Tuesday 24 June 2014

JENTERA BN SARAWAK SUDAH SIAP SEDIA UNTUK PILIHAN RAYA NEGERI!


KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi apa jua perubahan politik dan juga pilihan raya negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri dibincangkan pada sesi taklimat beliau dengan jentera BN Sarawak pada Selasa, antaranya soal berkaitan projek-projek pembangunan yang dijanjikan buat negeri, pendaftaran pemilih, dan juga tanah adat pribumi (NCR).

Beliau berkata sejak berlalunya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas pada 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah mengumumkan peruntukan yang menjangkau lebih RM3 bilion bagi pelbagai projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sarawak.

"...arahan hari ini adalah supaya segala projek yang diumumkan akan kita laksanakan selaras dengan (konsep) janji ditepati. Kalau ada isu-isu berkaitan tapak, kontraktor dan hal-hal tertentu peringkat negeri, ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu beberapa jadual lawatan beliau dan juga Perdana Menteri sudahpun disusun oleh kepimpinan BN Sarawak, bagi membolehkan mereka memantau sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk kawasan tertentu.

Mengulas prestasi BN dalam menunaikan janji- janjinya di Sarawak, Muhyiddin berkata melihat kepada keadaan sekarang, prestasinya cukup baik, namun apa yang penting adalah segala yang diumumkan itu mesti disempurnakan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang.

Menurutnya banyak projek diumumkan secara berperingkat, pada skala yang pelbagai, dan ia perlu diteliti satu persatu.

Muhyiddin berkata selain itu pada 30 Julai ini, Petronas akan memberikan taklimat terperinci kepada kerajaan negeri berhubung pelbagai projek yang dilaksanakan syarikat berkenaan, termasuk tentang hasil minyak negara, perbelanjaannya dan isu berkaitan.

Merujuk kepada isu parti baharu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan beberapa wakil rakyat Sarawak daripada BN, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri sendiri sudah mengambil maklum mengenainya.

"Setakat ini kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri (Sarawak) selaku Pengerusi BN Sarawak (untuk menanganinya), dengan mengambil kira situasi yang sensitif mengenainya.

"Tapi yang penting adalah memastikan bahawa apapun yang timbul nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN," katanya dan menambah Adenan memerlukan sedikit masa lagi untuk menangani isu berkenaan. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List