Friday 28 June 2013

SASPEK PENGGANAS LAHAD DATU SUDAH DIBAWA KE MUKA PENGADILAN, DALANGNYA BILA LAGI?

-SERAMAI 22 PENGGANAS LAHAD DATU YANG DITANGKAP SEWAKTU "OPS DAULAT" DI SABAH TIDAK LAMA DULU BERHADAPAN HUKUMAN MATI JIKA SABIT KESALAHAN. RAKYAT MALAYSIA MASIH TERNANTI-NANTI SIAPAKAH DALANG SEBENAR INSIDEN TERSEBUT? MUNGKINKAH ... KEKEKE!!!-

Seramai 22 orang termasuk komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat ‘Jeneral’, Datu Amirbahar Hushin Kiram berhadapan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut laporan Utusan Malaysia, kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan semasa prosiding sebutan semula bagi merekodkan pengakuan mereka di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Sebelum ini, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Tawau serta Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tanpa merekodkan pengakuan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 19 April lalu di Kampung Tanduo, Ladang Atlas 2, Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; Kampung Muanad Beluran; Kampung Perigi, Simunul, Bakau, Jalan Lihak-Lihak, Semporna dan Kampung Madai, Kunak.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Datu Amirbahar, Basad H. Manuel, Salib Akhmad Emali, Mohamad Ali Ahmad, Pabblo Alie, Abd. Hadi Mawan, Atik Hussin Abu Bakar, Dani Ismail, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Basil Samiul, Rizman Gulan, Abdul Majil Jubin, Rijmal Salleh, Julham Rashid, Tani Lahad Dahi, Al Wazir Osman@Abdul, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Ismail Yasin dan Binhar Salib Akhmad.

Kesemua mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan antara tarikh dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan denda.

Salib Akhmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas baharu dan melindungi kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 9 Februari dan 25 Februari lalu di Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku, Lahad Datu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 130E dan Seksyen 130K kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan keempat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di hadapan Hakim, P. Ravinthran.

Jumlah kesemua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah hari ini ialah 29 orang termasuk seorang wanita dan seorang lelaki yang berkerusi roda, manakala seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili tidak hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Mereka dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak dengan kawalan ketat pihak polis, iaitu setiap seorang daripada mereka diiringi anggota Unit Tindakan Khas lengkap bersenjata.

Daripada 29 tertuduh itu, 12 daripadanya dipakaikan jaket strip sebagai langkah keselamatan, malah terdapat juga sebahagian daripada mereka dipakaikan penutup kepala semasa dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi dituduh melindungi kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukannya antara 9 Februari dan 22 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Sementara Kadir Uyung dan Lating Tiong dikatakan turut melakukan kesalahan sama pada 4 Mac lalu, pukul 4.30 petang di hadapan Pos Pasukan Gerakan Am Tanjung Labian.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130K kanun sama, tetapi bagi dua lelaki itu hukumannya dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Norhaida boleh dipenjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sementara Kadir dan Lating jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan denda.

Bagi tiga lagi tertuduh, Timhar Hadir, Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh, mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan mereka antara 9 Februari dan 4 Mac lalu di Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 12 Julai ini di Mahkamah Tinggi Tawau untuk merekodkan pengakuan tertuduh yang tidak hadir hari ini, Habil dan 15 Julai ini untuk pengurusan kes bagi menentukan lokasi dan tarikh bersesuaian untuk perbicaraan kesemua tertuduh yang akan dijalankan secara bersama.

Dalam perkara yang berkaitan, Bernama melaporkan beberapa wakil kerajaan dan pakatan pembangkang hari ini menggesa kerajaan mendedahkan dalang di sebalik insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu. 

Mereka berpendapat tindakan melengahkan pendedahan dan penghakiman ke atas dalang berkenaan akan menimbulkan syak wasangka berterusan dalam kalangan masyarakat.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkata, walaupun yakin dengan kepimpinan kerajaan dan kehebatan pasukan keselamatan dalam menangani isu itu, pendedahan dan pendakwaan segera ke atas dalang terbabit tetap ditunggu.

"Walau ada pihak yang berkata kerajaan lambat mendedahkan dalang terbabit tetapi saya yakin kerajaan pada masa kini sedang melakukan siasatan yang begitu rapi bagi memastikan mereka yang terbabit dapat diadili," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini. 

Menjawab isu penggunaan perkhidmatan AirAsia untuk mengangkut anggota tentera ke Lahad Datu yang dibangkitkan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Ahmad berkata ia bukan satu isu yang harus diperbesarkan. 

"Pada saya, penggunaan perkhidmatan AirAsia tidak menjadi masalah tapi soalnya dalang atau tali barut yang berada dalam negara, itu lagi bahaya," katanya. 


Berkongsi pandangan sama, Tian Chua (PKR-Batu) berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan cepat untuk mendedahkan dalang insiden pencerobohan itu bagi membolehkan pendakwaan segera dilakukan ke atas individu terbabit.

Ahmad, ketika mengakhiri perbahasannya, menarik perhatian semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada insiden berdarah itu dan mengenang jasa anggota keselamatan yang sanggup berkorban demi mempertahan kedaulatan negara.

"Apapun yang disebutkan di sini, kita menghala kepada satu tujuan sama iaitu mengutuk perbuatan dalang di sebalik pencerobohan berkenaan," katanya.

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List