Tuesday, 25 June 2013

TAHNIAH SARAWAK! JUARA LIGA PERDANA 2013!

-HARAPAN RAKYAT SARAWAK, KHUSUSNYA PEMINAT-PEMINAT BOLASEPAK AGAR PASUKAN SARAWAK YANG SETAKAT INI BELUM MENGELAMI SATU PUN KEKALAHAN DARIPADA 21 PERLAWANAN MEREKA AKAN MENGEKALKAN PRESTASI YANG SAMA ATAUPUN PADA TAHAP YANG LEBIH BAIK LAGI APABILA BERAKSI DI LIGA SUPER MUSIM DEPAN!-


Pasukan Sarawak mencipta sejarah apabila muncul juara Liga Perdana musim ini selepas membelasah Kuala Lumpur, 4-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Isnin.

Kejayaan tersebut membolehkan skuad bimbingan Robert Alberts mengumpul 55 mata untuk dinobat juara ketika hanya tinggal satu perlawanan, sekali gus melangkah ke Liga Super musim depan.

Kemenangan ke-17 daripada 21 perlawanan yang dicatatkan oleh skuad 'Ngap Sayot' bimbingan Robert Albert itu membolehkan mereka mengumpul 55 mata, berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Sime Darby FC dengan saingan liga berbaki satu perlawanan.

Kekalahan itu pula menyaksikan Kuala Lumpur diturunkan beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), musim depan bersama wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC selepas masing-masing menghuni tangga ke-11 dan 12.

Berdasarkan peraturan FAM, juara dan naib juara Liga Perdana 2013 layak secara automatik ke Liga Super 2014 manakala dua pasukan tercorot Liga Perdana akan turun ke Liga FAM.

Empat gol skuad 'Ngap Sayot' pada perlawanan di Kuching itu dijaringkan oleh Muamer Salibasic pada minit ke-20, Ronny Harun (minit ke-68), Joseph Kalang Tie (minit ke-85) dan Guy Bwele (minit ke-88).

Sarawak mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 21 perlawanan pada musim ini dan ini kejuaraan kedua buat mereka sejak tahun 1997.

Selaku juara, Sarawak meraih Piala Liga Perdana, cek berjumlah RM300,000 dan pingat kemenangan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List