin otak senget tu, cakap bolih la.

    ReplyDelete

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List