Tuesday 8 April 2014

"SERANGAN" FACEBOOK TERHADAP TIMBALAN MENTERI

-MENUNDING JARI KEPADA KESILAPAN ORANG LAIN MEMANG MUDAH TAPI JIKA BENAR-BENAR HENDAK MEMBANGKITKAN SESUATU ISU ITU HARUSLAH BERFAKTA BUKANNYA MAIN HENTAM KROMO SAJA! MUKA KO DIAT JANG! KEKEKE!!!-


Terdapat pihak yang sengaja memutarbelitkan kenyataan menteri atau timbalan menteri untuk membangkit sesuatu isu agar menyemarakkan amarah rakyat terhadap kerajaan.

Dalam hal ini, ada pihak yang cuba pemimpin memburukkan imej dan kredibiliti Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sehingga menggesa beliau meletak jawatan.

Sehubungan ini, admin UnReportedNews™® berasa tergerak untuk menjawab satu persatu "isu-isu" yang telah dibangkitkan oleh pihak-pihak yang menganggap diri mereka "lebih hebat" dari Timbalan Menteri KDN.

Terdapat empat isu (jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri) yang dibangkitkan yang kononnya telah "memalukan rakyat Sarawak" iaitu; "Orang bukan Melayu boleh terima isu rogol bawah umur", "Rakyat di Sarawak tiada hak langsung untuk menyoalkan Perjanjian Malaysia 1963", "Penjara di Malaysia adalah penjara yang terbaik di dunia" dan "Esscom tak boleh jamin keselamatan pelancong, lebih baik tutup resort di pulau terpencil di Sabah".

Bagi menjawab isu jawapan "Orang bukan Melayu boleh terima isu rogol bawah umur", di bawah tertera kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut oleh SUK Timbalan Menteri KDN Dato' Haji Wan Hamzah Wan Paie. Admin UnReportedNews™® akan menjawab isu-isu yang lain pada posting-posting yang akan datang, InsyaAlah.

Saya selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri membuat sidang akhbar ini bagi memberi penjelasan yang betul mengenai isu terhadap jawapan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri mengenai statistik kes rogol gadis bawah umur.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa sewaktu menjawab soalan, YB Tuan Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh, YB Setiu di Parlimen pada 18 Mac yang lepas, YB Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak pernah menyebut dalam jawapan beliau bahawa golongan bukan melayu tidak sensitif ataupun menerima aktiviti-aktiviti seks gadis bawah umur dalam masyarakat mereka. YB Datuk Wan Junaidi tidak pernah menyebut ayat-ayat tersebut dalam jawapan beliau. Semua ayat tersebut ada dalam ulasan kata-kata YB Chong Chieng Jen (YB DAP Bandar Kuching) sewaktu  mengulas jawapan YB Datuk Wan Junaidi. YB Chong menyatakan apa yang beliau faham dari jawapan yang diberikan oleh YB Datuk Wan Junaidi tetapi kata-kata tersebut bukanlah kata-kata dari YB Datuk Wan Junaidi sendiri. Malangnya beberapa pihak portal news dalam alam maya dan sebahagian pengguna facebook telah merujuk kata-kata YB Chong ini sebagai perkataan asal Datuk Wan Junaidi. Untuk mendapatkan kebenaran perkara ini saya ingin merujuk semula jawapan YB Datuk Dr. Wan Junaidi seperti yang terdapat dalam Hansard parlimen Malaysia bertarikh 18 & 19 Mac 2014 (dikepilkan hansard tersebut).

Apabila kita merujuk kepada keseluruhan konteks perenggan itu, maka kita dapati perenggan tersebut adalah menyentuh mengenai statistik tindakan membuat laporan kepada pihak polis. Maka apabila Datuk Wan Junaidi menyebut “Pihak lain kurang sensitif kepadanya” dan “perkara yang berlaku itu boleh di terima oleh pihak lain” maka yang dimaksudkan oleh Datuk wan Junaidi melalui ganti nama “nya” dan “perkara yang berlaku itu” adalah tidak sensitif untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan bukanlah tidak sensitif terhadap gejala rogol gadis bawah umur sepertimana yang difahami oleh YB Chong. Sesungguhnya pemahaman dan tafsiran serta kata-kata YB Chong terhadap jawapan Datuk Wan Junaidi adalah jauh tersasar dan terpesong dari maksud sebenar Datuk Wan Junaidi.

2.  Dalam berhadapan dengan kebenaran jawapan Datuk Wan Junaidi ini, saya memuji pendekatan YB Gobind Singh  Deo yang lebih rasional dan waras di mana beliau mempersoalkan apakah bukti yang menunjukkan golongan bukan melayu kurang sensitif dalam melaporkan kes rogol bawah umur ini kepada pihak polis. Untuk menjawab soalan ini saya menyeru semua pihak merujuk kepada perangkaan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara mengenai jumlah anak luar nikah yang dilahirkan oleh gadis bawah umur dan kita bandingkan jumlah laporan polis bagi kes rogol bawah umur mengikut statistik kaum seperti berikut:

Kelahiran anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah) Tahun 2012 – 2013

AGENDA 1. Jumlah anak luar nikah oleh gadis bawah umur (perangkaan dari Jabatan Pendaftaran Negara).
MELAYU -1490 BUKAN MELAYU-1836

AGENDA 2.Jumlah kes rogol bawah umur yang dilapor kepada polis.
MELAYU-2390 BUKAN MELAYU-584 

AGENDA 3.Jumlah kes rogol dalam ruangan 1 yang tidak di lapor kepada pihak polis.
MELAYU-Tiada BUKAN MELAYU-1252

Inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Wan Junaidi bahawa kaum Melayu sensitif dalam membuat laporan manakala kaum bukan melayu kurang sensitif untuk melaporkan kes rogol bawah umur ini kepada pihak polis. Maka tafsiran terhadap perkataan beliau yang dibuat oleh YB Chong adalah salah dan terpesong dari maksud sebenar Datuk Wan Junaidi.

3. Ada sesetengah pihak menyatakan bahawa jawapan Datuk Wan Junaidi mengenai kes rogol bawah umur ini yang berdasarkan kepada statistik kaum adalah sebagai tindakan rasis dan maka dengan ini saya menyangkal dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Statistik berdasarkan kaum telah menjadi amalan dalam Negara kita dalam usaha memacu Negara kita ke arah Negara kita Negara maju. Statistik berdasarkan kaum telah digunakan dalam sistem negara kita sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan mahupun sosial.

Statistik ekonomi berdasarkan kaum di gunakan  di Negara kita maka atas dasar itu kita mempunyai Tabung Ekonomi Bumiputera, Tabung Ekonomi India, Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan Melayu dan banyak lagi inisiatif yang berbeza untuk kaum yang berbeza. Tiada yang berkata ini rasis.

Statistik pendidikan berdasarkan kaum digunakan di Negara kita, maka atas dasar ini sistem pendidikan Negara mempunyai SK (J) Cina, SK (J) Tamil, Sekolah Kebangsaan, Tabung Pendidakan Masyarakat India, Persatuan-Persatuan Pendidikan Cina contohnya Dong Zong dan tiada yang berkata rasis.

Statistik sosial berdasarkan kaum juga digunakan dalam Negara kita makanya kita mempunyai Persatuan Belia Cina, Belia India, Dan Belia Melayu bahkan parti politik kita juga berdasarkan kepada statistik kaum menyebabkan kita menerima dan mengamalkan parti berasaskan kaum. Tiada yang berkata ini rasis.

Maka atas dasar apa apabila Datuk Wan Junaidi membentangkan statistik rogol bawah umur berdasarkan kaum maka beliau di tuduh rasis. Makanya saya memuji kenyataan akhbar dari:
Presiden Persatuan Peguam Wanita iaitu Meersamatan dalam The Star semalam,
Pengarah Program Sister In Islam , Suri Kempe
Presiden Organisasi Bantuan Wanita, Mok Chuang

Di mana ketiga-tiga mereka di atas menyeru agar statistik yang dikeluarkan oleh Datuk Wan Junaidi itu tidak di lihat dari aspek perkauman tetapi di gunakan untuk lebih memahami masalah dan mencari penyelesaian untuk masyarakat kita yang mempunyai pelbagai kaum di peringkat akar umbi.

4. Datuk Wan Junaidi juga telah menjawab dalam parlimen mengenai statistik rogol ini secara berani dan jujur tanpa menyembunyikan apa-apa fakta walaupun beliau tahu jawapan tersebut mungkin tidak popular dan membuka pekung sesetengah pihak namun yang jelas beliau menjawab atas dasar kebenaran. Adakah wajar seseorang yang telah membantu kita untuk memahami kebenaran mengenai masyarakat kita sendiri dikondem dan dilabel rasis semata-mata demi kepuasan nafsu politik individu tertentu. Seharusnya kita berterima kasih kepada Datuk Wan Junaidi kerana telah membuka mata kita dalam isu ini dengan harapan semua agensi, NGO, individu yang memperjuangkan pembinaan masyarakat Malaysia akan dapat menggunakan fakta ini dalam mencari penyelesaian yang betul dan bersesuaian dengan akar umbi masyarakat kita.

5. Kita juga belajar dari perkara ini betapa mudahnya masyarakat kita di hasut dan di provok atas nama perkauman. Dengan hanya di hidangkan dengan beberapa perkataan hasutan maka kita hilang pertimbangan dan kewarasan dalam menilai dan mencari kebenaran. Semoga Allah S.W.T melindungi Negara kita dari anasir merbahaya ini.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List